LHDNM Bersolidariti Menangani COVID-19 Dengan Menyumbang Kepada Akaun Amanah Bencana

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bersolidariti menangani pandemik COVID-19 dengan menyumbangkan sebanyak RM459,590.00 kepada Akaun Amanah Bencana.

Majlis ringkas penyerahan sumbangan tersebut telah berlangsung pada hari ini di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim Kuala Lumpur dan disampaikan oleh YBhd. Dato’ Sri Dr. Sabin bin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM kepada YBhd. Dato’ Asri bin Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendeharaan.

Sumbangan yang diberikan secara sukarela oleh semua pegawai dan kakitangan LHDNM ini sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan dalam usaha memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan. Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan usaha LHDNM secara berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara.

Adalah diharapkan agar sumbangan ini dapat membantu usaha kerajaan memerangi dan melandaikan jangkitan baharu COVID-19, sekaligus membantu kejayaan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Previous ArticleNext Article

UOB Malaysia Ubah Pengalaman Perbankan Digital Untuk Pelanggan Korporat Melalui UOB Infinity

Kuala Lumpur, Malaysia, 10 Ogos 2022 – Pelanggan korporat UOB Malaysia dapat mengurus keperluan perbankan mereka dengan cara yang lebih mudah dan diperibadikan tidak lama lagi.

UOB Infinity menawarkan papan pemuka dalam talian yang boleh disesuaikan, justeru membenarkan pelanggan memberi keutamaan dan memaparkan maklumat yang paling penting bagi mereka secara visual. Pelanggan korporat, dengan sepintas lalu, dapat melihat keadaan kewangan syarikat, termasuk pasaran luar negara mereka.

Pada platform digital ini, pelanggan boleh menguruskan pelbagai aktiviti perbankan domestik dan rentas sempadan, daripada menyemak akaun UOB di beberapa pasaran sehinggalah kepada melakukan pembayaran tempatan dan antarabangsa, tanpa perlu log masuk ke berbilang platform.

Untuk pelanggan dalam perjalanan, UOB Infinity juga boleh dimuat turun sebagai aplikasi mudah alih. Log masuk biometriknya melalui soft token membolehkan akses yang lebih pantas dan kebenaran transaksi yang dipermudahkan sambil mengekalkan keselamatan. Soft token aplikasi mudah alih ini dilengkapi dengan pengesahan berbilang faktor bagi membolehkan syarikat meluluskan dan menjelaskan transaksi.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Pelancaran UOB Infinity hari ini merupakan satu lagi bukti komitmen UOB Malaysia dalam membantu syarikat korporat menyesuaikan diri dengan realiti baharu ekonomi digital. Kami telah membangunkan UOB Infinity untuk menangani pelbagai keperluan korporat selepas mempertimbangkan pandangan daripada pelanggan kami. Ini termasuk keperluan perdagangan dan keupayaan untuk menjejaki syarikat mereka dalam masa nyata di semua pasaran di mana mereka beroperasi. Matlamat kami adalah untuk membantu pelanggan meningkatkan kecekapan operasi mereka dan membuat keputusan perniagaan yang lebih baik melalui pendigitalan, selain membantu mereka merebut peluang serantau melalui kesalinghubungan Bank.”

Kepastian dan ketelusan yang lebih tinggi apabila membuat pembayaran rentas sempadan

UOB Infinity juga menangani kekurangan penjejakan dalam masa nyata apabila pelanggan korporat membuat pembayaran rentas sempadan. Penyelesaian digital ini menyediakan pemberitahuan masa nyata kepada perniagaan melalui SMS atau e-mel apabila pembayaran mereka berjaya dikreditkan ke dalam akaun penerima, oleh itu mereka tidak perlu bersusah payah menyemak status transaksi secara manual.

Pelanggan juga akan dimaklumkan tentang caj untuk transaksi rentas sempadan, termasuk caj daripada bank perantara. Ciri ini memberi perniagaan lebih ketelusan tentang kos yang ditanggung untuk transaksi tersebut. Ini membantu mengelakkan berlakunya pertikaian dalam jumlah akhir yang diterima oleh penerima akibat caj yang terlibat.

Encik Lucas Chew, Ketua Negara Perbankan Transaksi, UOB Malaysia berkata, “Dengan UOB Infinity, pelanggan korporat kami dapat mengurus perbankan mereka dengan cara yang lebih mudah, bijak dan diperibadikan melalui antara muka mesra pengguna dan kefungsian baharu yang lebih luas. Syarikat korporat juga dapat mengurus aliran tunai mereka dengan lebih cekap selain melihat maklumat akaun dalam masa nyata di beberapa pasaran dan juga mengakses pelbagai transaksi perbankan domestik dan rentas sempadan secara dalam talian. Melangkaui kemudahan ini, kami juga telah memastikan bahawa transaksi mereka boleh dijalankan dengan selamat melalui token digital Infinity Secure kami.”

Aplikasi mudah alih dengan rangkaian fungsi pembayaran yang komprehensif

Peningkatan dalam penggunaan pembayaran elektronik untuk transaksi perniagaan pada masa kini bermakna aplikasi UOB Infinity membolehkan pelanggan korporat mengurus semua keperluan pembayaran mereka dengan cekap melalui peranti mudah alih.

Pelanggan boleh membuat pelbagai jenis pembayaran – daripada pembayaran bil tempatan kepada pemindahan dana domestik dan rentas sempadan. Aplikasi ini menyokong perkhidmatan seperti GIRO Antara Bank, DuitNow, JomPAY, Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) dan juga pemindahan bertelegraf.

UOB sentiasa menyokong pelanggannya dalam usaha mereka ke arah mengamalkan pembayaran dan kutipan secara digital. Pada separuh pertama 2022, UOB Malaysia menyaksikan peningkatan lebih lima kali ganda dalam bilangan transaksi korporat DuitNow berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Untuk terus memacu penggunaan kutipan tanpa sentuh, pelanggan juga boleh menjana kod QR melalui UOB Infinity untuk meminta bayaran DuitNow daripada pembeli mereka.

Aplikasi mudah alih UOB Infinity boleh dimuat turun daripada Google Play dan Apple App Store. Pelanggan juga boleh menyediakan log masuk biometrik mereka sendiri untuk mengakses aplikasi mudah alih ini dengan lebih mudah. Pengguna platform perbankan internet perniagaan sedia ada UOB Malaysia, UOB BIBPlus, boleh log masuk ke UOB Infinity dengan maklumat yang sama.

Untuk maklumat lanjut tentang UOB Infinity, sila layari: www.uob.com.my/infinity.