PNB Anjur MSAM 2022 Di Port Dickson Dari 24-30 Nov Ini

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) — Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan akan menganjurkan acara perdananya, Minggu Saham Amanah Malaysia 2022 (MSAM 2022), di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Ahmad Zulqarnain Onn berkata acara tahun ini yang berlangsung dari 24-30 Nov, diadakan secara fizikal buat kali pertama selepas berlangsung secara maya pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.

“Acara itu akan mengekalkan tumpuan yang sama terhadap pendidikan pelaburan yang disampaikan secara interaktif dan maklumat hibur dengan tujuan untuk mendidik dan memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan tentang pelaburan dan perancangan kewangan,” katanya pada Majlis Jalinan Rakan Koporat MSAM 2022 di Balai PNB di sini hari ini.

Ahmad Zulqarnain juga berkata PNB, sebagai sebuah institusi pelaburan, bertujuan untuk menyumbang kepada kemampanan ekonomi negara, syarikat dan masyarakat tempatan serta berusaha meningkatkan kadar celik kewangan rakyat.

Dalam satu kenyataan berasingan, PNB berkata MSAM 2022 padat dengan aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran oleh kira-kira 50 peserta pameran daripada kumpulan syarikat PNB, ejen Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.

MSAM 2022 juga akan menawarkan pengunjung pelbagai hadiah bernilai lebih RM1 juta seperti kereta elektrik Hyundai Kona, Toyota Corolla Cross, Perodua Alza dan banyak lagi.

Ia akan terus mengekalkan beberapa aspek digital yang diperkenalkan semasa acara maya seperti e-pendaftaran.

Masuk adalah percuma dan PNB menyasarkan penyertaan 150,000 pengunjung terutama dari sekitar Negeri Sembilan dan lokasi lain yang berdekatan.

Untuk acara tahun ini, Malayan Banking Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd adalah rakan kongsi korporat dalam kategori Rakan Premier, manakala S P Setia Bhd, Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Bhd, MNRB Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd dalam kategori Rakan Utama.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd dan Duopharma Biotech Bhd adalah dalam kategori Rakan.

Rakan korporat ini adalah penyumbang utama kepada sumber pendapatan PNB, juga akan dipamerkan kepada pengunjung.

Orang ramai boleh melihat sendiri kekuatan syarikat tempat wang mereka dilaburkan melalui unit amanah yang diuruskan oleh ASNB, kata kenyataan itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index