Shopee Perkasakan Jenama dan Penjual Malaysia untuk Manfaatkan Ledakan E-Dagang Sempena 10.10 Brands Festival

Platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawakan kempen nasional Beli Barangan Malaysia dalam talian dan rantau ini. Langkah ini bertujuan menggalakkan pembelian produk buatan Malaysia dan membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka serta berkembang maju dalam persekitaran yang amat kompetitif. Beberapa inisiatif utama akan dijalankan di bawah kerjasama ini:

Pertama, untuk memastikan keterlihatan produk-produk buatan Malaysia di platform e-dagang, Shopee telah menghasilkan halaman koleksi khusus Beli Barangan Malaysia yang mengetengahkan produk buatan Malaysia daripada jenama tempatan popular seperti Pensonic, BeauSiti oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Aik Cheong, Selamat, Victoria Sloane, Kaca-Kaca, 888, Amazin’ Graze dan OldTown White Coffee.Kempen ini juga akan mendapatkan sokongan selebriti daripada Shopee Selebriti Skuad di mana produk mereka juga dibuat di Malaysia termasuk Tya Arifin, Rita Sosilawati, Nana Mahazan, Fynn Jamal, Amy Search, and Sophia Liana. Di samping itu, pengguna Shopee boleh mendapatkan barangan Malaysia sebenar termasuk produk kecantikan, pes kari lazat, sambal belacan, ikan bilis kering dan banyak lagi daripada para peniaga tempatan.

Kedua, bermula dengan 10.10 Brands Festival, Shopee berikrar untuk mengetengahkan koleksi Beli Barangan Malaysia untuk acara membeli-belah mega akhir tahun yang akan datang termasuk kempen global 11.11 dan kempen 12.12. Ini adalah untuk memastikan penjual produk buatan Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan trafik dan kegiatan membeli-belah dalam talian untuk tempoh tersebut. Sebagai contoh, 10.10 Brands Festival yang berlangsung sehingga 10 Oktober akan menawarkan kepada rakyat Malaysia penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM10, tawaran harian serendah RM10, diskaun eksklusif sehingga 80%, dan permainan dalam aplikasi menarik seperti Mission: Shopee, Voucher Together-Gether, Shopee Catch dan Shopee Quiz dengan jumlah 10 juta Shopee Coins dan baucar untuk dimenangi.

Untuk mencerminkan komitmen Shopee memaparkan kualiti dan daya tarikan produk buatan Malaysia, koleksi Beli Barangan Malaysia akan dipaparkan bersama jenama antarabangsa dan jenama terkenal seperti Unilever, HP, Enfagrow, Photobook Malaysia, L’Oreal, Vinda, Nutox,  Universal Traveller, Mr DIY, Nestle dan Realme yang menjalankan Super Brand Days untuk 10.10 Brands Festival. Setiap jenama akan mendapat sokongan khusus daripada Shopee untuk meningkatkan keterlibatan pengguna, seperti ciri-ciri permainan dan pengambilalihan jenama di dalam aplikasi.

Ketiga, selain daripada menyokong produk tempatan di Malaysia, Shopee juga membolehkan penjual tempatan mengembangkan sayap perniagaan ke luar negara dengan inisiatif rentas sempadan serba lengkap. Dikenali sebagai Shopee International Platform (SIP), inisiatif ini menawarkan pelbagai kemudahan logistik, pembayaran dan perkhidmatan pelanggan kepada penjual tempatan tanpa sebarang kos tambahan. Ini pasti mendorong peruncit yang ingin menembusi pasaran antarabangsa tetapi menghadapi kerumitan operasi.

Dengan SIP, para penjual Malaysia kini boleh meluaskan perniagaan mereka di rantau ini, bermula dengan Singapura. Inilah masa yang paling sesuai, selaras dengan agenda Beli Barangan Malaysia, kerana usahawan tempatan boleh menjana pendapatan lebih besar dan berdaya maju dengan Shopee dan meletakkan Malaysia di peta antarabangsa.

Akhir sekali, untuk memacu minat dan trafik untuk Shopee 10.10 Brands Festival dan inisiatif kempen Beli Barangan Malaysia, rakan-rakan niaga Shopee akan menawarkan keistimewaan eksklusif seperti:

  • Boat Noodle: Dapatkan 2 Mangkuk Boat Noodle untuk hanya RM1.10 untuk 2 Mangkuk Boat Noodle pada 10.10 (sementara stok masih ada).
  • Salad Atelier: Nikmati diskaun 50% untuk Raccoon Salad, Greek God Bowl, dan Quinoa Lemak Wrap & RM10 untuk Chicken Teriyaki bowl, Rabbit and Raccoon Sandwich
  • ●      Baskin Robbins: Potongan sehingga 31% di kedai rasmi Baskin Robbins
  • Burger King: Dapatkan 2 burger hanya untuk RM10
  • Boost: Dapatkan diskaun 10% untuk baucar Shopee dari Boost App pada 10.10 dan anda berpeluang untuk memenangi pulangan tunai sebanyak RM100 dan iPhone 11, ditaja oleh TMT
  • Haagen Dazs – Nikmati diskaun sehingga 60% untuk ais krim

“Kempen Beli Barangan Malaysia ialah inisiatif oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mendidik pengguna tentang kehebatan kualiti dan kepelbagaian pilihan produk buatan Malaysia di pasaran. Buat pertama kali tahun ini, KPDNHEP meluaskan skop kempen Beli Barangan Malaysia di luar saluran runcit lazim menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan, lapangan terbang, stesen minyak dan platform e-dagang.

“Menerusi pakatan dengan platform e-dagang seperti Shopee, kami berharap untuk meningkatkan permintaan bagi produk buatan Malaysia dan menggalakkan usahawan tempatan untuk lebih berdaya saing dan bersedia untuk mengeksport. Memandangkan Shopee menawarkan capaian kepada 20 juta pengguna di Malaysia dan berpotensi untuk mencapai 200 juta lagi pengguna di rantau ini, saya yakin bahawa kempen Beli Barangan Malaysia di Shopee akan mencatatkan kejayaan besar,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri, KPDNHEP di majlis pelancaran yang diadakan di Sofitel Kuala Lumpur Damansara.

Keputusan untuk memulakan kerjasama ini dengan KPDNHEP ini adalah sejajar dengan komitmen berterusan Shopee untuk membangunkan dan memperkasakan usahawan tempatan. Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau, Shopee berkata, “Kami berbangga untuk terus berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk menyokong barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia dan merangsang ekonomi tempatan. Ini juga menyokong usaha sedia ada kami seperti Shopee University, bengkel percuma kami untuk penjual yang telah membantu dan melengkapkan kira-kira 6,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana dan penjual dengan ilmu jual beli dan pemasaran e-dagang. Oleh itu, kami amat teruja kerana dapat melakukan lebih melalui kerjasama kami dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.”

Dapatkan maklumat lanjut tentang 10.10 Brands Festival di https://shopee.com.my/1010.Untuk membeli produk kegemaran Malaysia, layari https://shopee.com.my/buatanmalaysia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.