Hutang Kena Bayar Zakat Ke?

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah hutang perlu dizakatkan? Sama ada orang berhutang dengan saya mahupun saya berhutang dengan orang lain. Mohon penjelasan.

Berdasarkan kepada IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-632: ADAKAH PEMIUTANG PERLU MEMBAYAR ZAKAT WALAUPUN DUIT HUTANG MASIH BELUM DITERIMA? yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jawapan Ringkas

Sudut Pemiutang: Secara umumnya diwajibkan membayar zakat dalam setiap keadaan. Perbezaannya hanya dari sudut kewajipan waktu pembayarannya sahaja. Sekiranya hutang tersebut boleh diperolehi atau berpotensi dilunaskan dalam tahun semasa zakat ditaksir, maka zakat wajib dibayar pada tahun tersebut.

Adapun jika hutang tersebut tidak mampu diperoleh semula atau adanya penangguhan dalam pembayaran semula hutang disebabkan alasan yang pelbagai, maka bayaran zakat ditangguhkan sehinggalah hutang tersebut diperolehi semula walaupun telah berlalu beberapa tempoh haul.

Sudut Penghutang: Kategori “Hutang yang Bertangguh” tidak akan menggugurkan kewajipan zakat terhadap mereka. Hanya “Hutang Yang Perlu Dibayar Segera” sahaja yang boleh mengurangkan jumlah nisab dan menggugurkan kewajipan zakat sekiranya harta penghutang tidak mencapai nisab zakat setelah ditolak hutang tersebut.

Huraian Jawapan

Agama Islam tidak melarang kita daripada berhutang bahkan wujud nas al-Quran membicarakan dengan jelas perihal hutang-piutang. Perkara ini membuktikan bahawa agama Islam merupakan agama yang bersifat menyeluruh merangkumi semua aspek kehidupan. Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)”.

Surah al-Baqarah (282)

Ibn Kathir menerangkan: “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 1/722)

Jelas di sini hutang tidaklah dilarang mahupun ditegah dalam Islam. Akan tetapi, timbul persoalan di sini apabila hutang yang dipinjam atau yang dipinjamkan melebihi nisab (jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi harta yang wajib dikeluarkan zakat) dan juga telah mencukupi haul (tempoh setahun), adakah ia mengikut kepada syarat-syarat bagi zakat emas, perak dan wang simpanan dari segi nisab, nilai, tempoh haul dan sebagainya.

Hutang secara hakikatnya merupakan milik pemiutang namun ia tidak berada dalam tangan pemiliknya selagi masih belum dilunaskan. Bertitik tolak daripada hal ini, para ulama’ berselisih pendapat dalam meletakkan kewajipan zakat ke atasnya. Perbincangan akan difokuskan terhadap kewajipan zakat daripada dua aspek iaitu pemiutang dan penghutang. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/238)

Pertama: Pemiutang (Orang yang memberi hutang)

Menurut mazhab Syafie, pemiutang wajib mengeluarkan zakat apabila telah mencukupi nisab zakat dan cukup tempoh haulnya iaitu setahun.

Pemiutang yang cukup nisab sama ada melalui amaun hutangnya semata-mata ataupun setelah bercampur bersama harta yang lain, dia wajib mengeluarkan zakat apabila genap tempoh setahun, yakni hukumnya sama seperti zakat bagi harta yang berada dalam pemilikannya secara sempurna. Hujahnya, hutang tersebut juga merupakan harta yang telah cukup nisab dan haul setahun lantas pemiutang wajib mengeluarkan zakat.

Berkenaan isu hutang yang masih belum diterimanya semula, ia tidaklah menghalang kewajipannya untuk mengeluarkan zakat. Hal ini samalah dengan kes harta wadi’ah (الوديعة)[1]. Ia tetap dikenakan zakat, sekalipun tiada dalam pegangan pemiliknya. Seterusnya, di sini terdapat perbahasan berkenaan bilakah zakat tersebut harus dikeluarkan, adakah pada setiap tahun atau hanya pada tahun dikembalikan hutangnya pada pemiutang?

Persoalan ini boleh dijawab berdasarkan kepada jenis hutang tersebut sama ada hutang segera ataupun hutang bertangguh.

