Razer Merchant Services Raih Lesen Mastercard Direct Acquiring Di Malaysia

Razer Merchant Services bertujuan untuk mencapai keuntungan bersama 23,000 peniaga menerusi produk dan solusi pembayaran MasterCard menjelang tahun 2025

SHAH ALAM, 9 DISEMBER,  – Razer Merchant Services (RMS), satu cabang perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang merupakan sebahagian daripada Razer Fintech, telah mengumumkan bahawa mereka telah memperoleh lesen Mastercard Direct Acquiring, Mastercard Digital Enablement Service (MDES) dan fitur Click to Pay (C2P) pada hari ini. Dengan ini,  peniaga RMS akan mendapat akses  kepada produk dan penyelesaian pembayaran daripada Mastercard. 

Akses kepada penyelesaian pembayaran Mastercard ini akan memberi manfaat  kepada peniaga RMS dalam pelbagai industri menegak termasuk peniaga pasar, penjaja, e-panggilan (e-hailing), e-sukan (e-sport), perkhidmatan atas permintaan, kerajaan dan juga rakan strategik dalam bidang  pendidikan. Akses ini hadir menerusi skim kad yang membolehkan para peniaga untuk menawarkan pembayaran kad kepada pelanggan, dengan sokongan proses permulaan yang lancar dan ciri keselamatan yang ketat.

“Melalui kerjasama ini, RMS berasa bangga dengan usaha untuk memperkasakan peniaga dalam talian di Malaysia dengan akses penuh kepada jutaan pemegang kad Mastercard. Pasukan kami terus bekerjasama dengan Mastercard untuk memastikan bahawa kami boleh menghasilkan pelan sebegini dan dilengkapi proses permulaan serta kaedah pembayaran yang selamat untuk semua rakan peniaga kami di seluruh Asia Tenggara. Kami berhasrat untuk meluaskan keupayaan skim kad kami ke negara lain di samping usaha kami untuk berkembang ke seluruh rantau,” kata Lee Li Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Razer Fintech.

Kerjasama  tersebut terjalin   tepat pada masanya, di mana pengguna  mula meningkatkan penggunaan  e-Pembayaran (ePayment) dalam urusan pembayaran barangan dan perkhidmatan  harian. Menurut laporan Bank Negara, perkhidmatan e-Pembayaran pada tahun 2021 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 30.2% kepada 7.2 bilion transaksi  berbanding 5.5 bilion transaksi pada tahun 2020. Peningkatan ini adalah dua kali ganda berbanding tempoh pra-pandemik, dari tahun 2015 hingga 2019. Secara purata, pengguna membuat 221 transaksi ePayment pada 2021, dan telah meningkat daripada 170 transaksi pada 2021, dengan transaksi tanpa sentuh dan dalam talian terus memacu pertumbuhan ePayment negara.

“Kerjasama  ini amat penting bagi kami kerana Mastercard sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan penerimaan e-Pembayaran dalam kalangan peniaga dengan Razer Fintech. Dengan kerjasama ini, Mastercard boleh terus menyokong rangkaian peniaganya bagi memanfaatkan peluang untuk terus berkembang dalam pasaran e-dagang Malaysia yang semakin maju, termasuklah segmen yang kurang mendapat perhatian seperti peniaga di pasar dan juga penjaja. Selain itu, jalinan kerjasama ini akan menawarkan pilihan kaedah pembayaran tambahan kepada pengguna selain memudahkan mereka untuk melakukan   pembayaran dengan lebih selamat. Ini sekaligus membuktikan komitmen Mastercard dalam memperkasakan peniaga di Malaysia dengan  menyediakan kaedah pembayaran yang canggih dan berinovatif. . Selain itu, Mastercards turut berhasrat untuk memacu penggunaan e-Pembayaran selaras dengan agenda ekonomi tanpa tunai negara ,” kata Beena Pothen, Pengurus Negara Mastercard bagi Malaysia dan Brunei.

Ekosistem pembayaran skim kad holistik RMS juga akan dipertingkatkan lagi dengan penawaran kepada perniagaan PKS dan Mikro melalui aplikasi mudah alih Terminal Maya (VT) RMS, di mana  telefon pintar peniaga akan dijadikan medium untuk proses pembayaran. Aplikasi VT ini akan menerima pembayaran kad tanpa sentuh dengan lancar melalui teknologi “Ketik pada Telefon” untuk memastikan 40,000 titik sentuh pembayaran QR seluruh negara dapat menerima bayaran dengan mudah.

Pensijilan MDES akan bertindak sebagai lapisan keselamatan tambahan melalui  penyulitan 16 digit  nombor akaun pemegang kad dengan menggunakan token. Token tersebut hanya akan diketahui oleh pemegang kad.

Satu lagi ciri Mastercard yang akan dilancarkan oleh RMS kepada pelanggan dan peniaga ialah ciri Click to Pay (C2P). C2P merupakan proses pembayaran yang telah diperkemas merentasi pembayaran dan rangkaian digital. Ciri C2P Mastercard ini akan memudahkan para pengguna untuk membuat pembayaran. Selain itu, ciri ini juga dapat mengurangkan risiko penipuan dengan melindungi kata laluan sekali guna dan pengesanan bot untuk memastikan protokol pengesahan standard  dan  rangkaian proses penciptaan token.

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.