FGV Sasar Hasilkan 75,000 Tan Makanan Haiwan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 25 Mei ( Bernama) — FGV Holdings Bhd (FGV) menyasarkan untuk mengeluarkan sejumlah 75,000 tan makanan haiwan pada tahun ini berbanding 40,000 tan pada tahun lepas bagi menampung peningkatan permintaan ke atas daging lembu, kambing, arnab serta ayam.

Kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), juga telah melancarkan Alma — jenama makanan haiwan berkualiti tinggi yang menggunakan isirung sawit (PKC) pada Mac tahun lepas dalam usaha pengembangan perniagaan makanan haiwan yang berkhasiat.

Bercakap kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FGV di sini hari ini, Ketua Perladangan Bersepadu Abdul Razak Aya berkata makanan haiwan jenama Alma yang menggunakan isirung sawit itu juga 20-30 peratus lebih murah berbanding produk lain.

“Kita dapati ada penternak telah mula menukar bahan makanan untuk binatang ternakan mereka kepada produk Alma. Oleh itu, kita menyasarkan untuk mengeluarkan sehingga 125,000 tan makanan ternakan menjelang 2024,” katanya.

Beliau berkata FGVIF akan meneruskan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi makanan ayam dan kini di peringkat memuktamadkan formula serta teknologi berkaitan.

“Kandungan serat dalam dedak PKC adalah tinggi dan tidak sesuai untuk ayam. Namun, ada teknologi tertentu yang sedang kita usahakan bagi membolehkannya sesuai sebagai makanan ayam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Nazrul Izam Mansor berkata FGV berhasrat untuk berkembang melangkaui segmen perladangan bagi mewujudkan rantaian nilai sepenuhnya.

“FGV mempunyai penternak dan ladang Felda serta mahu membantu meningkatkan lagi produktiviti di ladang-ladang ini bagi mengurangkan kos penternakan,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia mampu berdikari dari segi makanan haiwan, beliau berkata ini tidak mustahil memandangkan skala terbabit masih kecil.

Kerajaan sebelum ini berkata PKC dan usaha penanaman jagung akan menjadi alternatif kepada makanan ayam di negara ini.

— BERNAMA

Berita asal:

https://thekapital.my/fgv-sasar-hasilkan-75000-tan-makanan-haiwan-tahun-ini/

Previous ArticleNext Article

21 Penulis Buku Sumbang Royalti Biayai Aktiviti Amal, Kebajikan

SHAH ALAM (Berita Harian): Sekumpulan 21 penulis buku bersepakat menyerahkan semua royalti hasil jualan cetakan pertama buku tulisan mereka untuk membiayai kerja-kerja amal dan kebajikan di Selangor.

Royalti cetakan pertama berjumlah RM20,000 itu diserahkan kumpulan penulis berkenaan kepada Perbadanan Wakaf Selangor yang diwakili Pengerusinya, Datuk Ibrahim Md Yusof, selain kepada Maahad Tahfiz Integrasi Sains Madinatul Huffaz di Gombak, baru-baru ini.

Wakil kumpulan itu, Khairul Anuar Basri, 46, berkata inisiatif terbabit dalam usaha mereka memanjangkan pahala kebajikan daripada pembaca naskhah yang dihasilkannya dan rakan-rakan penulis.

“Usaha ini untuk kami mencari keberkatan melalui pelbagai cara yang mana boleh dimanfaatkan oleh penerima bagi mencapai matlamat mereka yang tersendiri,” katanya pada majlis pelancaran buku ‘Ujian Kita, Usah Berdukacita’.

Majlis pelancaran buku terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd itu dilancarkan oleh Mufti Selangor, Datuk Seri DrAnhar Opir dan dihadiri hampir 1,000 tetamu.

Terdahulu, diperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran oleh Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2014, Tirmizi Ali, dikuti tadabbur al-Quran oleh Hariri Mohd Daud sebelum tazkirah ‘Ujian itu indah’ disampaikan pendakwah, Datuk Dr Norhafizah Musa.

Kredit berita: Norzamira Che Noh, Berita Harian