Hutang Segera

Hutang Segera ialah hutang yang wajib dibayar secepat mungkin khususnya apabila dituntut.

  1. Sekiranya pemiutang boleh mendapatkannya semula daripada penghutang yang mampu melunaskannya, dia wajib segera mengeluarkan zakatnya, sekalipun hutang itu belum diterimanya. Ini kerana hutang tersebut telah dikuasainya, samalah keadaannya dengan harta wadi’ah yang boleh diambil daripada penghutang dan menggunakannya pada bila-bila masa.
  2. Sekiranya pemiutang tidak mampu mendapatkan hutangnya semula kerana kesusahan penghutang atau dia tidak mengakuinya, sedangkan pemiutang tiada bukti untuk mendakwanya, maka dia tidak wajib mengeluarkan zakatnya pada ketika itu. Ini kerana dia tidak mampu mengambil dan menggunakan hutang tersebut. Namun demikian menurut mazhab Syafie, zakatnya tetap disimpan selama hutang itu dalam tanggungan penghutang berkenaan, dan jumlah zakat yang tertunggak, hendaklah dikeluarkan apabila hutang tersebut diterimanya kerana zakat hutang itu wajib ke atas zimmah (pundak tanggungjawab) pemiliknya pada setiap tahun. Keadaannya sama dengan harta yang hilang, wajib dikeluarkan zakatnya apabila harta itu didapati semula.

(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/68)

Hutang Bertangguh

Hutang Bertangguh pula ialah hutang yang diberikan tempoh masa untuk melunaskannya seperti contoh hutang kereta, rumah dan lain-lain yang diberikan tempoh masa yang lama seperti 20 hingga 30 tahun untuk melunaskannya.

  1. Hutang bertangguh tidak wajib dikeluarkan zakat sehinggalah tempoh akhir masa yang dipersetujui bersama. Sekiranya tempoh yang diberikan sudah tamat dan pemberi hutang telah menerima hutangnya ataupun belum terima tetapi mampu mendapatkannya, maka dia wajib mengeluarkan zakatnya bagi tahun-tahun yang lalu berdasarkan mazhab Syafie. Sekiranya hutang tersebut belum diterima dan tidak mampu mendapatkannya, dia hendaklah menunggu sehingga mampu diperoleh, kemudian barulah mengeluarkan zakat bagi tahun-tahun yang lalu.

(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/69)

Pandangan ini juga yang diputuskan oleh Majma’ Fiqh Islami dan dipilih oleh Dr Yusuf al-Qaradawi (Fiqh Zakat 1/155). Kecenderungan ini atas dasar pertimbangan melihat kepada keadaan pemiutang yang sudah terbeban akibat daripada penangguhan hutang yang sepatutnya dilunaskan dan mungkin akan menambah lagi bebannya sekiranya perlu membayar zakat untuk beberapa tahun.

Di sini, kami lampirkan beberapa contoh situasi bagi kedua-dua situasi hutang segera dan hutang bertangguh beserta penyelesaian berkenaan urusan zakat hutang.

Situasi 1: Hutang segera yang mampu diperoleh semula

Abu berhutang dengan Ahmad sebanyak RM 15,000 dan berjanji akan mengembalikannya semula selepas setahun. Setelah tempoh setahun berlalu, Abu hanya mampu untuk membayar RM10,000 terlebih dahulu, baki lagi RM5,000 akan diberikan selepas seminggu. Dalam hal ini, walaupun Ahmad tidak menerima hutangnya secara penuh namun dia tetap perlu mengira wang tunai dalam milikannya termasuklah hutang yang diberikan kepada Abu secara penuh iaitu sebanyak RM 15,000 untuk dikeluarkan zakat ke atasnya. Ini kerana hutang tersebut dikategorikan sebagai hutang segera yang mampu diperoleh semula dalam masa terdekat. 

