Shopee Tingkatkan Bekalan Topeng Muka

Dalam kenyataan media baru-baru ini, Ian Ho selaku Pengarah Urusan Serantau Shopee ada pesanan berikut:

Dengan syarikat-syarikat di China meneruskan semula perniagaan, pengeluaran topeng muka semakin meningkat; seterusnya, menyumbang kepada peningkatan bekalan di seluruh dunia. Di negara kita, larangan eksport dan pengecualian cukai pada topeng muka juga secara amnya menyebabkan peningkatan bekalan topeng muka di Malaysia.

Untuk membantu rakyat Malaysia, Shopee bekerjasama rapat dengan pengeluar dan pengedar di rangkaian tempatan dan serantau kami untuk menawarkan akses atas talian yang mudah untuk mendapatkan topeng muka di negara ini. Kami kini mempunyai penjual topeng muka tempatan dan rentas sempadan di platform kami yang mampu menawarkan topeng muka dalam kuantiti yang lebih banyak dan pada harga yang lebih baik kepada pengguna akhir.

Dengan peningkatan bekalan topeng muka pada platform ini, kami melihat bahawa harga topeng muka telah menurun. Walaupun kami merupakan platform terbuka untuk pedagang melakukan jualan dan kami tidak menentukan harga barangan bagi pihak penjual, kami telah memberi amaran kepada mereka agar bersikap prihatin untuk memastikan topeng muka ini mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Berikutan itu, kami mempunyai penjual di platform kami yang menawarkan sekotak topeng muka pembedahan tiga lapis (berisi 50 keping) dengan harga antara RM60 dan RM85, di bawah harga siling runcit yang dikawal selia iaitu RM100.

Shopee komited dalam menyokong usaha negara dalam menangani penularan COVID-19. Kami menggalakkan pengguna untuk terus bertimbang rasa dan tidak membeli lebih daripada apa yang mereka perlukan, supaya setiap rakyat Malaysia mempunyai akses kepada produk penting.

Kami juga menyeru rakyat Malaysia untuk menyertai usaha kami dalam memastikan produk penting mampu dimiliki oleh semua. Beberapa tips umum untuk pembeli atas talian adalah seperti berikut:

  1. Baca penerangan produk dan ulasan daripada pembeli lain dengan teliti sebelum membuat keputusan
  2. Gunakan Shopee Live Chat dalam aplikasi untuk mengesahkan harga dan kuantiti dan/atau untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada penjual
  3. Jauhi dan laporkan topeng muka yang dijual dengan harga yang terlalu mahal. Walaupun Shopee secara proaktif menghalang penjualan topeng muka yang dijual melebihi harga siling runcit yang dikawal selia, kami menggalakkan pembeli kami untuk melaporkan sebarang produk yang dijual dengan harga yang terlalu mahal kerana mengekalkan persekitaran membeli-belah atas talian yang adil adalah usaha sesama masyarakat antara kami, penjual dan pembeli kami. Mereka boleh menggunakan fungsi “Report This Product” di sudut kanan atas mana-mana penyenaraian produk, e-mel kami di [email protected] atau hubungi 03 2777 9222 (Isnin hingga Ahad – 9.00 pagi hingga 6.00 petang, termasuk Cuti mum) untuk membuat laporan.
  4. Pastikan semua urus niaga anda dilakukan dalam platform kami kerana anda dilindungi oleh Polisi Jaminan Shopee kami. Jaminan Shopee adalah jaminan di mana Shopee memegang pembayaran anda secara escrow untuk memastikan anda telah berjaya menerima pesanan anda tepat pada masanya; pesanan adalah tepat dan berada dalam keadaan baik, sebelum bayaran diberi kepada penjual.

Tips ini berguna untuk semua pembelian atas talian, dan tidak hanya terhad kepada topeng muka. Ini terutamanya kerana kami mendapati lebih banyak rakyat Malaysia kini membeli-belah secara atas talian untuk keperluan harian mereka seperti susu tepung, MILO, lampin, tisu tandas, bijirin, pasta, beras dan banyak lagi. Kami juga telah melihat aktiviti membeli-belah yang rancak sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Untuk tujuan ini, kami telah mengadakan kempen khas Beli-belah dengan Selamat dari Rumah dari sekarang hingga 4 April, untuk pengguna melakukan pembelian bagi keperluan mereka di satu tempat dengan harga yang berpatutan. Pada 27 Mac dan 4 April, tawaran bermula daripada RM0.44 dan diskaun hingga 80% akan diadakan.

Walau bagaimanapun, harus difahami bahawa mungkin terdapat sedikit kelewatan dalam penghantaran dengan penguatkuasaan PKP. Namun begitu, seluruh sektor logistik bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk memenuhi pesanan pengguna.

Sebagai tambahan kepada Shopee Express, kebanyakan penyedia logistik pihak ketiga telah melaksanakan proses penghantaran yang lebih selamat dan mudah untuk menghalang perhubungan yang lama antara pembeli dan kakitangan penghantaran. Langkah berjaga-jaga juga telah diambil seperti pembasmian kuman untuk gudang dan kenderaan, sementara pemeriksaan suhu dilakukan untuk pekerja, pemandu, dan penunggang demi kepentingan keselamatan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.