SC – UNCDF Memacu Ekosistem Inovasi Fintech Islam Bersama FIKRA

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Dana Pembangunan Modal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCDF), melalui program Centre for Financial Health, hari ini melancarkan program inovasi untuk membangunkan ekosistem inovasi fintech Islam yang rancak dalam pasaran modal Islam (ICM) Malaysia

Program yang dikenali sebagai FIKRA Islamic Fintech Accelerator (FIKRA) dilancarkan hari ini dengan inisiatif pertamanya, pemecut (accelarator) pertama yang memberi tumpuan kepada fintech untuk ICM di Malaysia. FIKRA bertujuan untuk mengenal pasti dan menilai penyelesaian fintech Islam yang relevan dan inovatif yang dapat membantu menangani tiga bidang cabaran utama, iaitu, penawaran ICM baharu, kemudahan akses dan integrasi kewangan sosial*.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, “Fintech Islam dalam pasaran modal Malaysia masih pada tahap yang baru, tetapi mempunyai potensi besar untuk berkembang pesat dengan ekosistem yang tepat. Pemecut tersebut dan inisiatif selanjutnya di bawah FIKRA akan memacu pembangunan fintech Islam di samping mewujudkan ekosistem yang memupuk bakat, dana inovasi, mengkomersialkan idea dan penyelesaian, serta mewujudkan pekerjaan dan peluang.”

FIKRA direka bentuk untuk mengubah idea menjadi penyelesaian hidup nyata yang membawa penginovasi melalui keseluruhan rantaian nilai daripada penghasilan idea, pengesahan penyelesaian, pembangunan prototaip, melaksanakan pengumpulan dana, sehingga mempersiapkan pemohon untuk menarik bakal pelabur secara berkesan dan lain-lain lagi.

Syarikat pemula niaga (start-up) Fintech yang mengambil bahagian dalam inisiatif pemecut pertama FIKRA akan mendapat manfaat daripada panduan kawal selia, bimbingan program, rangkaian sosial, dan lain-lain. Metodologi yang digunakan UNCDF untuk program ini adalah berdasarkan pengalamannya sebelum ini menyahut cabaran inovasi melalui Makmal Inovasi Kewangan (FinLab) mereka dan kini diperkembangkan untuk menangani inisiatif berkaitan kewangan di bawah Centre for Financial Health

“Untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), adalah penting untuk memastikan bahawa penawaran produk menumpukan kepada daya tahan dan keselamatan kewangan bagi mereka yang menerima khidmat kami,” menurut Preeti Sinha, Setiausaha Eksekutif UNCDF. “Ketika kami berusaha untuk meningkatkan penyertaan pasaran, FIKRA akan menjadi saluran bagi para penginovasi untuk mengembangkan penyelesaian mereka yang berpotensi emberikan dorongan yang amat diperlukan dan tepat pada masanya untuk ICM Malaysia. Kami berharap akan menjalin kerjasama dengan SC dalam inisiatif inovatif ini.”

Peserta juga berpeluang bekerjasama dengan rakan industri FIKRA seperti Bank Islam Malaysia, Gobi Partners, Kenanga Investment Bank, dan Permodalan Nasional Berhad.

Program tersebut kini dibuka untuk pendaftaran, dan dijadualkan bermula pada Julai 2021 selama tiga bulan, dan menjadi kemuncak hari demo maya awam ketika Persidangan Fintech SCxSC 2021.

* Untuk maklumat lanjut, dan memohon program pemecut, layari UNCDF website. Tarikh tutup permohonan 30 Jun 2021.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.  Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal.  SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.