Situasi 2: Hutang segera yang tidak mampu diperoleh semula

Ali berhutang dengan Ammar sebanyak RM15,000 dan berjanji untuk memulangkannya dalam tempoh 6 bulan. Akan tetapi, setelah 6 bulan berlalu, Ammar tidak dapat menghubungi Ali untuk menuntut semula hutangnya yang diberikan kepadanya. Maka, Ammar tidak pasti sama ada Ali akan membayar hutangnya semula atau tidak. Kemudian setelah tiga tahun, Ali muncul semula dan datang berjumpa Ammar untuk membayar kesemua hutangnya. Jadi, selepas Ammar menerima semula wangnya, Ahmad perlulah mengeluarkan zakat ke atasnya bagi tahun semasa serta tahun-tahun yang sebelumnya iaitu selama 3 tahun.

Situasi 3: Hutang yang Bertangguh

Afiq memberi hutang kepada Syafiq sebanyak RM20,000 dan Syafiq berjanji untuk membayarnya semula selepas tempoh 3 tahun. Afiq hanya wajib mengeluarkan selepas 3 tahun tempoh pembayaran hutang. Zakat yang dikeluarkan adalah untuk tahun semasa dan tahun-tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun khusus dalam permasalahan zakat bagi pemiutang ini, kami cenderung untuk mengambil pandangan yang diriwayatkan dari al-Hasan, Umar bin Abdul Aziz dan mazhab Imam Malik bin Anas. Pandangan ini juga yang diputuskan oleh Majma’ Fiqh Islami dan dipilih oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi (Fiqh Zakat 1/155). Kecenderungan ini atas dasar pertimbangan melihat kepada keadaan pemiutang yang sudah terbeban akibat daripada penangguhan hutang yang sepatutnya dilunaskan dan mungkin akan menambah lagi bebannya sekiranya perlu membayar zakat untuk beberapa tahun.

Kedua: Penghutang (Orang yang berhutang)

Secara asasnya, pemilik harta zakat yang cukup nisabnya dan telah genap setahun dalam pemilikannya, wajib mengeluarkan zakat mengikut cara-cara yang telah dinyatakan, sekalipun mempunyai hutang yang sama nilai dengan hartanya atau yang mengurangi nisab.

Rasulullah SAW pernah menyuruh sahabat untuk mengutip zakat dari mereka yang diwajibkan mengeluarkan zakat namun Nabi S.A.W tidak pula menyuruh para sahabat untuk bertanya adakah mereka mempunyai hutang atau tidak. Jelaslah di sini menunjukkan bahawa kewajipan zakat terpakai pada umum iaitu bagi mereka yang mempunyai harta yang cukup nisab dan telah sampai haul (tempoh setahun). (Lihat: Fatawa al-Lajnah al-Da’imah; 9/189)

Justeru, kewajipan berzakat tidak terhalang oleh tanggungan hutangnya sendiri. Tambahan pula, hutang merupakan hak yang berkaitan dengan tanggungan seseorang sedangkan zakat hak yang berkaitan dengan harta yang dimilikinya. (Lihat: Fiqh al-Manhaji, 2/69)

Walau bagaimanapun, jika hutang tersebut merupakan hutang yang bersifat segera (perlu dilunaskan segera), maka hutang tersebut boleh ditolak daripada harta zakat dan baki daripadanya perlu dikeluarkan zakat sekiranya masih melebihi nisab. Ini berdasarkan kata-kata Uthman bin Affan RA, katanya:

هَذَا شَهْرُ زَكَاتِكُمْ، فَمَنْ كَانَ عَلَيْهِ دَيْنٌ فَلْيُؤَدِّ دَيْنَهُ، حَتَّى تَحْصُلَ أَمْوَالُكُمْ، فَتُؤَدُّونَ مِنْهُ الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Ini adalah bulan kamu berzakat. Sesiapa yang berhutang, tunaikanlah hutangnya supaya kamu mendapat harta kamu dan dapat pula menunaikan zakat daripadanya.”            

[Riwayat Malik dalam al-Muwatta’, 1/253 (17)]

Perkara yang boleh difahami berdasarkan hadis di atas ialah jika hutang tersebut bersifat segera, dan pemiliknya menuntut untuk dilunaskannya maka ia didahulukan dari zakat, yakni ditolak dahulu hutang dari hartanya kemudian baharulah dikeluarkan zakat. Adapun bagi hutang yang bertangguh maka ia tidak menghalang akan kewajipan zakat ke atasnya. (Lihat: Majmu’ al-Fatawa, 18/38)

Di sini, kami lampirkan pula contoh situasi bagi penghutang berkenaan urusan zakat hutang.

