
Fraser & Neave Holdings Bhd (“F&NHB” atau “Kumpulan”) bakal menjadikan makanan Halal sebagai tunggak pertumbuhan baharu Kumpulan berikutan pemerolehan tiga syarikat makanan dan minuman (F&B) — Sri Nona Food Industries Sdn Bhd, Sri Nona Industries Sdn Bhd dan Lee Shun Hing Sauce Industries Sdn Bhd — pada harga sehingga RM60 juta. Pelaburan ini akan membolehkan F&NHB menambah lagi jenama makanan seisi rumah Malaysia kepada portfolio jenama terkenal Kumpulan.
Para pemegang saham F&NHB menyokong strategi yang dibentangkan oleh Lembaga Pengarah dan Pengurusan F&NHB untuk mencapai pertumbuhan mampan di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-59 yang diadakan secara maya hari ini, untuk mencapai cita-citanya menjadi syarikat F&B serba lengkap yang terkemuka di rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata bahawa Kumpulan sentiasa mencari cara untuk “mentafsirkan semula’ perniagaannya menerusi pertumbuhan organik dan sinergi perniagaan untuk memastikan masa depan yang lebih mampan.
“Pelaburan terbaharu kami akan menjadi platform untuk meluaskan operasi ke dalam lebih banyak segmen makanan halal untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi produk mudah dan sedia untuk dimakan. Dengan keupayaan R&D kami yang kukuh, kami yakin pengambilalihan baharu ini akan membantu kami mengembangkan kategori makanan halal kami, melengkapi tawaran kami yang sedia ada dan memperkenalkan lebih banyak produk inovatif untuk meningkatkan margin keuntungan kami dalam jangka panjang,” kata Lim semasa AGM.
Sri Nona terkenal kerana produk utamanya, Ketupat NONA, yang merupakan jenama ketupat nombor satu di Malaysia, dan rangkaian produk sos tiram, yang merupakan antara tiga teratas dalam kategorinya.

Memandangkan sekatan pergerakan dan perubahan tingkah laku pembelian pengguna, F&NHB telah menambah baik strategi saluran dan laluan ke pasarannya untuk mendekati hati pengguna untuk memenuhi keperluan dan jangkaan mereka.
Selepas meningkatkan skala e-dagang pada 2020 untuk memanfaatkan pertumbuhan eksponen saluran ini, F&NHB terus meneroka pelbagai pilihan penunaian pesanan untuk meningkatkan kelebihan daya saingnya.
“Kami baru-baru ini telah membuka pusat penunaian pesanan F&N Life di Kuala Lumpur, yang memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna seperti pilihan kutip sendiri dan penghantaran ekspres hari berikutnya untuk pembeli dalam talian kami. Pada masa depan, kami akan membuka lebih banyak pusat penunaian pesanan F&N Life di seluruh Malaysia untuk mewujudkan pengalaman pengguna yang memuaskan,” tambah Lim.
F&NHB mengakhiri tahun kewangan berakhir 30 September 2020 (“TK2020”) dengan prestasi mantap yang diterajui oleh pencapaian lebih baik pada suku pertama dan pemulihan pada suku keempat, dan juga eksport yang kukuh. Kumpulan juga menjana hasil berjumlah RM3.99 bilion bagi TK2020 sambil mengekalkan untung selepas cukai mencecah RM410.1 juta walaupun dibatasi kesan pandemik COVID-19 dan tekanan harga komoditi.
Food & Beverages Thailand (F&B Thailand) terus memberikan sumbangan kukuh walaupun kesukaran yang dihadapi akibat COVID-19 dan pengumuman darurat yang dibuat. Bahagian ini menyumbang lebih 70 peratus kepada keuntungan Kumpulan pada TK2020. Walaupun keadaan boleh berubah pada bila-bila masa di Thailand, F&NHB yakin perniagaannya di sana akan terus bingkas dan berdaya maju pada TK2021 untuk menyokong strategi Kumpulan pada masa hadapan.
Lim berkata kejayaan menguruskan COVID-19 telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan Kumpulan untuk melindungi perniagaan dan kesejahteraan kakitangan dalam suasana yang tidak menentu.
“Sejak peringkat paling awal COVID-19, kami telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakan-rakan perniagaan untuk memenuhi keperluan tambahan yang timbul akibat pandemik yang melanda. Kami akan terus memberi tumpuan menjaga kesihatan dan kesejahteraan kakitangan supaya mereka mendapat ketenangan fikiran, memastikan kesinambungan perniagaan untuk memenuhi keperluan pengguna dan menyokong masyarakat di tempat-tempat kami beroperasi dengan menghulurkan pelbagai jenis bantuan,” katanya.
