
PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini meraikan pencapaian penting dalam pembangunan Merdeka 118 dengan lengkapnya pemasangan puncak menara Merdeka 118, yang kini tersergam sebagai mercu tanda baharu di latar langit Kuala Lumpur dengan tarikannya yang tersendiri.
Menara Merdeka 118 kini merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 678.9 meter. Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob telah hadir di tapak Merdeka 118 untuk merasmikan Majlis Penyempurnaan Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118. Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan PNB, YABhg. Tun Arifin Zakaria dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Encik Ahmad Zulqarnain Onn.
Pengerusi Kumpulan PNB, YABhg. Tun Arifin Zakaria, mengulas, “Penyempurnaan puncak menara ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan Merdeka 118. Sejak awal lagi, kami membayangkan menara ini serta puncaknya yang menyentuh langit sebagai cerminan cita-cita PNB untuk menjadi sebuah institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia dan cita-cita kita semua sebagai sebuah negara. Lebih penting lagi, kita harus terus berpegang teguh kepada aspirasi ini bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan beransur-ansur keluar dari kesan pandemik COVID-19 yang mencabar.”
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Encik Ahmad Zulqarnain Onn, berkata, “Menara Merdeka 118 terletak di lokasi yang sama dengan beberapa tapak bersejarah penting negara, menghasilkan penyatuan luar biasa pembangunan bersejarah dan kontemporari. Lokasi ini melambangkan penyatuan luar biasa antara yang lama dan baharu, terutamanya di titik pertemuan antara Chinatown, Kg. Attap, Pudu, dan kini, Merdeka 118. Titik pertemuan ini sememangnya menggambarkan sejarah kita, keadaan semasa dan masa depan kita.”
“Walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik, sukacita saya melaporkan bahawa pembinaan menara dan penaiktarafan infrastruktur di sekelilingnya dijangka siap menjelang lewat 2022. Pada hari ini, saya teruja untuk mengumumkan pencapaian kejuruteraan luar biasa yang berjaya diperolehi. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pencapaian penting ini,” tambahnya.

Terletak di kawasan bersejarah di tengah-tengah Kuala Lumpur, presint Merdeka 118 bakal memberi nafas baharu kepada kawasan ini. Dengan pelbagai tarikan untuk meningkatkan keselesaan hidup, tempat kerja dan kediaman bukan sahaja bagi penghuni menara Merdeka 118, tetapi juga komuniti setempat, sekali gus menjadikan kawasan ini destinasi sambutan yang mampu menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa. Menara ini menghadap dua mercu tanda bersejarah iaitu Stadium Negara dan Stadium Merdeka. Sebagai pemilik tunggal kedua-dua stadium ini, PNB telah mengambil inisiatif untuk memulihara Stadium Merdeka serta mengembalikannya ke keadaan asal pada tahun 1957 dan juga menjalankan sebuah kajian kemungkinan untuk mengaktifkan semula Stadium Negara disamping terus mengekalkan nilai warisannya.
Dengan ruang lantai seluas 3.1 juta kaki persegi, menara Merdeka 118 menawarkan ruang pejabat Gred A Premium dengan 1.7 juta kaki persegi luas sewaan bersih. 17 tingkat tertinggi menara akan menempatkan Park Hyatt Hotel yang pertama dan satu-satunya di Malaysia. Untuk memastikan pengalaman terbaik bagi pengunjung, menara ini menyediakan tarikan unik seperti The View at 118, dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, dan juga 118 Mall yang berkubah kaca di dalam ruang podium menara. Di luarnya terletak Merdeka Boulevard at 118, sebuah taman linear yang berkonsepkan ruang terbuka seluas empat ekar dihiasi kehijauan dan lanskap bertemakan air untuk dinikmati oleh orang ramai.
Komponen lain presint Merdeka 118 termasuk Merdeka Textile Museum yang bakal memaparkan tekstil dunia Melayu; Little M, sebuah taska untuk anak-anak warga PNB dan penyewa yang berumur 7 tahun dan ke bawah; serta Masjid Merdeka, masjid yang boleh memuatkan 3,000 orang jemaah.
Menara Merdeka 118 menetapkan penanda aras baharu bagi pembangunan mapan di Malaysia dengan sasarannya untuk menjadi bangunan pertama di negara memenuhi yang mendapat tiga akreditasi platinum bagi pensijilan kelestarian antarabangsa, iaitu Leadership in Energy and Environmental Design (LEED), Green Real Estate (GreenRE) dan Green Building Index (GBI). Di samping itu, menara ini juga menyasarkan untuk mencapai satu lagi pensijilan berprestij iaitu pensijilan WELL daripada International WELL Building Institute Asia Pacific, yang mengetengahkan usaha untuk memastikan kesejahteraan setiap penghuni menara dan juga ahli komuniti secara meluas.
Mengenai PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad
PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad ditubuhkan pada Jun 2000 dan merupakan pemilik tanah dan pengendali tunggal Stadium Merdeka dan juga Stadium Negara. Kedua-dua stadium telah disenaraikan sebagai tapak “Warisan Negara” pada bulan Oktober 2005 di bawah Akta Warisan Negara 2005. Selepas itu, PNB Merdeka Ventures telah menjalankan usaha pemuliharaan yang teliti, sekali gus membolehkan Stadium Merdeka memenangi Anugerah Kecemerlangan UNESCO bagi Program Pemuliharaan Warisan Budaya (Asia Pasifik) 2008. www.merdeka118.com
Permodalan Nasional Berhad (PNB)
Permodalan Nasional Berhad (“PNB”) adalah salah satu daripada syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) melebihi RM300 bilion. Portfolio PNB meliputi pelaburan strategik dalam syarikat korporat terkemuka Malaysia, ekuiti global, pelaburan persendirian dan hartanah. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.pnb.com.my.