Situasi 1: Hutang Bertangguh

Ahmad berhutang dengan Abu sebanyak RM 100,000 dalam tempoh 3 tahun. Ahmad bersetuju untuk membayar hutang Abu secara ansuran sebanyak RM 1000 setiap bulan bagi mengurangkan jumlah hutangnya. Namun, dalam kes zakat, apabila telah genap tempoh setahun haul, Ahmad perlu mengeluarkan zakat ke atas hartanya termasuk juga hutangnya kerana hutang bertangguh tidak menggugurkan kewajipan zakat berbeza dengan hutang segera. Maka dalam hal ini, jika harta Ahmad pada asalnya ada RM5000 kemudian dicampurkan dengan hutangnya sebanyak RM100,000 kemudian ditolak pula dengan RM 12,000 yang dibayarnya setiap bulan pada tahun berikut, maka akan meninggalkan baki sebanyak RM93,000. Lantas, dari baki inilah dikeluarkan zakat.

Situasi 2: Hutang Semasa

Ali berhutang dengan Abu sebanyak RM20,000. Kemudian, setelah cukup setahun, zakat wajib dikeluarkan kerana harta tersebut telah cukup nisab dan  haul. Maka dalam situasi ini, Ali mengira segala hartanya termasuk hutang RM20,000, diandaikan kesemuanya berjumlah RM 30,000. Akan tetapi, hutang tersebut adalah hutang yang bersifat segera kerana tiada tempoh bertangguh, maka hutang jenis ini boleh ditolak dari jumlah keseluruhan harta, lantas meninggalkan baki sebanyak RM10,000 sahaja pada Ali. Maka, situasi di sini gugurlah kewajipan zakat ke atas Ali kerana baki hartanya tidak cukup nisab yang mewajibkan zakat.

*Andaikan nisab zakat adalah sebanyak RM13,000.

Penutup

Akhirnya, kami menasihati orang ramai supaya segera melunaskan hutang mereka mengikut tempoh yang ditetapkan dan dipersetujui bersama. Di samping itu, bersikap cakna akan hukum-hakam berkenaan zakat hutang. Sebarang persoalan dan kemusykilan khusus berkaitan zakat boleh dirujuk kepada pihak yang berwajib dan berautoriti umpamanya PPZ dan Baitulmal MAIWP. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman dalam memahami suruhannya serta diberikan kemudahan dan juga kemurahan rezeki lantas dijauhkan daripada sifat suka berhutang dan dibelenggu dengannya. Wallahu a’lam.

[1] Al-Wadiah: Barang atau harta yang ditumpangkan atau ditinggalkan pada jagaan seseorang.

Previous ArticleNext Article

PATAMI Bursa Malaysia Bagi 1Q2026 Meningkat 6.4% Tahun Ke Tahun Kepada RM72.8 Juta

Kuala Lumpur – Bursa Malaysia memulakan 2026 dengan prestasi suku pertama yang kukuh, disokong oleh aktiviti pasaran teras yang teguh serta momentum berterusan dalam inisiatif untuk memperkukuh penyertaan dan kemeriahan pasaran.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (“1Q2026”), Bursa Malaysia mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai, Zakat dan Kepentingan Minoriti (“PATAMI”) sebanyak RM72.8 juta, mewakili peningkatan 6.4% tahun ke tahun (“YoY”) berbanding suku yang sama tahun lalu. Hasil operasi meningkat 16.4% YoY kepada RM206.9 juta, terutamanya disokong oleh aktiviti dagangan sekuriti yang lebih tinggi serta peningkatan yuran penyenaraian dan penerbit. Sebaliknya, perbelanjaan operasi meningkat 24.2% kepada RM115.3 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh yuran berkaitan kawal selia yang lebih tinggi serta perbelanjaan berterusan dalam bakat dan teknologi.

