Boleh Ke Beli Emas Secara Ansuran?

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah dibenarkan untuk membeli emas dengan cara hutang? Maksudnya emas tersebut saya ambil dan pakai dahulu, kemudian baru buat pembayaran.

Berdasarkan kepada AL-KAFI #1817: HUKUM MEMBELI EMAS SECARA ANSURAN yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Ringkasan Jawapan

Jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

Huraian Jawapan  

Asalnya, hukum berjual beli suatu barang adalah diharuskan sama ada hendak membeli secara tunai mahupun hutang.

Namun begitu, apabila suatu urusniaga tersebut melibatkan item ribawi (barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba), maka setiap pihak yang terlibat perlu memberikan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.

Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”.

Hadis Muslim (1587)

Berdasarkan hadis di atas, jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh.

Huraiannya, jual beli hendaklah dilakukan secara on the spot dalam satu majlis; sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu.

(Rujuk: Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, m/s 81)

Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah; iaitu riba yang berlaku disebabkan tempoh bayaran bertangguh. Bahkan, lebih dahsyat pengharamannya apabila penangguhan bayaran tersebut disertakan bersama caj tambahan.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/110-111)

Oleh itu, jual beli emas secara ansuran seperti isu di atas adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

Sebagai alternatif, pembeli dibolehkan untuk membuat pinjaman duit daripada pihak ketiga terlebih dahulu sebelum membeli emas tersebut secara tunai.

Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelakkan diri daripada meminjam duit daripada pihak yang sama yang menjual emas tersebut supaya tidak terjerumus dalam larangan Nabi Muhammad SAW berkenaan “jual beli dan hutang” dalam satu masa yang sama.

Ini bersandarkan kepada hadis Baginda,

أنَّ النبيَّ ﷺ نَهى عن بَيعتينِ في بيعةٍ وعن بَيعٍ وسَلَفٍ

Maksudnya“Sesungguhnya Nabi SAW melarang dua jual beli dalam satu transaksi serta jual beli dan hutang”.

Musnad Ahmad (10/120)

Sebahagian ulama antaranya Ibn al-Qayyim Rhm. mengulas hadis di atas bahawa ia menjadi tunjang utama dalam mualamat yang melarang umat Islam daripada berbuat helah untuk melakukan riba dalam jual beli. Hal ini walaupun tidak disebutkan secara jelas namun dapat difahami berdasarkan senario yang berlaku bahawa terdapar dua hasrat yang ingin dicapai oleh kedua-dua penjual dan pembeli, iaitu:

1) Penjual emas meminjamkan duit mereka bertujuan agar emasnya dapat terjual. Sedangkan jika pelanggan tersebut tidak mahu membeli emas tersebut, nescaya penjual tidak meminjamkan duitnya.

2) Pembeli pula sekiranya tidak diberi pinjaman wang kepadanya oleh penjual, nescaya dia tidak akan membeli emas tersebut.

(Lihat: Tahzib Sunan Abi Daud, 2/190)

Akhir kata, kami menasihatkan agar para pembeli tidak menambahkan hutang melainkan untuk perkara-perkara yang mendesak sahaja. Adapun sekiranya mempunyai lebihan wang selepas ditolak perbelanjaan utama, maka diharuskan untuk membeli aset dan hart lain seperti emas dengan syarat pembayaran mestilah dilakukan secara tunai.

Wallahu a’lam.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Harga Emas Boleh Cecah RM700 Segram Menjelang Hujung Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Harga emas berpotensi meningkat kepada RM700 segram menjelang hujung tahun ini didorong ketegangan geopolitik global serta ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Ketika ini, harga komoditi itu diniagakan pada RM582 segram dengan paras tertinggi pernah dicapai ialah sekitar RM675 segram pada awal Januari lalu.

Ahli ekonomi, Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, berkata meskipun terdapat faktor yang boleh menekan harga emas seperti penjualan pegangan oleh sesetengah negara, kesan keseluruhan daripada konflik geopolitik dan kejutan harga minyak dijangka terus menyokong kenaikan logam berharga itu.

“Kalau dilihat kepada keadaan semasa, harga emas memang ada turun naik, tetapi trend jangka panjang masih menaik. Ketegangan geopolitik akan terus menjadi pemacu utama,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog bertajuk ‘Emas dalam persekitaran global yang tidak menentu’ anjuran Habib Jewels Sdn Bhd di sini, hari ini.

Dialog itu dikendalikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib.

Mengulas lanjut, Dr Ahamed Kameel yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Penyelidikan) Universiti Sultan Azlan Shah, berkata harga emas sebelum ini hampir mencecah paras RM700 segram pada Januari lalu sebelum susut semula ke sekitar RM600, namun paras itu dijangka diuji sekali lagi dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, kenaikan harga emas sejak awal 2000 menunjukkan trajektori yang konsisten, sekali gus menepis kebimbangan berlakunya gelembung harga dalam masa terdekat.

“Sejak 2001, harga emas menunjukkan trend menaik yang berterusan. Jadi walaupun sekarang nampak tinggi, saya masih melihat ruang untuk ia meningkat lagi,” katanya.

Sementara itu, Meer Habib berkata, keyakinan pengguna terhadap pembelian emas dilihat terus kukuh meskipun berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk konflik melibatkan Iran, dengan trend pembelian menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh semasa.

Katanya, situasi itu berlaku walaupun harga emas mengalami sedikit penurunan dalam jangka pendek, susulan faktor luaran seperti keperluan negara tertentu menggunakan rizab untuk menampung kos tenaga, khususnya minyak.

“Penurunan harga emas ketika ini tidak menjejaskan sentimen pengguna, malah dilihat sebagai perkembangan positif yang mendorong lebih ramai pelanggan kembali membeli emas.

“Keyakinan pelanggan sebenarnya meningkat. Walaupun harga emas turun sedikit, ia berlaku atas sebab yang baik, antaranya kerana negara menggunakan rizab emas untuk keperluan penting seperti tenaga.

“Ini membuka peluang kepada pengguna yang sebelum ini merasakan mereka terlepas peluang apabila harga terlalu tinggi,” katanya.

Menurut Meer Habib, perkembangan itu menyebabkan peningkatan pembelian emas dalam kalangan pengguna, terutama ketika harga menunjukkan pelarasan sementara.

Dalam masa sama, beliau berkata perubahan tingkah laku pembelian turut ketara apabila semakin ramai lelaki mula membeli emas sebagai instrumen pelaburan, berbanding sebelum ini yang lebih didominasi golongan wanita untuk tujuan perhiasan.

“Jika dahulu pembelian jongkong emas hanya sekitar lima hingga 10 peratus, kini ia meningkat sehingga kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan jualan,” katanya.

Beliau berkata, trend itu mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap emas sebagai aset pelaburan jangka panjang, selain faktor ketidaktentuan ekonomi global yang terus menyokong permintaan terhadap aset selamat .

Pada masa sama, katanya pembelian barang kemas juga kekal kukuh kerana pengguna melihatnya sebagai gabungan nilai estetika dan pelaburan.

“Emas memberi dua manfaat, iaitu sebagai perhiasan dan juga pelaburan. Sebab itu permintaan terhadap barang kemas masih meningkat walaupun harga tinggi,” katanya.

— Berita Harian