Isi Petrol Dengan Satu Ketik Sahaja Melalui Aplikasi Setel.

KUALA LUMPUR, 5 September 2022 – Setel menaik taraf pengalaman mengisi petrol buat para pengguna kenderaan di Malaysia dengan fungsi ‘One-Tap Fuelling’; membolehkan pengguna mengaktifkan pam petrol dengan satu ketik sahaja di mana-mana stesen PETRONAS seluruh negara, lalu mengisi petrol dan meraih mata ganjaran Mesra.

Solusi yang pertama seumpamanya ini disediakan sekarang untuk 1,000 pengguna Setel pertama yang berdaftar di seluruh negara, dan ketersediaannya akan diperluaskan secara berperingkat sepanjang dua bulan yang akan datang.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkongsi, “Kami sedang giat menginovasi dan membangunkan solusi-solusi yang dapat memenuhi keperluan pengguna yang kian berubah, terutamanya dalam fasa endemik ini di mana warga Malaysia lebih kerap bergerak. Sejak empat tahun yang lalu, para pengguna setia kami telah menikmati pengalaman mengisi petrol yang lebih memudahkan di stesen-stesen PETRONAS. Dan kini, pengguna yang biasanya harus membuat beberapa ketikan sebelum dapat mengisi minyak, boleh berbuat demikian dengan satu ketik sahaja menerusi aplikasi Setel. Pengguna tidak perlu lagi mengeluarkan dompet atau kad untuk mengisi petrol dan memperoleh mata ganjaran. Sesungguhnya, kami memahami kepentingan sumber masa bagi para pengguna.”

Pengguna Setel yang berminat juga boleh mendapatkan akses awal dengan memuat naik halaman “Dah Setel So Far” masing-masing dalam bentuk Instagram Story atau Tweet dengan kapsyen: “I want One-Tap Fuelling now”, di samping men-tag @setel dan sertakan tanda pagar #SetelOneTapFuelling. Mulai hari ini hingga 4 Oktober 2022, pengguna Setel juga berpeluang memenangi kotak hadiah edisi terhad oleh Setel apabila mereka memuat naik video mereka yang paling kreatif di Instagram atau Twitter yang menunjukkan pengalaman mereka menggunakan fungsi ‘One-Tap Fuelling’, berserta dengan tag @setel dan tanda pagar #SetelOneTapFuelling.

Melalui fungsi tersebut, pengguna Setel dapat menetapkan kuantiti petrol yang ingin diisi – mengikut liter atau tangki penuh, di laman ‘Keutamaan’ semasa mengkonfigurasi fungsi ‘One-Tap Fuelling’. Pengguna juga boleh menetapkan kaedah pembayaran pilihan masing-masing; yang termasuk CardTerus untuk pembayaran terus atau melalui kad debit atau kredit, serta Setel Share, iaitu kemudahan yang membolehkan pengguna berkongsi Setel Wallet atau CardTerus mereka dengan dua individu lain bagi membuat bayaran sambil bersama-sama meraih mata ganjaran Mesra.

Muat turun versi aplikasi Setel yang terkini secara percuma di iOS dan Android melalui Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Untuk maklumat lanjut mengenai Setel, sila layari https://www.setel.com/.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.