Momentum Commerce Bekerjasama Dengan TikTok Bangunkan Penyelesaian E-Dagang Bantu PKS

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Momentum Commerce Sdn Bhd, pengupaya e-dagang global, telah membangunkan penyelesaian e-dagang dengan kerjasama TikTok bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta jenama tempatan meningkatkan hasil dalam persekitaran peningkatan kos perniagaan.

Momentum Commerce merupakan rakan kongsi sah TikTok Shop di Malaysia yang membantu jenama tempatan memanfaatkan pertumbuhan pengguna aplikasi itu dan kini bekerjasama dengan hampir 30 jenama antaranya Nivea, Eucerin, Wardah dan Al-Ikhsan Sports.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hans-Peter Ressel berkata pasukannya bekerjasama dengan satu daripada kumpulan kecantikan dan penjagaan kulit terbesar Indonesia, Wardah, bagi meningkatkan pengikut Tik Toknya sebanyak 36 kali dalam masa sebulan sahaja. Ia kini mempunyai lebih 60,000 pengikut.

“Pasukan pakar kami dapat menyusun strategi gabungan frekuensi strim langsung dan penghasilan video pendek yang tepat dengan pengaruh dan jenis kandungan yang paling sesuai, untuk memastikan aplikasi berfungsi pada tahap optimum untuk jenama tersebut.

“Kami melihat kadar penukaran jualan lebih daripada lima peratus (pada aplikasi) yang melebihi kadar penukaran perniagaan seperti biasa di pasaran.

“Sudah tentu dengan melaksanakan kempen besar seperti 11.11 dan 12.12, kadar penukaran ini meningkat dengan banyak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dengan pasukan seramai 70 orang, Momentum Commerce meningkatkan usaha di TikTok Shop untuk membantu banyak jenama tempatan serta PKS meningkatkan pendapatan mereka, katanya.

“Kini terdapat banyak jenama kami yang ingin mencapai hasil yang sama (mengulangi kisah kejayaan Wardah) dan kami benar-benar meningkatkan semua Kedai TikTok untuk jenama kami — dengan tumpuan yang besar pada perkhidmatan ini,” katanya.

Ressel juga menekankan bahawa mereka melihat sumbangan hasil e-dagang TikTok Shop untuk jenama melebihi 10 peratus, sambil menambah bahawa pendapatan TikTok Shop dijangka terus berkembang untuk membentuk lebih daripada 50 peratus hasil e-dagang menjelang 2023.

Berkongsi tentang bagaimana beliau memulakan Momentum Commerce, Ressel yang merupakan Bekas CEO Lazada berkata selepas meninggalkan Lazada pada 2018, beliau melihat peluang untuk jenama tempatan dan PKS berkembang lebih besar apabila e-dagang di Asia Tenggara berkembang pesat.

“Bersama Eddy Yap, pengasas bersama saya, saya melihat bahawa dalam perjalanan e-dagang sama ada anda jenama tempatan atau antarabangsa, akan sentiasa ada beberapa bidang dalam rantaian nilai e-dagang anda yang tidak begitu kukuh dan memerlukan bantuan.

“Terdapat banyak inovasi yang berlaku dalam industri dan ia bergerak begitu pantas sehinggakan anda sentiasa memerlukan untuk menjadi pengguna awal bagi inisiatif, inovasi dan alatan tertentu dan kami merasakan dengan gabungan kepakaran kami, kami boleh membantu jenama mempercepatkan kejayaan mereka dalam e-dagang di rantau ini,” katanya.

Ressel dan pasukannya mula bereksperimen dengan TikTok pada penghujung 2019, secara beransur-ansur meningkatkan tumpuannya apabila platform itu mula berkembang dan terbukti memberikan pertumbuhan dan kejayaan untuk jenama dalam masa yang sangat singkat.

“Kami telah membangunkan penyelesaian 360 darjah untuk jenama, bermula dengan perkhidmatan penstriman langsung, penciptaan kandungan dan video pendek.

“Kami mempunyai studio produksi kami sendiri untuk siaran langsung dan video pendek. Kami juga mengambil alih pengurusan ‘key opinion leaders’ (KOL) dan bakat.

“Kami melakukan semua pemasaran kandungan, kami menguruskan TikTok Shop, analisis data dan logistik untuk membawa produk terus kepada pelanggan.

“Gabungan kandungan, strim langsung dan kekerapan yang betul adalah kunci untuk menjadikan algoritma berfungsi untuk anda,” tegasnya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/momentum-commerce-bekerjasama-dengan-tiktok-bangunkan-penyelesaian-e-dagang-bantu-pks/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA