Lazada Malaysia dan FAMA Berganding Bahu Percepatkan Pendigitalan Usahawan Tani dan Sektor Pertanian Negara

Sebagai tindak balas kepada cabaran yang dihadapi oleh sektor pertanian tempatan, Lazada Malaysia telah berganding bahu dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mendigitalkan perniagaan usahawan tani tempatan menerusi program “Onboarding” Produk Agromakanan di Platform E-Dagang.

Berbekalkan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam pembangunan sektor pertanian negara, projek perintis ini bakal menyaksikan beratus-ratus usahawan tani tempatan memulakan perjalanan mereka di platform eDagang Lazada dalam usaha menyokong sektor pertanian negara.

Program tersebut, yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif E-Dagang MDEC dalam Belanjawan 2021 dapat mempercepatkan proses pendigitalan ladang-ladang dan usahawan tani dalam usaha merangsang pertumbuhan kategori tersebut dalam ekonomi digital. Dengan kerjasama Lazada, FAMA akan menghubungkan rangkaian peladang mereka kepada platform e-Dagang. Malah usahawan tani yang baru menyertai platform bukan sahaja boleh belajar di Lazada University, malah dapat membantu mereka membuka gedung digital masing-masing. Mereka juga boleh menggunakan pelbagai alat digital untuk beroperasi dan menambah baik keupayaan jualan dalam talian.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia akan dapat menikmati pelbagai manfaat sebagai pengguna seperti Penghantaran Percuma dan baucar diskaun bernilai sehingga RM15 dengan perbelanjaan minimum RM60. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Lazada untuk menggalakkan pembeli Malaysia untuk menyokong dan membeli barangan ‘lokal’ dalam talian.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), 91 peratus daripada usahawan tani tempatan menghadapi masalah menjual produk pertanian pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun lepas[1]. Lazada adalah antara syarikat pertama di Malaysia untuk menangani isu tersebut pada bulan Mac tahun 2020 dengan menerapkan usahawan tani yang terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan dan pandemik seperti usahawan tani Cameron, Penternak Udang Negeri Selangor dan banyak lagi menerusi pakej rangsangan Pakej Kedai Pintar.

Sejak itu, Lazada telah memainkan peranan secara proaktif menggalakkan pendigitalan usahawan tani bukan sahaja untuk menghubungkan pengeluar makanan kepada kumpulan pelanggan lebih luas, tetapi juga untuk memastikan rakyat Malaysia boleh terus mendapat bekalan barangan segar bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Pendigitalan sektor ini amat penting untuk memastikan perniagaan kecil dan sederhana dalam industri pertanian dapat mencapai kemampanan jangka panjang dalam era di mana pengguna berusaha mengurangkan sentuhan fizikal dan membeli-belah dalam talian untuk barangan runcit dan keperluan kini menjadi kebiasaan. Menerusi kerjasama ini, kami berharap masyarakat pertanian dapat mendigitalkan perniagaan dan memindahkan produk mereka ke dalam talian dengan bantuan Lazada. Platform Lazada menyediakan saluran terus untuk menjual hasil tanaman dalam talian, yang dihantar terus ke meja pengguna pada harga yang lebih baik, manakala pengguna boleh membeli daripada mereka dengan lebih cekap dan pada harga yang lebih berpatutan – usaha ini saling menguntungkan pengguna dan pengusaha pertanian,” kata Magnus Ekbom, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia.

“Pandemik telah mencetus anjakan paradigma dalam ekonomi perkhidmatan dan pendigitalan. Usaha sama antara Lazada, FAMA dan MDEC adalah sejajar dengan misi kami dan juga inisiatif Go-eCommerce dan PEMULIH dalam Belanjawan 2021 yang bertujuan memperkasakan usahawan tani untuk memanfaatkan platform dan teknologi digital bagai mengukuhkan lagi capaian dan prestasi pasaran dan dalam proses yang sama, meningkatkan keyakinan pengguna terhadap hasil pertanian tempatan kita. Kerjasama yang berkesan akan membolehkan tahap inovasi lebih tinggi dan MDEC bercadang untuk menggalakkan lebih banyak usaha sama awam swasta,” kata Aiza Azreen Ahmad, Ketua Pegawai Perniagaan Digital, MDEC.

“Melalui kerjasama di antara FAMA, Lazada dan MDEC ini, FAMA mensasarkan nilai jualan sebanyak RM1.5 juta yang akan memberi manfaat kepada 121 orang usahawan tani di bawah bimbingan FAMA dan melibatkan hampir 600 Stock Keeping Unit (SKU). Kerjasama ini akan diperluaskan lagi kepada lebih daripada 50,000 orang usahawan tani sedia ada FAMA di selurus negara. Di samping itu juga, FAMA akan dapat memperkasakan lagi platform pemasaran bagi membantu usahawan tani meningkatkan pendapatan mereka ke arah pendigitalan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).” ujar Dato’ Haji Mohamad Mustahapa Bin Awang, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA.

Kempen ini, yang merupakan lanjutan pakej rangsangan Pintar Niaga, akan memberi peluang kepada pelanggan untuk memanfaatkan sepenuhnya rangkaian teknologi dan alat digital inovatif Lazada. Latihan dan pembangunan penjual menerusi Lazada University serta kempen pemasaran dapat membantu mereka meluaskan capaian dan berhubung dengan pelanggan masing-masing, dan membezakan diri mereka di platform eDagang. Manfaat tambahan yang disediakan untuk menggalakkan kunjungan ke gedung dalam talian mereka termasuk:

  • Potongan RM12 bagi yuran penghantaran dengan perbelanjaan minimum RM40
  • Potongan RM5 bagi pesanan dengan perbelanjaan minimum RM30
  • Potongan RM15 bagi pesanan dengan perbelanjaan minimum RM60
  • Kredit iklan RM300 (untuk usahawan tani yang turut serta sebelum 1 Sept)
  • Kredit iklan RM150 (untuk usahawan tani yang turut serta mulai 1 Sept)

Sebelum ini, iaitu pada bulan Julai, Lazada telah bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan MDEC untuk melancarkan inisiatif ‘Shop Malaysia Online’ dan ‘Go-eCommerce’ untuk menyokong PKS dan produk tempatan. Inisiatif ini akan berterusan sehingga 31 Disember 2021. Usahawan tani yang menceburi dunia digital menerusi program “Onboarding” Produk Agromakanan Di Platform E-Dagang juga layak menikmati tawaran daripada kempen ‘Shop Malaysia Online’ termasuk baucar diskaun RM10 dengan perbelanjaan minimum RM100, Crazy Flash Sale dan Penghantaran Percuma Harian.

Lazada Malaysia bertekad untuk menggalakkan pendigitalan komuniti PKS tempatan dan akan terus berbuat demikian. Sejak pelancaran pakej rangsangan pertamanya, iaitu ‘Pakej Kedai Pintar’ pada April tahun lepas, Lazada telah membantu beratus ribu PKS tempatan menjual di dalam talian dan menyokong pemulihan ekonomi mereka menerusi manfaat dan inisiatif yang tersesuai. Hasilnya ialah pertambahan 300 peratus dalam bilangan penjual baharu yang telah turut serta, dengan peningkatan jualan yang berganda.

Untuk maklumat lanjut, sila klik: https://lzd.co/FamaLazadaMY

[1] https://ap.fftc.org.tw/article/2679

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.