iProperty.com.my: Penyewa Akan Terus Mendapat Manfaat daripada Pasaran Hartanah pada 2021

iProperty.com.my, laman hartanah Nombor 1 di Malaysia, hari ini mengumumkan Analisis Permintaan Portal (Pasaran Hartanah Sewa) 2020, yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai permintaan terhadap hartanah kediaman sewa menggunakan jumlah kunjungan pengguna iProperty.com.my dan data penyenaraian hartanah untuk hartanah kediaman di Malaysia yang tertumpu kepada Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Analisis sewaan tersebut merangkumi empat jenis hartanah iaitu rumah teres, kondominium, pangsapuri dan apartmen servis. 

Hasil analisis tersebut menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia lebih cenderung untuk menyewa kerana impak COVID-19. Jumlah pengguna yang berkunjung ke iProperty.com.my pasca pandemik ini semakin meningkat memandangkan ramai beralih kepada platform digital untuk mencari hartanah. Pada Februari 2021, iProperty.com.my merekodkan jumlah pengunjung bulanan paling tinggi iaitu 10 juta pengunjung i.

Selain daripada mencatatkan pertambahan kunjungan tahun ke tahun sebanyak +51% ii, iProperty.com.my turut menyaksikan peningkatan jumlah pertanyaan mengenai hartanah menerusi platformnya sebanyak +20.4%iii pada Februari 2021 apabila dibandingkan dengan tahun lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Peningkatan Penyenaraian Hartanah Kediaman Sewa mempengaruhi Angka Permintaan Kediaman Sewa Negara

Jumlah pengunjung hartanah kediaman sewa ke iProperty.com.my telah meningkat memandangkan ramai pengguna memilih untuk menyewa kerana ketidaktentuan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. Walaupun jumlah pengunjung hartanah kediaman sewa telah bertambah, namun peningkatan penyenaraian hartanah kediaman sewa telah mengatasinya, menyebabkan angka permintaan kediaman sewa negara merosot hingga -12.6%.

Secara keseluruhannya, hasil sewaan untuk rumah teres berada pada tahap +3.3% berbanding +3.4% pada separuh pertama 2020. Median harga sewaan bagi kondominium berada pada RM1,800 berbanding RM1,900 separuh pertama 2020, manakala bagi apartmen servis pula, median harga sewaan berada pada RM1,600 berbanding RM1,700 separuh pertama 2020.

Penyewa Mencari Unit yang Luas di Kuala Lumpur

Permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di Kuala Lumpur berada pada tahap -7.7% tahun ke tahun untuk semua jenis hartanah. Salah satu punca penyusutan ini adalah pengurangan permintaan sewa untuk segmen pangsapuri yang disebabkan oleh kehilangan pekerjaan di ibu negara. Secara keseluruhannya, hasil sewaan untuk rumah teres berada pada 3% berbanding 3.2% separuh pertama 2020, manakala kondominium berada pada 4.1% berbanding 4.3% separuh pertama 2020. Median harga sewaan untuk apartmen servis, yang berada pada RM2,300 separuh pertama 2020, turun kepada RM2,000 menjelang hujung 2020.

Para pengunjung hartanah kediaman sewa di Kuala Lumpur lebih cenderung untuk mencari rumah teres empat bilik bersaiz antara 1,500 hingga 2,000 kaki persegi serta kondominium bersaiz antara 1,000 hingga 1,250 kaki persegi, atau sebuah unit dengan minimum tiga bilik berharga bawah RM2,300.

Kawasan Pinggir Bandar Selangor Kekal Menjadi Pilihan Utama Penyewa

Permintaan terhadap hartanah sewaan di Selangor berada pada tahap -10.3% tahun ke tahun pada 2020 untuk semua jenis bangunan. Walau bagaimanapun, rumah teres mencatatkan peningkatan permintaan sebanyak +2.8% menjadikan Selangor satu-satunya negeri di Malaysia yang menyaksikan pertumbuhan positif pada 2020.

Ini disebabkan oleh penghijrahan para penyewa ke kawasan pinggir bandar bagi mencari kediaman yang lebih luas di kawasan seperti Bangi, Rawang, Kajang dan Cyberjaya. Ramai pengunjung yang mencari rumah teres dua tingkat berharga di antara RM1,200 hingga RM2,000 dengan saiz di antara 1,500 hingga 2,500 kaki persegi. Ulu Klang adalah kawasan di Selangor dengan kadar pertumbuhan permintaan tertinggi, iaitu peningkatan sebanyak +32% tahun ke tahun. Sebilangan besar kunjungan adalah untuk kondominium berharga bawah RM2,000 dan bersaiz di antara 1,250 hingga 1,500 kaki persegi.