F&NHB telah membuat persiapan untuk mengekalkan pertumbuhan dengan melabur dalam pelbagai inisiatif untuk memacu inovasi dan kemampanan perniagaan. Kumpulan telah membuat peruntukan RM30 juta untuk membiayai program tenaga boleh diperbaharui termasuk projek bumbung solar 10MWp di kilang Shah Alam, Pulau Indah dan Bentong.
Di samping itu, tiga projek perbelanjaan modal (CAPEX) yang sedang dilaksanakan dijangka selesai menjelang TK2021, iaitu sebuah gudang bersepadu bernilai RM182 juta di Shah Alam yang dilengkapi dengan Sistem Pengambilan Barang Simpanan Automatik (ASRS), sebuah Pusat Pengagihan Serantau (RDC) seluas 20,000-meter persegi di Rojana untuk dilengkapi dengan ASRS bernilai RM40 juta, dan barisan pengeluaran air minuman 200 bpm serta gudang bernilai RM20 juta di Kota Kinabalu Park (KKIP) di Sabah.
Walaupun menghadapi ketidakpastian, pelaburan F&NHB demi masa depan sesungguhnya memperlihatkan komitmen Kumpulan untuk mengembangkan perniagaannya secara bertanggungjawab. “Kami mengendalikan perniagaan untuk jangka panjang dan yakin terhadap potensi pasaran jangka panjang kami. Oleh yang demikian, kami sentiasa mengenal pasti peluang untuk meningkatkan prestasi perniagaan dan keuntungan tanpa mengira cabaran yang perlu diharungi,” tambah Lim.
Mengulas mengenai tinjauan F&NHB bagi TK2021, Lim berkata F&NHB tetap berhati-hati dalam suasana tidak menentu di dalam negara dan peringkat global akibat COVID-19. “Meneruskan perniagaan seperti biasa dengan cara yang paling cekap dalam persekitaran operasi yang boleh berubah pada bila-bila masa sambil menjaga keselamatan kakitangan kami dan juga masyarakat umum terus menjadi keutamaan kami.”
“Sambil kita memulakan satu lagi tahun yang mencabar, kami telah mengenal pasti pelbagai peluang untuk memacu pertumbuhan dan menjimatkan kos, bertunjangkan tiga keutamaan strategi kami iaitu Inovasi, Daya Saing Kos dan Kecemerlangan Pelaksanaan. Kami yakin bahawa ilmu, kemahiran, kepakaran, keupayaan, sumber dan komitmen kami akan terus membantu kami mencapai matlamat tersebut dalam persekitaran luar biasa ini,” tambah Lim.
Di AGM tersebut, para pemegang saham telah meluluskan pembayaran dividen satu peringkat terakhir sebanyak 33.0 sen sesaham (2019: 33.0 sen sesaham), menjadikan dividen keseluruhan berjumlah 60.0 sen sesaham (2019: 60.0 sen sesaham), yang perlu dibayar kepada pemegang saham pada 5 Februari 2021. Tarikh kelayakan dividen ialah 21 Januari 2021.
MENGENAI FRASER & NEAVE HOLDINGS BHD
Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) adalah sebuah syarikat Malaysia yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia dengan kepakaran dan kedudukan kukuh dalam perniagaan makanan dan minuman. Sejarah gilang-gemilang yang menjangkau 137 tahun meletakkan F&NHB sinonim dengan produk halal dan berkualiti tinggi yang dipercayai sejak turun-temurun.
Kumpulan, yang merupakan sebuah syarikat patuh Syariah, mencatatkan perolehan tahunan RM4 bilion daripada perniagaan terasnya dalam bidang pengilangan, jualan dan pemasaran produk minuman dan tenusu. F&NHB mempunyai portfolio 20 jenama yang diminati ramai,yang merupakan pendahulu dalam pelbagai segmen iaitu 100PLUS, F&N Fun Flavours, F&N SEASONS, OYOSHI, F&N Magnolia, FARMHOUSE, F&N ICE MOUNTAIN, F&N Fruit Tree, dan rangkaian Susu Pekat dan Sejat di bawah jenama F&N, TEAPOT, Gold Coin, Cap Junjung, IDEAL dan CARNATION.
F&NHB ialah komponen Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) berbekalkan komitmennya yang kukuh terhadap amalan perniagaan bertanggungjawab dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). F&NHB mempunyai 2,600 kakitangan di seluruh operasinya di Malaysia, Brunei, Thailand dan Indochina. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.fn.com.my