Makeblock Umum Perkongsian Pendidikan Dengan Penyelesaian Simpanan Gratnells

SHENZHEN, China, 15 November 2018 /PRNewswire/ — Makeblock, penyedia penyelesaian pendidikan STEAM yang terkemuka, mengumumkan kolaborasi mereka dengan Gratnells, sistem simpanan bilik darjah yang terkenal di dunia, bagi menyediakan penyelesaian pendidikan STEAM yang canggih untuk pasaran pendidikan Cina. Makeblock akan bekerjasama dengan Gratnells untuk menyediakan sistem pengurusan bilik darjah STEAM yang mudah dan termaju, bagi mewujudkan ruang bilik darjah yang menarik yang dapat melibatkan para pelajar, membolehkan akses terurus kepada sumber dan mengilhamkan daya kreativiti.

Merangkumi kit robotik pendidikan STEAM dan sumber-sumber kurikulum, Makeblock menyediakan penyelesaian perkakasan, perisian dan kandungan paling lengkap, pengaturcaraan grafik dan pertandingan robotik tahap tertinggi, menyasarkan pasaran pendidikan dan hiburan STEAM untuk sekolah, institusi pendidikan dan keluarga dengan tujuan untuk mencapai penyepaduan mendalam antara teknologi dan pendidikan.

“Perkongsian kami dengan Gratnells benar-benar saling menguntungkan memandangkan ia disambut dengan semangat yang begitu tinggi daripada pendidik-pendidik di mana-mana juga,” kata Jasen Wang, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Makeblock. “Kami sentiasa berusaha untuk berkolaborasi dengan syarikat-syarikat yang sealiran seperti Gratnells, yang mana tumpuan utamanya adalah untuk meningkatkan pendidikan kanak-kanak.”

Makeblock ialah sebuah syarikat multinasional dengan lebih 500 kakitangan dan syarikat-syarikat subsidiari di A.S., Belanda, Jepun dan Hong Kong. Ia bekerjasama dengan lebih 1,600 rakan kongsi saluran global dan menjalankan perniagaan di lebih 140 negara dan menjalin penglibatan dengan Microsoft serta rakan-rakan kongsi strategik seperti SoftBank C&S Jepun. Lebih 20,000 sekolah di seluruh dunia mendapat manfaat daripada penyelesaian STEAM Makeblock.

“Kami teruja untuk menjalin kerjasama dengan Makeblock tatkala kami terus berkembang merentas persekitaran pendidikan,” kata Spencer Randon, Pengarah Komersial untuk Gratnells. “Dengan mempaketkan Makeblock dalam bekas simpanan Gratnells, penggunaan dan simpanan Makeblock menjadi lebih cekap, membolehkan para guru meluangkan lebih banyak masa terhadap hal yang benar-benar penting, iaitu mengajar dengan tujuan untuk meningkatkan hasil pembelajaran.”

Sejak 40 tahun lalu, Gratnells menjalin kerjasama dengan pembuat-pembuat perabot sekolah yang utama di peringkat antarabangsa yang mencipta dan mengkomersialkan model-model perabot menggunakan sistem bekas simpanan. Bekas simpanan Gratnells terbukti amat popular dan kini dapat dilihat hampir di setiap bilik darjah.

Bekas simpanan Gratnells yang diuji BSI dan memenangi anugerah antarabangsa direka untuk penggunaan pendidikan berat. Bekas-bekas ini didatangkan dengan 12 warna dan empat ketinggian berbeza (Bekas simpanan leper 3 inci F1; bekas simpanan kedalaman 6 inci F2, bekas simpanan kedalaman tambahan 9 inci F25 dan bekas simpanan jumbo 12 inci F3), membolehkan para guru untuk memilih bekas simpanan yang sesuai untuk keperluan mereka. Meskipun semua bekas simpanan Gratnells dibina untuk tahan lama, kesemua bekas tersebut boleh dikitar semula sepenuhnya.

Untuk maklumat lanjut sila log masuk ke www.makeblock.com dan www.gratnells.com.

Latar Belakang Makeblock

Ditubuhkan pada tahun 2013, Makeblock Co., Ltd, ialah penyedia penyelesaian pendidikan STEAM yang terkemuka. Misi mereka adalah untuk membantu orang ramai mengubah idea mereka menjadi kenyataan dan untuk membawa pendidikan ke tahap seterusnya. Menawarkan kit robot boleh diprogram yang mudah digunakan, platform binaan blok elektronik, platform robotik Pembuat, kursus dan aplikasi pengaturcaraan visual, ia menyasarkan untuk menyerlahkan potensi penuh mereka. Dengan membangunkan produk perkakasan dan perisian ini serta acara-acara operasi, Makeblock menurunkan tahap ambang pencapaian penciptaan agar setiap orang dapat merealisasikan idea mereka dan menikmati pengalaman penciptaan.

Latar Belakang Gratnells

Gratnells ialah peneraju dunia bagi penyelesaian simpanan sekolah, mereka bentuk, membangunkan dan mengeluarkan sistem simpanan memenangi anugerah untuk pasaran pendidikan. Mengkhusus dalam simpanan sekolah dan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi strategik bermula dengan pengeluar perabot yang terkemuka kepada pembekal kit STEAM termaju, bekas simpanan Gratnells menjadi sistem simpanan ikonik pilihan, diguna pakai oleh sekolah-sekolah dan pembekal-pembekal peralatan di lebih 65 negara. Gratnells turut meluaskan lingkungan rangka dan kart sekolah rendah dan sekolah menengah mereka bagi melibatkan taska dan pusat pembelajaran awal, selain menjadi salah satu pembekal utama kepada hospital dan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Sumber: Makeblock

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.