Shopper360 Pamer Inovasi Runcit Antarabangsa Di Asia Tenggara, Bermula dengan Malaysia 

Kuala Lumpur, 17 Julai 2023 – Shopper360 Limited, kumpulan pakar pemasaran pembeli-belah yang terkemuka di Malaysia, berbesar hati untuk memperkenalkan edisi acara Retail Innovation Showcase (RIS) yang kelima. Pameran tahun ini yang mencakupi benua Asia Tenggara bermatlamat untuk mendemonstrasikan teknologi-teknologi runcit yang baharu lagi mengujakan di samping trend pemasaran pembeli-belah yang dapat memberi impak kepada pengalaman runcit para pengguna masa depan.

Berbekalkan pengalaman berusia lebih 30 tahun dalam industri ini, shopper360 giat membekalkan solusi-solusi pemasaran dan pengiklanan yang komprehensif bagi membantu pelbagai jenama membuat penyesuaian berdasarkan trend pemasaran moden, serta menunjangi proses kepenggunaan masa kini. RIS telah mengetengahkan teknologi-teknologi runcit baharu di samping trend pemasaran pembeli-belah yang dirungkai di pameran perdagangan industri runcit, EuroShop 2023 yang diadakan di Jerman.

RIS membuka tirainya di Malaysia pada tanggal 12 Julai dan 13 Julai, dan akan diteruskan di Singapura pada 25 Ogos dan di Myanmar pada 5 Disember. Menerusi ruang-ruang pameran eksperiensial yang memfokuskan aspek komunikasi pembeli-belah, teknologi runcit, dan alatan pemasaran pembeli-belah, acara ini akan menjadi titik pertemuan yang penting bagi agensi-agensi kreatif dan media, termasuk para pengedar, jenama, dan peruncit di rantau ini.

Chew Sue Ann, Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan shopper360 Limited menekankan bahawa acara RIS ini tiba pada waktu yang tepat, bilamana pelbagai negara sedang berusaha untuk bangkit semula daripada kesan pandemik dan untuk menyuntik semula nafas dalam pengalaman kepenggunaan runcit. “Acara ini akan membuka peluang-peluang perniagaan bagi barisan pempamer dan pengunjung, dan pada masa yang sama, menjadi wadah bagi pertukaran idea dan pendapat mengenai masa depan industri runcit di Malaysia.”

“Kami berterima kasih kepada rakan-rakan kongsi dan para peserta yang sudi mengambil bahagian dalam acara kami yang sulung ini di Malaysia, dan kami berharap semangat dan keterujaan yang sama dapat dilihat di Singapura dan Myanmar di acara-acara yang akan datang,” tambah beliau. 

Pakee Charoenchanaporn, Ketua Pegawai Klien di Ipsos Malaysia turut berkongsi keterujaan bagi acara ini dengan menyatakan, “Sebagai rakan kongsi RIS, kami amat berbesar hati untuk berganding bahu dengan shopper360, yakni bagi menyuntik nafas kepada sebuah acara yang berusaha untuk memfokuskan masa depan solusi-solusi pemasaran runcit. Kami sedar bahawa bukan mudah untuk kita mengekori trend pemasaran runcit yang pesat berubah, justeru kami berharap acara ini dapat membantu entiti-entiti perniagaan berasa lebih yakin ke atas pengguna dan strategi pemasaran mereka.” Rakan-rakan kongsi acara ini termasuk MDEC, Ipsos, Boostorder, Lapasar.com, Smart Retail, Wito Technology, dan Xstrike antara lainnya. 

Shopper360 terdiri daripada pelbagai subsidiari yang terlibat dalam bidang solusi dan perkhidmatan pemasaran runcit. Subsidiari-subsidiari tersebut ialah Pos Ad Media, perintis dan peneraju dalam arena pengiklanan dalam kedai; Tristar Synergy & Gazelle Activation, agensi aktivasi & acara; Shopperplus Malaysia, pembekal solusi pemasaran kreatif dan runcit; Jump Retail dan Retail Galaxy, agensi pengurusan kakitangan lapangan; Marvel Distribution, agensi pengagihan jualan; Shopperplus Singapore dan Shopperplus Myanmar, penyedia khidmat ‘media dalam kedai’ di negara masing-masing. Kesemua subsidiari ini hadir dengan booth mereka sendiri di RIS, di mana pelbagai produk dan solusi mereka untuk kegunaan perniagaan dan individu telah dipamerkan.

Acara RIS ini juga telah menampilkan pelbagai booth yang menyajikan pengalaman yang unik lagi interaktif, sambil menyeranta dengan para peneraju industri serta merungkai teknologi-teknologi yang tercanggih. Dengan pelbagai booth daripada rakan-rakan runcit dan teknologi runcit, di samping jenama-jenama FMGG dan bukan FMGG, pengunjung berpeluang untuk meneroka ruang demonstrasi komunikasi pembeli-belah, platform permainan digital, dan juga ruang aktivasi yang menarik. 

Acara ini telah menjadualkan sesi-sesi perkongsian daripada golongan pemikir yang terkemuka dari rantau ini, memberi fokus ke atas penyebaran kesedaran dan pertumbuhan melibatkan industri runcit. Antara barisan pengucap yang utama termasuk Ketua Pelaburan Digital Domestik di MDEC, Danesh Jothiprahasam yang mengupas topik ‘Digital Innovation in Malaysian Context’; Pengasas Bersama merangkap Presiden Riverse, Rex Yeap di samping Kenneth Siow dari Tencent Cloud International pula memberi fokus kepada topik ‘Creating Extraordinary Customer Experience by Smart Retail Solutions of Tencent Cloud’; Pengurus Besar Shopperplus Malaysia, Lee Jun Ling berkongsi cerapan mengenai ‘Shopper Engagement and Conversion at Your Fingertips’; Ketua Pegawai Eksekutif Potboy Group, Eddie Chew pula mengulas mengenai ‘The retail story of Potboy to Self Service Kiosks’; dan Ketua Pegawai Klien Ipsos, Pakee Charoenchanaporn membicarakan topik ‘The Role of Physical Retail in an Increasingly Digital World’.

Sepanjang acara ini, para pengunjung juga telah berpeluang untuk mengambil bahagian dalam sesi Soal Jawab, sesi berkenalan, dan juga sesi ‘happy hour’.

Para individu yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang shopper360 dan acara RIS ini boleh melayari shopper360.com.my/retail-innovation-showcase/.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI