Bursa Malaysia Securities Melantik Newparadigm Securities Sebagai Organisasi Penyertaan Islamik Terbaharu

Kuala Lumpur, Malaysia, 16 Oktober 2025 – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan NewParadigm Securities Sdn Bhd (“NewParadigm”) sebagai Organisasi Penyertaan Islamik (“Islamic PO”) terbaharu.

Pelantikan NewParadigm menyokong akses yang lebih luas kepada saluran pelaburan beretika dan mencerminkan peranan syarikat tempatan dalam memajukan penyelesaian kewangan yang adil dan mampan. NewParadigm ialah firma tempatan yang telah lama bertapak dalam industri pembrokeran saham sejak tahun 2004. Perkhidmatan pembrokeran saham Islamik NewParadigm bermula hari ini, sekali gus memperkayakan lagi ekosistem pelaburan patuh Syariah.

Perkhidmatan Pembrokeran Saham Islamik dan Bursa Malaysia-i
Pembrokeran saham Islamik membolehkan pelabur berdagang sekuriti patuh Syariah sama ada melalui Islamic window khas atau full-fledged Islamic brokerage. Ini memastikan pemisahan jelas antara transaksi Islamik dan konvensional bagi semua aktiviti dagangan dan pasca dagangan, serta mengekalkan pematuhan penuh kepada prinsip Syariah.

Dilancarkan pada tahun 2016, Bursa Malaysia-i ialah platform pelaburan dan dagangan patuh Syariah hujung ke hujung pertama di dunia yang ditawarkan oleh Bursa. Ia menyediakan rangkaian lengkap perkhidmatan berkaitan bursa yang distrukturkan dalam rangka kerja Syariah, disokong oleh infrastruktur yang kukuh, telus dan selamat.

Platform ini memberi peluang kepada pelabur untuk mengakses pelbagai instrumen patuh Syariah, memperkukuh prinsip kewangan beretika dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian pelaburan bertanggungjawab.

Nota: “Islamic window” merujuk kepada Organisasi Penyertaan yang mengendalikan kedua-dua perniagaan pembrokeran saham konvensional dan Islamik, manakala “full-fledged Islamic brokerage” ialah Organisasi Penyertaan yang menjalankan perniagaan pembrokeran saham sepenuhnya mengikut prinsip Syariah.

Dato’ Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, berkata:
“Penambahan NewParadigm sebagai Organisasi Penyertaan Islamik di Bursa Malaysia-i adalah sejajar dengan komitmen kami untuk membangunkan pasaran yang dinamik dan inklusif. Dengan lebih 80% produk sekuriti di Bursa kami kini patuh Syariah, peluasan rangkaian perkhidmatan pembrokeran saham Islamik meningkatkan aksesibiliti dan memperkasa lebih ramai pelabur untuk mengambil bahagian dalam pelaburan patuh Syariah. Pencapaian ini mengukuhkan fokus kami dalam memberikan nilai, memperdalam kecairan pasaran, dan menyokong pembentukan kekayaan yang mampan kepada pelabur.”

Charanjeev Singh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NewParadigm, berkata:
“Kami amat berbesar hati menerima kelulusan Bursa Malaysia untuk menubuhkan Islamic stockbroking window NewParadigm. Langkah ini mencerminkan komitmen kami yang berterusan dalam memajukan landskap kewangan Islam di Malaysia dan menyediakan peluang pelaburan patuh Syariah berkualiti tinggi kepada pelanggan kami. Kami menghargai kepercayaan dan sokongan Bursa Malaysia dalam perjalanan ini. Kelulusan ini bukan sahaja mengukuhkan peranan kami dalam mempromosikan penyelesaian kewangan beretika dan inklusif, malah menguatkan hasrat kami untuk menyumbang kepada pertumbuhan mampan pasaran modal Islam Malaysia.”

Bilangan Organisasi Penyertaan (PO) yang menawarkan perkhidmatan pembrokeran saham Islamik telah meningkat secara berterusan, dengan hampir dua pertiga daripada 30 PO kini menyediakan perkhidmatan tersebut. PO Islamik yang beroperasi sama ada secara full-fledged atau window basis pada masa ini ialah:

  1. Affin Hwang Investment Bank Berhad
  2. AmInvestment Bank Berhad
  3. BIMB Securities Sdn Bhd (full-fledged)
  4. CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd
  5. CIMB Securities Sdn Bhd
  6. Hong Leong Investment Bank Berhad
  7. Inter-Pacific Securities Sdn Bhd
  8. Kenanga Investment Bank Berhad
  9. Malacca Securities Sdn Bhd
  10. Maybank Investment Bank Berhad
  11. MIDF Amanah Investment Bank Berhad
  12. M&A Securities Sdn Bhd
  13. NewParadigm Securities Sdn Bhd
  14. Phillip Capital Sdn Bhd
  15. Public Investment Bank Berhad
  16. RHB Investment Bank Berhad
  17. TA Securities Holdings Berhad
  18. UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd
  19. UBS Securities Malaysia Sdn Bhd

Pelabur yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Bursa Malaysia-i boleh melayari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/islamic_market/bursa_malaysia_i/overview
atau hubungi 📧 [email protected]

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.