Hujan Lebat Berterusan Dijangka Mampu Lonjakkan Harga Getah

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) — Pasaran getah Malaysia bersedia untuk mendapat rangsangan seterusnya daripada fenomena cuaca semasa dengan hujan lebat yang berterusan boleh menyebabkan pengeluaran komoditi itu berkurangan.

Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA)  Denis Low turut meramalkan berikutan keadaan cuaca buruk di negara pengeluar, aktiviti pengumpulan stok juga akan berlanjutan.

”Justeru, mengambil petunjuk daripada kekurangan aktiviti penorehan, kami menjangkakan pasaran akan kekurangan pengeluaran getah dan ini mungkin dapat membantu menstabilkan harga dan menguasai lebih banyak pegangan stok,” katanya kepada Bernama.

Katanya, harga juga tidak banyak berubah dan ini mungkin disebabkan oleh sentimen tidak menentu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 serta kebimbangan bahawa kemelesetan telah berlaku di Eropah.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran getah Malaysia kebanyakannya bercampur-campur kerana pelabur terus bimbang tentang permintaan daripada China. Pengguna getah asli terbesar di dunia itu terus mencatatkan pertumbuhan jualan kereta yang tidak begitu memberangsangkan kerana dasar sifar COVID-19nya menyebabkan pembeli menjauhi pasaran.

Persatuan Pengeluar Automobil China melaporkan jualan kereta meningkat pada kadar paling perlahan dalam tempoh lima bulan pada bulan Oktober iaitu 6.9 peratus tahun ke tahun disebabkan dasar sifar COVID-19.

Bagaimanapun, Low berkata harga minyak meningkat sedikit kerana inflasi AS yang mereda memberikan keyakinan terhadap kenaikan kadar faedah yang lebih kecil pada Disember oleh Rizab Persekutuan, sekali gus menyokong sentimen mengenai prospek ekonomi global masa hadapan.

Di dalam negara, sentimen pasaran turut disokong oleh pengumuman pada Jumaat mengenai pengembangan ekonomi Malaysia sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dengan pertumbuhan tahun penuh 2022 dijangka melebihi unjuran awal tujuh peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ekonomi diunjur berkembang antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus pada 2023 dan seterusnya melepasi paras sebelum pandemik melanda.

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 susut 7.5 sen kepada 578.5 sen sekilogram (kg) daripada 586.0 sen sekg manakala lateks pukal turun 8.0 sen kepada 473.5 sekg daripada 481.5 sen sekg minggu sebelumnya.

Pada 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 adalah pada 587.5 sen sekg manakala lateks pukal pada 474.5 sen sekg.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/hujan-lebat-berterusan-dijangka-mampu-lonjakkan-harga-getah/

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA