Revenue Monster Dan Alipay Berkerjasama Untuk Memacu Transformasi Digital Perniagaan Makanan & Minuman

Revenue Monster –sebuah syarikat teknologi kewangan Malaysia yang merupakan perintis pendigitalan perniagaan, telah mengumumkan pelancaran program mini dalam aplikasi Alipay, sebuah platform utama untuk pembayaran digital dan perkhidmatan seharian.

Program mini tersebut tmenggabungkan penyelesaian stor dalam talian Revenue Monster, à la carte secara terus ke dalam aplikasi Alipay. Dengan ini, pengguna Alipay boleh menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan yang ditawarkan oleh rakan peniaga makanan & minuman (F&B) Revenue Monster. Ini sekaligus memberikan lebih peluang perniagaan kepada rakan peniaga tempatan dan memudahkan urusan seharian para pengguna.

Penyelesaian à la carte yang dilancarkan awal 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, telah menarik beberapa rakan peniaga F&B  terkemuka seperti Sushi King, Kenny Rogers Roasters dan Dragon-I. à la carte telah menjadi satu elemen penting dalam membantu kelangsungan perniagaan dan membantu menjana lebih pendapatan di kala pandemik melanda.

Kerjasama dengan Alipay, sebuah platform utama pembayaran digital di China yang memberikan perkhidmatan kepada 1 bilion pengguna, 80 juta pedagang dan rakan niaga, serta 2,000 institusi kewangan, merupakan satu usaha berterusan oleh Revenue Monster dalam membantu perniagaan dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk beralih ke arah digital.

“Penyelesaian à la carte kami bertujuan untuk meningkatkan lagi keberkesanan pemasaran dan mempelbagaikan punca pendapatan para rakan niaga kami. Dengan program mini Alipay, kami berharap untuk mengembangkan lagi senarai rakan niaga kami di samping menambahkan nilai perkhidmatan kami kepada lebih 6,000 rakan niaga yang sudah menggunakan platform Revenue Monster,” jelas Amanda Chin, Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster.

Mengulas tentang kerjasama tersebut, Cherry Huang, Pengurus Besar bagi Kerjasama Dagangan Global untuk Alipay Asia Selatan dan Asia Tenggara, berkata, “Adalah amat penting untuk sektor F&B, yang dahulunya berasaskan kedai dan hanya bergantung kepada kunjungan secara fizikal, untuk beralih ke arah digital khususnya ketika pandemik ini. Kami percaya ini akan menjadi sebahagian dari norma baharu. Kami berbesar hati untuk menyertai proses transformasi ini bersama peniaga tempatan dan rakan niaga seperti Revenue Monster dalam memberikan platform digital yang efektif dan lengkap dengan kebolehan pemasaran dan pembayaran.”

Revenue Monster menawarkan yuran platform yang paling murah pada hanya 18% bagi peniaga yang ingin menyertai program mini tersebut. Sebagai manfaat tambahan, bermula sekarang sehingga 31 Mei 2021, peniaga yang mendaftar untuk tempoh minima satu tahun akan menerima satu terminal pembayaran secara percuma.

à la carte memperkasakan perniagaan dalam talian dengan membolehkan perniagaan mencipta menu dan stor digital mereka tersendiri yang boleh digunakan di mana-mana platform digital dan sosial. Kebolehan ini sejajar dengan keseluruhan ekosistem Revenue Monster yang memberikan kelebihan untuk peniaga mendigitalkan dan mengurus operasi perniagaan mereka, dari penyelesaian penyatuan pembayaran, pembayaran digital yang pantas dengan hanya satu klik melalui eInvoice, sehinggalah pengurusan pengekalan pelanggan melaui komunikasi media sosial.

Keseluruhan platform Revenue Monster telah memanfaatkan hampir 13,000 poin perniaggan dalam industri makanan dan minuman, fesyen dan aksesori, peralatan rumah, kecantikan atau penjagaan peribadi, otomobil dan lain-lain.

Memberikan pandangan tentang usaha pendigitalan dan inisiatif terbaharu melalui program mini tersebut serta impak kepada perniagaannya, Encik Wilson Lee, Pengarah bagi Good Taste Oriental, berkata, “Dalam landskap hari ini, pendigitalan perniagaan sememangnya perlu dan kami merasakan perkhidmatan Revenue Monster sangat membantu dalam hal ini. Ketika dilanda pandemik yang masih berlanjutan, kami melihat peningkatan dalam pesanan secara dalam talian. Program mini dalam Alipay ini telah menambah nilai kepada perniagaan kami dan memberikan lebih peluang yang sememangnya amat dialu-alukan!”

Program mini Alipay à la carte merupakan fasa pertama dalam perancangan Revenue Monster untuk mengembangkan ladi senarai dan penggunaan bagi penyelesaian stor bebas atas talian mereka, dengan strategi untuk membawakan perkhidmatan tersebut ke platform lain-lain pada tahun ini

Daftar untuk penyelesaian à la carte sekarang dan tingkatkan pendapatan perniagaan digital anda dengan melayari www.revenuemonster.my

Tentang Revenue Monster

Ditubuhkan pada 2018, Revenue Monster adalah sebuah syarikat teknologi kewangan yang berpangkalan di Malaysia. Revenue Monster memperkenalkan penyelesaian untuk membantu pendigitalan perniagaan melalui ekosistem digital sepenuhnya.

Revenue Monster menggunakan gabungan unik kaedah pembayaran, program kesetiaan dan baucar, pemasaran media sosial dan teknologi perdagangan mudah alih bagi mencipta penyelesaian yang memberikan kawalan lebih kepada peniaga yang membawa kepada peningkatan nilai perniagaan jangka panjang. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Revenue Monster sila layari www.revenuemonster.my atau ikuti @RevenueMonster di media sosial.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.