Dalam Pasaran Sekuriti, Purata Nilai Dagangan Harian bagi Dagangan Pasaran meningkat 27.0% YoY kepada RM3.3 bilion, disokong oleh penyertaan meluas merentas segmen pelabur. Aktiviti pengumpulan dana adalah memberangsangkan pada 1Q2026, dengan 16 IPO merentasi Pasaran MAIN, ACE dan LEAP. Jumlah permodalan pasaran meningkat 11.4% YoY, mencecah RM2.1 trilion pada 1Q2026.

Pasaran Derivatif turut menyumbang secara stabil kepada prestasi pada 1Q2026, dengan Purata Kontrak Harian yang didagangkan meningkat 5.2% YoY kepada 107,487 kontrak, sebahagian besarnya didorong oleh jumlah kontrak FCPO yang lebih tinggi serta aktiviti lindung nilai oleh peserta. Bursa Malaysia melancarkan Mini FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures pada 26 Januari sebagai sebahagian daripada strategi inovasi produknya, di samping meneruskan penglibatan industri melalui Persidangan & Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-37.

Dalam Pasaran Islam, Bursa Suq Al-Sila’ (“BSAS”) merekodkan Purata Nilai Harian sebanyak RM50.7 bilion, disokong oleh penyertaan dan kecairan yang meluas. Pada 2 Januari 2026, jumlah nilai dagangan di BSAS mencapai rekod RM172.7 bilion. Selain itu, pengembangan BSAS ke Sri Lanka meningkatkan kehadiran antarabangsanya kepada 29 negara. Permintaan pelabur terhadap produk patuh Syariah diperkukuh apabila dana dagangan bursa patuh Syariah mencapai rekod aset di bawah pengurusan sebanyak RM1.05 bilion pada Februari 2026.

Hasil bukan dagangan, yang menyumbang 38.0% daripada jumlah hasil operasi, meningkat 19.3% YoY kepada RM79.3 juta, disokong oleh yuran penyenaraian tahunan yang lebih tinggi serta aliran hasil berulang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed berkata, “Bursa Malaysia mencatat permulaan tahun yang positif, dengan aktiviti dagangan lebih tinggi dan saluran penyenaraian yang kukuh, mencerminkan keyakinan terhadap pasaran modal Malaysia.

“Berdasarkan prestasi ini, keutamaan pembangunan pasaran terus dipacu untuk memperkukuh kualiti, kebolehcapaian dan keluasan ekosistem pasaran modal. Ini termasuk langkah untuk meningkatkan keterlihatan pasaran ekuiti melalui indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Quality 50 Shariah, meluaskan akses kepada derivatif melalui Mini FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures, serta memperkukuh hubungan rentas sempadan melalui kerjasama dengan Hong Kong Exchanges and Clearing Limited.”

Mengulas mengenai prospek, Dato’ Fad’l berkata, “Seiring 2026 berkembang, pasaran modal Malaysia terus beroperasi dalam persekitaran domestik yang berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kepastian dasar. Dengan unjuran pertumbuhan KDNK antara 4.0% hingga 5.0%, latar belakang ini menyediakan asas yang konstruktif untuk pelaburan dan aktiviti pasaran modal. Dalam landskap ini, Bursa Malaysia kekal fokus melaksanakan peranannya sebagai pengendali pasaran yang dipercayai, memperkukuh kemeriahan pasaran dan menyokong pembentukan modal mampan bagi memenuhi keperluan pelabur, penerbit dan ekonomi secara keseluruhan yang sentiasa berkembang.”

Keputusan kewangan bagi 1Q2026 boleh didapati di laman web Bursa Malaysia di
https://bursa.listedcompany.com/home.html

1Q2026 (RM juta)1Q2025 (RM juta)Perubahan peratus (%)
Hasil operasi206.9177.716.4
Pendapatan lain7.26.77.4
Jumlah hasil214.1184.416.1
Jumlah perbelanjaan operasi(115.3)(92.9)24.2
Keuntungan daripada operasi98.891.57.9
Kos kewangan(0.1)(0.1)
Keuntungan sebelum cukai dan zakat98.791.47.9
Perbelanjaan cukai pendapatan dan zakat(26.4)(23.4)12.6
Keuntungan bagi tempoh tersebut72.368.06.3
Kepentingan minoriti0.50.425.3
PATAMI72.868.46.4