Setel Melangkaui Pengisian Petrol Dengan Ciri Bantuan Kenderaan Yang Terbaharu

Ciri terbaharu Setel menyenangkan pengguna kenderaan menerusi ekosistem berintegrasi yang melangkaui pengalaman mengisi petrol.

KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2022 – Terkini, Setel memperkenalkan kemudahan bantuan kenderaan yang membuktikan komitmen mereka untuk terus menginovasi demi mencapai tujuan mobiliti inklusif; yang bukan lagi terhad kepada pengalaman mengisi petrol sahaja. Kemudahan bantuan kenderaan ini akan menyediakan perkhidmatan kegendalaan kenderaan yang boleh diakses oleh pengguna Setel pada bila-bila masa, dalam kadar segera dan mudah oleh pembekal-pembekal perkhidmatan kenderaan, sekiranya berlaku kecemasan melibatkan kenderaan mereka. Kini, pengguna Setel di seluruh negara boleh mendapatkan khidmat menukar bateri, “jump-start”, menukar tayar, bantuan mengisi petrol kecemasan, membuka kenderaan terkunci, dan menunda, terus dari aplikasi Setel disokong oleh Bateriku.com sebagai rakan kongsi yang pertama bagi kemudahan ini.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel menyatakan, “Setel bermatlamat menjadi pendamping setia para pengguna kenderaan dengan menyediakan ekosistem perkhidmatan mobiliti yang dapat memenuhi pelbagai keperluan mereka. Kemudahan bantuan kenderaan ini menyenangkan pengguna kenderaan dengan akses ke atas pelbagai aneka keperluan di hujung jari mereka. Usaha sama dengan Bateriku.com ini dapat mempercepatkan usaha pemberian bantuan kepada pengguna Setel yang terkandas, mengurangkan stres yang dialami oleh mereka.” 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi bin Zakaria Ansari, “Pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya semakin meningkat. Justeru itu, sebagai pembekal perkhidmatan bantuan tepi jalan nombor 1 di negara, misi kami adalah untuk menjadikan perkhidmatan kami lebih mudah dimanfaatkan oleh semua pengguna kenderaan di Malaysia, melalui inisiatif integrasi API dengan pelbagai aplikasi mobil seperti Setel. Setakat ini, Bateriku.com telah memberi khidmatnya kepada hampir satu juta pelanggan di seluruh negara dan kejayaan ini ditunjangi oleh ekosistemnya yang inklusif yang terdiri daripada juruteknik gig (Bhero), usahawan (BPpreneur), rakan bengkel (BBuddy) dan 130 buah outlet fizikalBateriku.com di seluruh negara. Kami berbesar hati untuk menawarkan solusi bantuan tepi jalan kami secara langsung buat pengguna Setel, dan kami juga komited untuk membekalkan pengalaman kepenggunaan yang terbaik.”

Bagi setiap transaksi yang dilengkapi menerusi kemudahan bantuan kenderaan ini, pengguna Setel juga dapat memperoleh mata ganjaran Mesra yang boleh digunakan untuk menebus petrol dan pelbagai ganjaran menarik yang lain.


Muat turun versi aplikasi Setel yang terkini secara percuma di iOS dan Android melalui Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

Untuk maklumat lanjut mengenai Setel, sila layari https://www.setel.com/.

Untuk maklumat lanjut mengenai ciri bantuan kenderaan terbaharu ini, sila layari https://www.setel.com/features/auto-assistance.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.