SC Perkenal Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Berasaskan Prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia

Taksonomi SRI memperkukuh peranan pasaran modal dalam memacu matlamat iklim negara dan kemampanan.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Berasaskan Prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia (Taksonomi SRI) untuk membantu memajukan agenda iklim dan kemampanan negara. 

Taksonomi SRI menyediakan prinsip panduan universal untuk klasifikasi aktiviti ekonomi yang layak untuk pelaburan mampan. 

Ia bertujuan memberi penjelasan lanjut ke arah pengenalpastian dan klasifikasi yang  tepat serta konsisten bagi pelbagai jenis aktiviti ekonomi termasuk definisi pelaburan  mampan. Selain itu, ia juga bertujuan menangani kebimbangan mengenai keperluan  mengurangkan dan mengurus risiko pencucian hijau (greenwashing).  

“Perkembangan global pelaburan mampan telah mewujudkan permintaan untuk  penjelasan lanjut dan bantuan untuk pemain pasaran dalam mengenal pasti aktiviti  ekonomi yang sejajar dengan objektif alam sekitar, sosial dan kemampanan,” kata  Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin. 

“Taksonomi SRI menggunapakai pendekatan berasaskan prinsip bagi meningkatkan  penyeragaman dan kebolehbandingan aset pelaburan mampan,” katanya. “Ini  dilakukan selepas mempertimbangkan keadaan kesediaan pasaran modal Malaysia  yang lebih luas, kerana tahap kematangan konstituen-konstituen pasaran modal  tersebut berada di tahap berbeza-beza dalam hala tuju kemampanan mereka.” 

Memandangkan kedudukan kukuh Malaysia dalam kewangan Islam dan penjajaran  prinsip asas kewangan Islam dengan kemampanan, khususnya dari perspektif  pelaburan sosial dan etika, Taksonomi SRI juga merangkumi komponen sosial sebagai  tambahan kepada komponen alam sekitar. 

Pembangunan Taksonomi SRI telah dilaksanakan oleh SC, dengan kerjasama industri  melalui Kumpulan Kerja Industri (IWG). IWG terdiri daripada Hab Pertumbuhan  Inklusif dan Kewangan Mampan Kumpulan Bank Dunia di Malaysia sebagai Pakar  Teknikal Utama, dan wakil dari Bursa Malaysia, syarikat pengurusan aset dan dana,  bank pelaburan, pemilik aset dan pakar kewangan mampan yang lain.

Pengurus Negara Bank Dunia untuk Malaysia Yasuhiko Matsuda berkata, “Kami  berterima kasih atas peluang untuk menyokong SC dalam membangunkan rangka  kerja dalam membantu merealisasikan modal bagi keutamaan pembangunan  mampan. Taksonomi ini juga boleh membantu negara lain yang menghadapi cabaran  yang sama dalam peralihan ke arah pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial  dan peralihan iklim yang adil.” 

SC juga telah menerbitkan Kertas Maklum Balas Awam hari ini berikutan pengeluaran  Kertas Perundingan Awam No.1/2021 mengenai Taksonomi Pelaburan Mampan dan  Bertanggungjawab Berasaskan Prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia pada Disember  2021. 

Kedua-dua Taksonomi SRI dan Kertas Respons Awam boleh didapati di laman web SC di https://www.sc.com.my/development/sri.  

Previous ArticleNext Article

Perdagangan Edaran Malaysia Dijangka Cecah 6.1 Peratus Tahun Ini — Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Pertumbuhan perdagangan edaran Malaysia diunjur pada 6.1 peratus dalam 2026 berbanding 5.6 peratus pada 2025 susulan prestasi lebih kukuh tahun ini yang mengatasi jangkaan awal.

Prestasi itu dipacu oleh usaha seperti pengumpulan stok borong, peningkatan harga berkaitan petroleum serta pemulihan dalam jualan kenderaan motor, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Bank pelaburan itu menyatakan pertumbuhan perdagangan edaran turut meningkat kepada 9.4 peratus daripada 7.5 peratus bagi tempoh Januari-Mac.

“Ini merujuk kepada permintaan awal di tengah-tengah kebimbangan terhadap peningkatan tekanan kos serta ketidaktentuan bekalan.

“Bagaimanapun, prestasi sektor runcit yang lebih sederhana mungkin menandakan momentum asas perbelanjaan pengguna yang mulai kembali normal selepas disokong oleh peningkatan perbelanjaan sempena musim perayaan sebelum ini,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bank pelaburan itu memaklumkan lonjakan harga tenaga, ketegangan geopolitik yang ketara serta gangguan rantaian bekalan yang berlanjutan, berpotensi memberi tekanan ke atas aktiviti penggunaan serta perniagaan dalam separuh kedua 2026.

“Pengukuhan pada masa ini berkemungkinan bersifat sementara dan mungkin tidak lagi mampan dalam bulan-bulan akan datang” katanya.

Selain itu, Kenanga IB mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 4.5 peratus bagi 2026 berbanding pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025, sekali gus mencerminkan prospek ekonomi yang berhati-hati namun masih kekal optimis.

Petunjuk bulanan termasuk prestasi perdagangan pengedaran lebih kukuh serta pertumbuhan pengeluaran perindustrian pada April yang mengatasi jangkaan menunjukkan aktiviti ekonomi domestik kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026.

“Pemulihan dalam aktiviti motor dan jualan borong hanya menunjukkan sokongan peningkatan kepada pertumbuhan jangka masa terdekat, terutama dalam sektor berkaitan perkhidmatan.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran bahawa momentum pertumbuhan akan mengukuh dalam suku kedua sebelum menyederhana dalam separuh kedua jika ketegangan geopolitik terus wujud dan menjejaskan rantaian bekalan.”

— BERNAMA