Paris Baguette Labur RM130 Juta Bina Hab Pengeluaran Makanan Halal Di Johor

ISKANDAR PUTERI, 20 Okt (Bernama) — Paris Baguette, rangkaian bakeri global milik SPC Group Korea Selatan, akan melabur sejumlah RM130 juta bagi membangunkan hab pengeluaran makanan halal global pertamanya di sini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata hab yang akan dikenali sebagai SPC Centre, mampu mengeluarkan sehingga 11 tan doh beku sehari menerusi lima barisan pengeluaran.

SPC Centre juga dijangka mewujudkan lebih daripada 100 pekerjaan daripada peringkat kemudahan pengeluaran sehingga jawatan pengurusan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat negeri itu.

“Johor mempunyai ekosistem yang tepat untuk menarik pelaburan berkualiti dan saya teruja untuk melihat kejayaan besar dari segi kemajuan agresif serta kestabilan SPC. Saya yakin kejayaan ini akan turut memberi impak dari segi limpahan sosioekonomi yang positif di Johor.

“Kerajaan negeri ini akan terus menyalurkan bantuan sewajarnya bagi menyokong pertumbuhan SPC di rantau ini,” katanya pada majlis pecah tanah kemudahan itu di Nusajaya Tech Park di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden SPC Group Hur Jin Soo, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman serta Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han.

Sementara itu, ketika mengimbau perjalanan kumpulan itu, Hur berkata SPC Group bermula sebagai sebuah bakeri kecil di Korea Selatan pada 1938.

Ini disusuli dengan pembukaan Paris Baguette pada 1988 yang setakat ini mempunyai sebanyak 4,000 premis di serata dunia.

Beliau berkata, pembangunan hab halal pertama bagi kumpulan itu akan memperluaskan lagi jangkauan jenama tersebut selain mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran masyarakat Muslim.

“Pemilihan SPC Centre di Nusajaya Tech Park, Johor, dibuat secara berhati-hati dan ia merupakan kilang pengeluaran pertama kami di Asia Tenggara yang juga antara rantau yang mencatat pertumbuhan pantas di dunia.

“Ini sekali gus dapat mengukuhkan pertumbuhan Paris Baguette selain meningkatkan kedudukan kami di Asia Tenggara,” katanya.

Paris Baguette yang terkenal dengan sajian kek serta pastrinya, membuka premis pertama di Korea Selatan dan berkembang ke Amerika Syarikat, China, Vietnam dan Singapura.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/paris-baguette-labur-rm130-juta-bina-hab-pengeluaran-makanan-halal-di-johor/

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian