Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Anjur Persidangan Percukaian Kebangsaan 2022 Kali Ke-22

Kuala Lumpur, 02 Ogos 2022 – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) hari ini menganjurkan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2022 (National Tax Conference 2022 @ NTC 2022) secara bersemuka serta dalam talian menerusi platform aplikasi Zoom. Persidangan yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini menghimpunkan lebih 2,000 orang pengamal percukaian dengan tema The Role of Taxation in Post Pandemic Recovery.

Majlis perasmian NTC 2022 telah disempurnakan oleh YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I. Turut bersama-sama hadir dalam sesi perasmian ini ialah YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBrs. Encik Chow Chee Yen, Presiden CTIM, YBrs. Encik Roszamman bin Md Nawi, Pengarah Akademi Percukaian Malaysia (APM) dan YBrs. Encik Soh Lian Seng, Timbalan Presiden CTIM.

YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah dalam kenyataannya menyatakan bahawa “Percukaian adalah amat penting bagi membantu pembangunan negara, lebih-lebih lagi dalam membangunkan semula negara pasca pandemik COVID-19. Memandang ke hadapan, saya percaya HASiL, dengan kerjasama pihak pembayar cukai dan agensi- agensi berkaitan akan memainkan tanggungjawab masing-masing demi memastikan usaha pemulihan ekonomi negara berada di landasan terbaik”.

Bercakap berkenaan Sustainable Development Goals (SDGs), beliau berkata kerajaan perlu memperkukuhkan sistem percukaian yang sedia ada bagi meningkatkan kecekapan agar dapat memenuhi matlamat SDGs tersebut sekali gus menyokong kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif. Pada peringkat domestik, undang-undang dan polisi yang lebih efektif perlu diperkenalkan dan dalam masa yang sama pelarian serta pengelakan cukai turut diperangi.

Ujar beliau lagi, di peringkat antarabangsa Malaysia sentiasa responsif terhadap perubahan semasa khususnya dalam persetujuan piawaian percukaian antarabangsa bagi memastikan persekitaran yang kompetitif untuk menarik pelaburan langsung asing dan tempatan di samping mencegah sebarang aktiviti pelarian cukai rentas sempadan. Mengulas mengenai pematuhan cukai dalam kalangan syarikat multinasional, beliau menyatakan kerajaan melalui HASiL akan terus berusaha merangka strategi yang komprehensif bagi memastikan setiap syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini membayar amaun cukai yang sepatutnya.

YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi, dalam ucapannya menekankan peranan HASiL sebagai pemudah cara dalam meningkatkan kadar pematuhan cukai secara sukarela menerusi program-program pendidikan cukai secara libat urus bersama dengan komuniti percukaian. Bagi tujuan tersebut, HASiL memfokuskan kepada tiga pendekatan iaitu Kesedaran Cukai (Awareness), Pendidikan Cukai (Education) dan Perkhidmatan Cukai (Services).

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui:

  • Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
  • HASiL Live Chat; dan
  • Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.