Bubbles O2 Sasar Hasil Jualan RM22 Juta Pada 2025

REMBAU, 22 Ogos (Bernama) — Syarikat peneraju industri air mineral beroksigen semula jadi di Malaysia, Bubbles O2 Sdn Bhd menyasarkan untuk mencapai jualan bernilai RM22 juta tahun depan.

Pengarah Urusan Bubbles O2, Ain Azizah Arifin berkata beliau optimis sasaran itu mampu dicapai berikutan jenama tersebut dilihat semakin kukuh di pasaran domestik serta beberapa pasaran antarabangsa termasuk di Brunei dan Dubai.

“Tahun ini kita sasarkan nilai jualan RM10 juta tapi setakat Jun lepas ia sudah merekodkan RM15.8 juta.  Alhamdulillah, sasaran tercapai dan melebihi sasaran…setiap tahun kita sasarkan peningkatan 30 peratus.

“Pencapaian itu didorong oleh pelanggan itu sendiri, antara faktor kejayaaan mencapai sasaran susulan maklumat produk disampaikan pelanggan dari mulut ke mulut (pelanggan mengesyorkan produk Bubbles O2 kepada orang lain sehingga ia dikenali ramai), kepercayaan pelanggan terhadap produk sehingga kami terima permintaan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pusat pengilangan baharu Bubbles O2 di sini hari ini.

Ia dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Arifin Marzuki.

Ain Azizah berkata air Bubbles O2 dijual di 5,000 premis di seluruh negara setakat ini termasuk di stesen minyak, hypermarket dan koperasi sejak penubuhannya pada 2019, selain itu syarikat itu turut menaja acara sukan berprestij seperti Le Tour de Langkawi.

“Setakat ini kami mampu menghasilkan 100,000 botol air mineral sehari dan mempunyai lima pejabat iaitu di Rantau dan Pedas di Negeri Sembilan; Kajang, Bandar Baru Bangi dan Kota Bharu, Kelantan…sasaran seterusnya untuk membuka pejabat di negeri-negeri wilayah utara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat itu akan memperluaskan pasaran globalnya ke Afrika Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan berdasarkan potensi produk itu berkembang maju.

Mengulas mengenai pembukaan pusat pengilangan baharu itu, Ain Azizah berkata ia adalah langkah penting untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat serta memperluaskan rangkaian produk, pada masa sama menyasarkan untuk melipatgandakan pengeluaran.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

CIMB Securities Kekal Saranan ‘Neutral’ Ke Atas Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saran an ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, terutamanya di Johor, susulan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, memandangkan keputusan itu memberikan mandat yang jelas kepada pentadbiran baharu untuk memastikan kesinambungan pembangunan.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini memaklumkan bahawa ia termasuk pengumuman rasmi pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada suku keempat 2026, dengan sokongan daripada kerajaan perpaduan persekutuan.

Bank pelaburan itu juga menjangkakan pelancaran projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor Bahru bernilai RM7 bilion pada separuh kedua 2026, berikutan pemberian surat hasrat kepada konsortium DOM Industries-MMC Engineering-Nylex- BTS Group Holdings.

Bagaimanapun, projek infrastruktur rentas sempadan yang lain, termasuk cadangan Laluan Link 2 Sistem Transit Rapid (RTS) Tuas-Iskandar Puteri dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, masih menunggu kejelasan dasar yang lebih lanjut.

“Walaupun kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, pelan tindakan JS-SEZ yang akan datang dan permulaan Laluan Link RTS pada suku pertama 2027 akan menyokong permintaan bagi hartanah kediaman bertanah dan perindustrian di Johor, dengan kesan limpahan faedah kepada aset komersial dan runcit di koridor pertumbuhan utama,” menurut nota penyelidikan itu.

Nilai tanah industri utama dilaporkan telah meningkat dua kali ganda kepada RM150 bagi setiap kaki persegi daripada RM 70-RM80 bagi setiap kaki persegi pada 2024, didorong oleh permintaan berterusan berkaitan pusat data, dengan pencarian tanah semakin beralih ke luar Johor Bahru disebabkan oleh kekangan bekalan tenaga dan air.

Namun, CIMB Securities memberi amaran mengenai segmen kediaman bertingkat tinggi di Johor Bahru, di mana data suku pertama 2026 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan stok sedia ada sebanyak 108,863 unit pangsapuri perkhidmatan, serta bekalan masuk dan dalam perancangan masing-masing sebanyak 41,832 dan 18,712 unit sehingga 2030/2031.

Ia meningkatkan risiko lambakan bekalan sekiranya permintaan gagal seiring dengan bekalan tambahan tersebut.

Dalam senarai analisisnya, UEM Sunrise kekal sebagai pilihan utama bagi peningkatan semula nilai tanah Johor, memandangkan simpanan tanah Iskandar Puteri yang luas dan pelan induk perindustrian Gerbang Nusajaya yang akan datang pada suku pertama
2027.

Pemaju lain yang mempunyai pendedahan ketara kepada kawasan sekitar Laluan Link R’TS termasuk Eco World, Mah Sing Sunway, SP Setia dan KSL Holdings.

Sementara itu, Perkhidmatan Tren Elektrik Kuala Lumpur-JB Sentral yang baharu telah meningkatkan ketersambungan dalam negeri dan membuka peluang pembangunan di daerah sekitar, sekali gus memberi manfaat kepada Matrix Concepts menerusi perbandaran Bandar Seri Impian miliknya di Kluang.

Dalam PRN diadakan pada 11 Julai, 2026, Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di Johor dengan majoriti dua pertiga yang besar, selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan.

BERNAMA