MyMy Bersedia untuk Ujian Beta & Memperkenalkan Inovasi Produk Diinspirasikan oleh Malaysia

MyMy, syarikat Teknologi Kewangan dan penyedia e-dompet tempatan yang sedang meningkat naik di Malaysia, hari ini memperkenalkan ciri-ciri kad dan aplikasinya yang maju dan terkini, selari dengan kesediaannya untuk memasuki fasa Ujian Beta yang dijadualkan pada Januari 2022.

Disokong oleh permintaan hasil daripada kajian pasaran yang mendalam, penawaran utama MyMy termasuklah kad prabayar tiada nombor yang meningkatkan lagi tahap keselamatan bagi transaksi pembayaran fizikal. Bagi transaksi dalam talian pula, MyMy memperkenalkan ciri-ciri biometrik untuk mengesahkan transaksi – satu elemen sekuriti yang menggantikan risiko-risiko yang berkait dengan kaedah pengesahan lain yang merumitkan.

“Kami mendengar apa yang rakyat Malaysia mahukan dan memberikan perhatian yang sangat serius terhadap peningkatan kes penipuan bagi pembayaran digital dan secara dalam talian. Sebab itulah kami telah mengenal pasti keperluan untuk menggunakan ciri-ciri biometrik sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan kami, dan tidak lama lagi, keupayaan pengecaman wajah juga akan turut diperkenalkan. Kad prabayar tiada nombor kami turut menambah kepada tahap keselamatan bagi menghalang sebarang tipu helah dan pembelian tanpa kebenaran,” kata Pengasas Bersama MyMy, Joe McGuire.

Memandangkan sektor pelancongan di seluruh dunia dijangka akan kembali rancak mulai 2022, beliau menambah bahawa kad prabayar tiada nombor MyMy bukan sahaja menjadi alternatif lebih murah berbanding kad debit atau kredit, tetapi ia juga diterima di peringkat global di lebih 80 juta premis perniagaan dan ATM di seluruh dunia, tidak seperti kod QR yang terhad penggunaannya dan hanya diterima di Malaysia. Pengguna MyMy juga akan lebih selesa dengan keupayaan kawalan pantas tambahan di dalam aplikasinya seperti kunci kad, set semula pin, kawalan buka dan tutup untuk luar negara, transaksi dalam talian dan pembayaran tanpa sentuh, serta penetapan had dan jumlah yang dibenarkan untuk pengeluaran ATM.

Selaras dengan wawasan Bank Negara Malaysia (BNM) ke arah mewujudkan sistem kewangan yang lebih cekap dan selamat, MyMy terus berinovasi dengan teknologi dan dijangka akan mengumumkan lebih banyak lagi penawaran produk baru dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Pada September 2020, MyMy telah memperoleh suntikan modal RM10 juta daripada Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera), dan pada awal April tahun ini, MyMy juga telah menerima kelulusan bersyarat untuk lesen wang elektronik daripada BNM. Terbaru pada Oktober, ianya telah muncul sebagai salah satu syarikat pemula Malaysia pertama yang mengalu-alukan keahlian utama daripada Mastercard.

“Pasukan kami ketika ini sedang bekerja keras ke arah menyempurnakan aplikasi dan penawaran produk MyMy,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai eksekutif MyMy, Kishore Samuel. “Rancangan kami untuk memulakan tahun baru dengan fasa Ujian Beta juga sedang berjalan lancar dengan sokongan dan semangat daripada para pengguna kami yang telahpun membuat pra pendaftaran. Kami sentiasa merancang untuk berkembang, dan akan ada banyak lagi inovasi serta peluang baru daripada MyMy di masa depan,” tegas Kishore.

Mulai 15 hingga 25 Disember 2021, MyMy memulakan musim perayaan Krismas dengan memberikan kredit sebanyak RM100 melalui Peraduan 10-Hari Menjelang Krismas. Ianya merupakan kempen istimewa selama 10 hari sahaja, di mana mereka yang mengambil bahagian akan dikira berjaya melalui cara mengumpul mata dengan merujuk sekurang-kurangnya 10 orang rakan-rakan secara minimum untuk mendaftar di www.my-my.com, dan mengikuti platform media sosial MyMy di Instagram, Facebook, LinkedIn dan Twitter.

Mengenai MyMy

MyMy adalah penyedia perkhidmatan e-dompet diinspirasikan oleh Malaysia yang menyasarkan untuk menjadi syarikat teknologi kewangan terkemuka di negara ini. MyMy menonjolkan keberanian dalam mencabar produk dan perkhidmatan kewangan Malaysia dengan memanfaatkan kemajuan teknologi bagi mencipta inovasi dan penyelesaian bertaraf dunia. MyMy berjaya memperoleh kelulusan bersyarat untuk lesen wang elektronik daripada Bank Negara Malaysia pada 2021. Syarikat pemula Malaysia yang sedang meningkat naik ini sangat berdedikasi ke arah menyediakan kawalan kewangan yang mengagumkan bagi memperkasakan rakyat Malaysia yang mengutamakan tahap keselamatan yang tinggi, akses global dan harga yang telus.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila kunjungi www.my-my.com.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.