Naungan Habib Group Lancarkan Pameran Barangan Kemas Antarabangsa – Tampilkan Pelbagai Jenama

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2022HABIB Group yang menaungi jenama barang kemas tempatan terulung di Malaysia, HABIB (dahulu Habib Jewels), mula mengorak langkah dengan melancarkan Pameran Jenama Antarabangsa buat pertama kali yang menampilkan jenama-jenama dibawah naungan mereka di ruang legar IOI City Mall, Putrajaya bermula 27 Julai sehingga 7 Ogos 2022, sepanjang waktu operasi pusat membeli-belah tersebut.

Istimewanya pameran ini adalah jenama-jenama yang dipamerkan berada di satu lokasi sekaligus memberikan pengalaman yang baharu kepada penggemar barangan kemas dan perhiasan mewah untuk melihat pelbagai barangan berjenama termasuk aksesori, jam tangan, minyak wangi, skarf, cermin mata dan barangan kulit.

Dato’ Sri Meer mengambil langkah ini sebagai satu usaha untuk mengembangkan potensi perniagaan yang lebih meluas dalam industri barang kemas dan fesyen. Antara jenama dipamerkan adalah HABIB, Hearts On Fire®, Stephen Webster, Korloff, Pandora, Tous dan Ice Watch.

Semenjak mula beroperasi pada tahun 1958, HABIB telah melalui banyak perubahan untuk menjadi sebuah jenama yang terkenal dengan menghasilkan produk berkelas dunia. Pameran ini juga menyaksikan satu pencapaian bagi HABIB sebagai sebuah jenama tempatan yang setanding dengan jenama antarabangsa.

Acara kemuncak pada pelancaran ini adalah pertunjukan fesyen dari semua jenama di bawah naungan HABIB Group dengan menampilkan barisan peragawati yang mewakili negara asal jenama-jenama tersebut. Pertunjukan fesyen ini juga menampilkan koleksi eksklusif yang terkenal daripada HABIB iaitu Oro Italia 916® serta barangan berlian dan batu permata.

Bermula sebagai sebuah jenama yang kecil, kini HABIB Group telah berkembang bukan sahaja menerusi jenama barangan tersendiri, tetapi reputasi HABIB yang dipercayai ini juga telah menyumbang kepada kerjasama dengan beberapa jenama terkenal antarabangsa sebagai pengedar eksklusif di seluruh Malaysia.

Sebagai peneraju kepada jenama barangan kemas tempatan, HABIB Group sentiasa ingin memberikan kelainan kepada peminatnya disamping menjaga kualiti barangan setiap jenama dengan harga yang mampu milik.

Sedikit maklumat ringkas berkenaan jenama-jenama naungan HABIB Group:

  • HABIB – Bermula dengan perniagaan barangan kemas berlian dan batu permata, HABIB merupakan jenama tempatan yang mementingkan sentuhan warisan dalam setiap rekaan mereka. Jenama ini semakin dikenali ramai dengan rekaan baharu yang memenuhi cita rasa setiap lapisan generasi. Koleksi-koleksi yang ditawarkan termasuk barangan kemas bertatahkan berlian, batu permata, mutiara, emas 916, Oro Italia 916® dan emas 999 untuk pelaburan seperti jongkong emas dan syiling wafer emas.
  • KORLOFF – Jenama dari Paris ini telah berkolaborasi secara eksklusif dengan HABIB sejak awal tahun 2022. Keunikan Korloff yang terkenal dengan legenda batu berlian hitam yang menyimpan pelbagai kisah semenjak awal kurun ke-20 sehingga kini. Ia tidak hanya menawarkan pelbagai seleksi barangan kemas, malah mereka turut menawarkan koleksi jam tangan mewah, wangi-wangian eksklusif, ‘cufflink’ serta pen yang premium.
  • HEARTS ON FIRE® – Ia merupakan jenama antarabangsa dari Amerika Syarikat yang pertama untuk bernaung di bawah HABIB Group dan hanya boleh didapati di bilik pameran HABIB. Terkenal dengan slogan ‘Potongan Berlian Paling Sempurna Di Dunia’, setiap berlian yang hasilkan mempunyai kilauan yang memukau menerusi cara potongan berlian yang dihasilkan oleh teknik-teknik yang khas.
  • STEPHEN WEBSTER – Berinspirasikan artistik dan inovatif, jenama ini menawarkan barang kemas kontemporari dari London dengan cita rasa ketukangan tradisional yang unggul dan disegani dalam pertukangan British. Koleksi-koleksi jenama ini dihasilkan dengan sentuhan peribadi perekanya, Stephen Webster, menerusi pendekatan yang unik. Jenama ini juga hanya boleh didapati di bilik pameran HABIB di seluruh Malaysia.
  • PANDORA – Pandora lebih dikenali sebagai barangan kemas yang melambangkan ekspresi diri dan meraikan sesuatu peristiwa dalam kehidupan. Setiap charm yang direka mempunyai jalan penceritaan tersendiri kepada penggunanya menerusi gaya yang ditonjolkan. Kini, Pandora telah memiliki lebih 30 butik di Malaysia.
  • TOUS – Jenama Sepanyol ini sudah bertapak lebih dari 50 negara dan mempunyai 700 butik serata dunia. Selain menawarkan barangan aksesori, jenama ini turut membawa barisan produk seperti minyak wangi, beg kulit, dan juga skarf.  Setiap rekaan ini lebih menonjol kepada golongan muda yang menyukai tren yang terkini.
  • ICE WATCH – Ice Watch merupakan jenama jam tangan yang mempunyai rekaan sangat ikonik dengan warna yang terang dan menarik. Berasal dari Belgian, koleksi jam tangan ini amat terkenal dalam golongan kanak-kanak dan remaja. Malah, koleksi-koleksi terbaru mereka juga banyak menampilkan sisi lain jenama ini yang lebih menonjol kepada golongan lelaki dan wanita secara umum.
  • ORO ITALIA 916® – Membawa kepakaran dan teknologi dari Itali khusus untuk HABIB, koleksi ini telah memberikan kelainan kepada pencinta emas menerusi pelbagai warna termasuklah emas kuning, ros dan putih. Rekaan-rekaan ini mendapat sentuhan kemasan yang unik pada setiap satunya seperti ‘high-polish’, potongan berlian dan juga ‘Cataphoresis Lacquer’.

Sepanjang pameran ini berlangsung, para pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM10,000 dengan menyertai peraduan media sosial yang diadakan. Buat mereka yang berada di kawasan yang jauh, boleh kunjungi bilik pameran HABIB yang berdekatan untuk mendapatkan koleksi terbaru. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang HABIB di www.habibjewels.com dan ikuti media sosial HABIB di @habibjewelsoffical.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.