Kemasukan Baru, Sungai Dua muncul Sebagai Kawasan Sewaan dengan Permintaan Tertinggi di Pulau Pinang

Angka permintaan sewaan bagi Pulau Pinang pada 2020 berada pada tahap -18.3%. Sebagai sebuah negeri yang mengfokuskan sektor pelancongan, ekonomi Pulau Pinang telah terjejas akibat COVID-19 walaupun situasi tersebut beransur pulih semasa musim cuti hujung tahun, yang memberikan sedikit kelegaan kepada industri perhotelan dan penginapan jangka pendek. Salah satu dapatan positif adalah permintaan sewa berterusan untuk apartmen dan pangsapuri di kawasan-kawasan perindustrian di negeri itu termasuk Sungai Dua, Bayan Baru, Bukit Jambul dan Perai (di tanah besar) di kalangan para pekerja yang mencari kediaman mampu milik. Sungai Dua adalah kawasan paling tinggi permintaan di Pulau Pinang dengan lebih separuh pengunjung berminat dengan pangsapuri di bawah RM1,000. Permintaan terhadap hartanah sewa di Bukit Jambul juga sangat menggalakkan kerana ramai pengunjung yang mencari rumah pangsa berharga bawah RM700 dengan saiz di antara 500 hingga 750 kaki persegi.

Pengerang Muncul Sebagai Kawasan Sewaan Paling Tinggi Permintaan di Johor

Sebagai negeri yang memiliki jumlah hartanah tidak terjual paling tinggi di Malaysia, pasaran hartanah kediaman sewa Johor kekal perlahan memandangkan ada banyak unit baru siap dibina yang tidak terjual, menyebabkan penyusutan kadar permintaan sebanyak -27.8% tahun ke tahun bagi semua jenis bangunan. Selain daripada itu, penutupan sempadan Singapura dan Malaysia telah menjejaskan pasaran sewaan di Johor Bahru. Namun begitu, projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap pada 2026 dilihat mampu meningkatkan semula permintaan hartanah kediaman sewa di Johor. Bandar industri Pengerang menjadi salah satu kawasan paling tinggi permintaan di Johor kerana peranannya sebagai hab minyak dan gas di selatan semenanjung Malaysia. Ramai pengunjung yang mencari rumah teres dua tingkat berharga di antara RM1,400 hingga RM1,700 dengan saiz binaan di antara 1,500 hingga 2,000 kaki persegi.

Mengulas mengenai penerbitan Analisis Permintaan Portal (Pasaran Sewaan) 2020 iProperty.com.my, Pengurus Besar iProperty.com.my, Shylendra Nathan berkata, “2020 merupakan tahun yang lebih memihak kepada penyewa berbanding pemilik hartanah. Kemasukan projek-projek yang telah siap dibina baru ke dalam pasaran yang sememangnya padat telah memaksa pemilik hartanah untuk mengurangkan kadar sewa mereka bagi bersaing menarik perhatian penyewa. Justeru, para penyewa kini berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merundingkan harga dan keadaan ini dapat dilihat daripada sedikit penurunan median harga sewaan dan hasil sewaan. Walaupun Kadar Dasar Semalaman (OPR) rendah telah mengurangkan ansuran pinjaman bulanan untuk para pemilik hartanah, namun penurunan pendapatan sewa yang lebih besar ketika ini telah mengimbangi kelebihan kos pembiayaan yang lebih rendah.”

“Namun begitu, program vaksinasi yang sedang berjalan sekarang akan memberikan kelegaan yang  diperlukan oleh pasaran hartanah tempatan. Walaupun tempoh pemulihan tidaklah sepantas yang dijangkakan, ianya tetap mendorong pemulihan pasaran hartanah pada separuh pertama 2021. Negara kita sedang memulakan perjalanan ke arah mencapai imuniti berkelompok, kami menjangkakan keyakinan para pengguna terhadap pasaran hartanah akan kembali meningkat kerana program imunisasi tersebut.”

Anda boleh memuat turun salinan Analisis Permintaan Portal (Pasaran Sewa) 2020 iProperty.com.my di www.iproperty.com.my/newsroom

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.