Mattel Berganding Bahu Dengan Shopee untuk Bawa Pictionary Air ke Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 10 Julai 2019 – Mattel, syarikat hiburan kanak-kanak global yang terkemuka, telah berganding bahu dengan Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan untuk menjadi rakan dalam talian eksklusif bagi pelancaran Pictionary Air buat pertama kali di Asia Tenggara. Permainan yang amat dinanti-nantikan ini telah dilancarkan dengan gilang-gemilang di Pesta Mainan New York pada bulan Februari lepas, dan kini Mattel membawakannya kepada rangkaian pembeli Shopee yang luas, termasuk kumpulan pengguna yang muda dan arif.

Pictionary Air ialah jelmaan moden daripada permainan melukis klasik kegemaran ramai, menjanjikan aktiviti menyeronokkan yang sesuai untuk setiap majlis dan pertemuan dengan rakan taulan dan sanak saudara. Para pemain tidak lagi menggunakan pensel dan kertas biasa, sebaliknya menggunakan pen ringan berteknologi tinggi dan skrin. Pemain kemudiannya membuat lakaran mereka di udara yang muncul pada skrin dalam masa sebenar. Lakaran boleh dipaparkan pada apa jua skrin yang diingini oleh pemain, sama ada peranti mudah alih atau televisyen yang dilengkapi dengan Chromecast atau AirPlay.

Tara Scoville

Ian Ho, Pengarah Pemasaran Serantau, Shopee berkata, “Kami bersukacita untuk berganding bahu dengan Mattel untuk menjadi platform e-dagang eksklusif pertama yang melancarkan Pictionary Air. Kategori mainan dan kanak-kanak Shopee adalah salah satu daripada kategori kami yang mempunyai prestasi paling kukuh dan kejayaan kami berteraskan pakatan dengan jenama seperti Mattel yang membawakan produk unik kepada pengguna kami. Kerjasama ini membuktikan komitmen kami untuk terus mengukuhkan tawaran kami menerusi kerjasama khas dan penglibatan pengguna supaya pembeli dapat menikmati pilihan produk yang tiada tandingan.”

Pictionary Air mungkin lebih mencabar daripada Pictionary biasa kerana pemain tidak dapat melihat apa yang dilukis masing-masing. Permainan ini menjamin keseronokan dan pemain pasti tidak kering gusi sambil meneka lakaran yang dibuat oleh anggota pasukan masing-masing. Para pemain juga boleh merakamkan saat-saat menyeronokkan, menyimpan video tersebut dan kongsikan di media sosial.

Tara Scoville

Bersempena pelancarannya, pembeli berpeluang menyaksikan Shopee LIVE, saluran siaran langsung popular Shopee untuk melihat bagaimana permainan ini dimainkan. Permainan Pictionary Air telah ditunjukkan secara langsung oleh pengacara Shopee LIVE Bella Zahir dan Nurin Afiqah sambil mereka bersaing dalam satu pertarungan hebat Pictionary Air. Para penonton berpeluang menyaksikan sesi yang menyeronokkan serta menghiburkan dan bagi mereka yang terlepas siaran ini boleh menonton siaran ulangan di https://shopee.com.my/ShopeeLivePictionary melalui aplikasi Shopee.  

Pictionary Air kini boleh didapati secara eksklusif di Shopee Malaysia pada harga RM129.90 di kedai rasmi Mattel. Produk ini juga boleh didapati di Shopee di Thailand, Indonesia dan Filipina pada minggu-minggu akan datang dan akan dilancarkan di seluruh rantau dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

Semua produk Mattel boleh didapati menerusi kedai rasmi di Shopee. Produk-produk di bawah Shopee Mall datang dengan pulangan percuma 15-hari, jaminan ketulenan 100% dan penghantaran percuma. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Muat turun aplikasi Shopee dan aplikasi Pictionary Air secara percuma menerusi App Store atau Google Play.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI