Rakuten Trade Dianugerahkan Syarikat Terbaik Tahunan Fintech di Malaysia

Rakuten Trade telah dianugerahkan Syarikat Terbaik Tahunan Fintech oleh YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Kewangan II (tengah) kepada Pengerusi Rakuten Trade Datuk Chay Wai Leong (ke-3 dari kiri), Ahli Lembaga Pengarah Encik Lee Kok Khee (ke-3 dari kanan) dan Pengarah Urusan Encik Kaoru Arai (ke-2 dari kanan)

KUALA LUMPUR, 8 Mac 2018: – Rakuten Trade Sdn Bhd (“Rakuten Trade”), syarikat usaha sama firma Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad (“Kenanga Group”) dan firma Jepun, Rakuten Securities, Inc. (“Rakuten Sec”) telah dianugerahkan sebagai Syarikat FinTech Terbaik Tahunan di Anugerah FinTech Malaysia 2018 baru-baru ini.

Rakuten Trade adalah broker ekuiti dalam talian sepenuhnya yang pertama di Malaysia dan menawarkan perkhidmatan dagangan saham termasuk aplikasi iSPEED.my, versi tempatan aplikasi telefon pintar terkemuka Jepun yang dibangunkan oleh Rakuten Sec. Perkhidmatan perdagangan saham yang berasaskan web dan telefon pintar menawarkan para pelanggan pengalaman perdagangan saham digital sepenuhnya, dari pembukaan akaun, pelaksanaan, penyelesaian perdagangan, penyelidikan dan idea perdagangan serta ganjaran dan pengetahuan kewangan.

Anugerah Fintech Malaysia dianjurkan oleh Persatuan Usahawan Dinamik dan diendorskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Anugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian pemain fintech tempatan.

Anugerah “FinTech Company of the Year” telah dianugerahkan kepada Rakuten Trade bagi mengiktirafkannya sebagai sebuah syarikat FinTech yang telah berjaya merebut peluang untuk merevolusikan industri, memenuhi permintaan pasaran melalui proposisi nilai uniknya, mencapai keseimbangan antara kos dan faedah serta memperluaskan produk dan perkhidmatannya untuk menembusi pasaran dengan jayanya.

Anugerah ini telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Kewangan II, Pengerusi Rakuten Trade Datuk Chay Wai Leong, Ahli Lembaga Pengarah Encik Lee Kok Khee dan Pengarah Urusan Encik Kaoru Arai. “Rakuten Trade adalah usaha pertama Kenanga Group dalam FinTech. Ia ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pasaran sebenar dengan matlamat untuk memodenkan landskap broker equity secara digital,” kata Datuk Chay Wai Leong. “Usaha sama ini dengan syarikat e-dagang terulung Jepun, Rakuten, telah mempercepatkan proses ‘cross-learning’. Kami akan terus berganding bahu untuk membawa manfaat Fintech kepada komuniti pelaburan Malaysia.”

Menurut Encik Yuji Kusunoki, Presiden, Rakuten Sec, Inc. “Rakuten Trade adalah hasil usaha sama luar negara pertama untuk Rakuten Securities. Sejak memasuki pasaran Malaysia pada bulan Mei tahun lepas, Rakuten Trade kini telah berkembang pesat dalam masa kurang dari setahun. Ia telah melampaui jangkaan kami dan akan berusaha untuk terus menikmati kejayaan.”

Hampir 90 syarikat telah dicalonkan untuk Anugerah Fintech Malaysia 2018, di mana 43 syarikat telah disenarai pendek dalam 13 kategori. Calon-calon telah dinilai berdasarkan undi umum, analisis skor ZYGY dan panel hakim.

Rakuten Trade memegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dari Suruhanjaya Sekuriti yang membolehkannya berurusan dengan sekuriti tersenarai dan memberi nasihat pelaburan. Ini adalah hasil kerjasama antara Kenanga Investment Bank Berhad, bank pelaburan bebas terkemuka Malaysia dan Rakuten Securities, Inc. broker dalam talian kedua terbesar di Jepun dan antara anak syarikat utama Rakuten Inc.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang Rakuten Trade, sila layari laman web kami.

Mengenai Rakuten Trade Sdn Bhd

Broker ekuiti dalam talian sepenuhnya yang pertama di Malaysia, Rakuten Trade Sdn Bhd adalah syarikat usaha sama antara firma Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad dan firma Jepun, Rakuten Securities, Inc. Rakuten Trade menawarkan perkhidmatan dagangan sahamnya melalui aplikasi – iSPEED.my – versi tempatan aplikasi telefon pintar terkemuka Jepun yang dibangunkan oleh Rakuten Securities, Inc. Perkhidmatan perdagangan sahamnya berasaskan web dan telefon pintar menawarkan pengalaman perdagangan saham 360° dari pembukaan akaun, pelaksanaan, penyelesaian perdagangan, penyelidikan dan idea perdagangan serta ganjaran dan pengetahuan kewangan. Platform semua-dalam-satu ini membolehkan para pelabur untuk melaksanakan idea dagangan saham mereka sendiri secara menyeluruh. Rakuten Trade memegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (“CMSL”) terhad oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk berurusan dan memberikan nasihat pelaburan kepada sekuriti tersenarai.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.