Covid-19 Dijadikan Pengajaran Untuk Tabiat Kewangan, Namun Sedarkah Masyarakat Malaysia?

Meresahkan. Mencabar. Berbeza. Walau apapun yang sedang anda fikirkan mengenai tahun 2020, Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2020 telah mendapati bahawa tingkah laku kewangan masyarakat Malaysia pada tahun ini tidak banyak yang berubah.

76% masyarakat Malaysia mendakwa bahawa kewangan masing-masing adalah terkawal (sedikit kenaikan daripada 69% tahun lalu). Walau bagaimanapun, 46% (daripada 43% pada tahun lalu) sering membelanjakan sepenuhnya atau lebih daripada gaji bulanan mereka. Sementara itu, 53% pula mengaku bahawa mereka tidak mampu bertahan lebih dari 3 bulan tanpa gaji dengan wang simpanan mereka. Golongan belia (umur 35 tahun ke bawah) lebih membimbangkan kerana 60% belia tidak mampu bertahan lebih dari 3 bulan.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada bulan Mac, ekonomi negara sangat terjejas. Sepanjang tempoh tersebut, ramai rakyat Malaysia tidak mampu mencari makan kerana mereka tidak boleh keluar bekerja, diberi potongan gaji, atau pun dihentikan kerja kerana syarikat terpaksa mengurangkan kos. Selama 2 tahun yang lepas, RinggitPlus mengharapkan hasil kajian kami akan dijadikan satu pengajaran kepada semua tentang kepentingan celik kewangan. Malangnya, peristiwa tragis inilah yang menjadi ujian sebenar terhadap tingkah laku kewangan peribadi kita,” kata Hann Liew, pengasas bersama dan pengarah eksekutif RinggitPlus. 

Disebabkan wabak Covid-19, 27% masyarakat Malaysia sedar betapa pentingnya dana kecemasan. Statistik moratorium pinjaman automatik turut menyokong sentimen ini. Menurut Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), terdapat lebih daripada 7.7 juta peminjam di Malaysia yang mengambil moratorium pinjaman. 16% responden kajian ini juga mengaku bahawa mereka masih belum mampu meneruskan pembayaran balik apabila tempoh moratorium tamat. 

Di sebalik itu, pandemik ini juga telah menyebabkan satu perubahan ketara dalam tingkah laku perbelanjaan masyarakat Malaysia. 88% menyatakan bahawa mereka lebih kerap membuat pembayaran menerusi kaedah tanpa tunai atau tanpa sentuhan. Malahan, 90% responden mempunyai e-dompet dalam telefon pintar mereka.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang bekerjasama dengan kami pada tahun ini – Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), Experian, dan Nanyang Siang Pau – di atas sokongan dan perkongsian pengetahuan mereka untuk menjadikan kajian tahun ini lebih baik lagi. Hasil kajian tahun ini telah membolehkan kita memahami dengan lebih lanjut lagi impak wabak Covid-19 terhadap ekonomi dan masyarakat Malaysia. Kami berharap rakyat Malaysia akan memberi lebih lagi penekanan kepada isu kewangan peribadi mereka apabila ekonomi kita beransur pulih nanti. Ini adalah sangat penting supaya kita boleh sediakan payung sebelum hujan,” tambah Liew.   

Kajian RMFLS tahun ini adalah sebahagian daripada usaha pendidikan kewangan FEN dan pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 untuk meningkatkan literasi dan kesejahteraan kewangan seluruh masyarakat. Strategi Kebangsaan ini juga bertujuan menggalakkan tingkah laku kewangan yang lebih bertanggungjawab serta sikap rasional dalam pengurusan kewangan. “FEN sangat komited untuk bekerjasama dengan pihak-pihak sektor awam dan swasta bagi mencapai misi Strategi Kebangsaan yang inklusif dan lestari,” kata FEN. Tambahan pula, kajian ini dapat mengaji tahap literasi dan ketahanan kewangan masyarakat Malaysia dalam tempoh pandemik yang sangat mencabar. Hasil kajian ini juga akan membantu RinggitPlus serta rakan-rakan seperjuangan mereka untuk memahami, membina, dan juga menggalakkan inisiatif pendidikan kewangan yang lebih berguna bagi masyarakat Malaysia.

Ini adalah kajian terbesar RMFLS oleh RinggitPlus sejak dilancarkan pada tahun 2018, dengan jumlah 10,628 responden dari seluruh negara – yang mana persampelan berstrata telah dilakukan untuk mencapai sampel yang mewakili populasi negara Malaysia. 

RMFLS 2020: Hasil Kajian Utama

  • Berbanding tahun lalu, tiada perubahan yang ketara dalam tingkah lalu kewangan peribadi  masyarakat Malaysia.
  • 53% responden tidak mampu bertahan lebih dari 3 bulan dengan wang simpanan mereka jika mereka kehilangan pekerjaan. Data ini adalah sama dengan kajian tahun lalu.
  • Penerimaan e-dompet terus berkembang. 90% responden mempunyai e-dompet. Antara faktor-faktor yang mendorong perubahan ini adalah insentif daripada pihak kerajaan dan rasa bimbang terhadap pengendalian wang tunai.  
  • Masyarakat Malaysia lebih buka terhadap transaksi dalam talian. 39% responden telah melakukan transaksi dalam talian dengan lebih kerap. Covid-19 mungkin satu pemangkin kadar transaksi dalam talian dengan lebih cepat dan tinggi.
  • Moratorium pinjaman automatik telah memberi kesan positif kepada kumpulan pendapatan tertentu pada tempoh mencabar ini dengan 14% responden berjaya menabung sebanyak RM2,001 dan ke atas, berbanding 9% tahun lalu.
  • Moratorium ini juga telah memperkenalkan isitilah-istilah kewangan baru seperti “moratorium pinjaman”, “penstrukturan hutang”, dan “Penjadualan Ulang & Penyusunan Semula (R&R)” kepada masyarakat Malaysia. 61% responden mengaku bahawa mereka tidak tahu atau tidak pasti akan maksud “R&R”.
  • Secara khususnya, 64% daripada golongan belia (35 tahun ke bawah) tidak tahu apa itu “R&R”.
  • Majoriti masyarakat Malaysia (70%) mendakwa bahawa simpanan KWSP sahaja tidak mencukupi untuk persaraan mereka. Walau bagaimanapun, 45% dari mereka masih belum mula untuk merancang untuk persaraan mereka.

Usaha berterusan kami untuk membina masyarakat Malaysia yang celik kewangan

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan literasi kewangan di negara ini, RinggitPlus juga mengumumkan pelancaran myRinggitHealth – perkhidmatan baru yang membolehkan masyarakat Malaysia untuk mengakses dan memahami kesihatan kewangan mereka dengan segera – di mana sahaja dan pada bila-bila masa secara percuma.

Pertama di Malaysia, myRinggitHealth adalah perkhidmatan integrasi di aplikasi WhatsApp yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan chatbot yang akan membantu mereka memeriksa skor kredit mereka. Apa yang menarik adalah chatbot ini juga boleh membantu membimbing pengguna dan memberikan nasihat, berdasarkan status kewangan mereka. 

“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan myRinggitHealth kepada masyarakat Malaysia. Skor kredit adalah aspek penting dalam kewangan peribadi tetapi ia tidak mudah bagi pengguna untuk mengakses maklumat tersebut untuk lebih memahami kesihatan kewangan mereka. Kami yakin bahawa myRinggitHealth merupakan salah satu jawapan bagi mengatasi masalah ini,” tambah Liew.

Klik di sini untuk memuat turun laporan penuh RMFLS 2020.

Layari myRinggitHealth untuk mengakses kesihatan kewangan anda hari ini dan dapatkan panduan kewangan peribadi untuk membantu anda mencapai matlamat kewangan anda.

Mengenai RinggitPlus

RinggitPlus.com adalah laman web perbandingan kewangan yang terkemuka di Malaysia. Setiap hari, kami membantu memberikan lebih nilai untuk wang anda – sama ada anda membuat permohonan untuk kad kredit, pinjaman peribadi atau pelan insurans, memilih gadai janji yang terbaik untuk mendapatkan rumah idaman anda dan banyak lagi.

Beribu pejabat di Kuala Lumpur, RinggitPlus merupakan salah satu jenama yang dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat teknologi kewangan (fintech) Jirnexu Sdn Bhd (no. syarikat 1081989-D). Kami mula beroperasi pada 2012 apabila para pengasas bersama syarikat bertemu dan menyedari bahawa mereka mempunyai semangat yang sama untuk memberikan nasihat kewangan serta perkakasan yang diperlukan untuk berbelanja, mengurus dan menyimpan wang dengan bijak kepada individu.

Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN)

Ditubuhkan pada tahun 2016, FEN berfungsi sebagai satu platform antara agensi yang terdiri daripada institusi dan agensi bagi menambahkan impak inisiatif pendidikan kewangan dan mengenal pasti peluang-peluang baharu untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini dapat dilaksanakan melalui lebih banyak usaha penjajaran, kerjasama erat dan lebih tumpuan terhadap penilaian impak. Anggotanya terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.