Tidak Ada Hasrat Menamatkan Sistam AP Secara Berperingkat – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Kerajaan tidak berhasrat untuk menamatkan kelulusan sistem permit import (AP) kereta secara berperingkat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sistem itu masih berkuat kuasa walaupun kerajaan membenarkan Tesla Inc, pembuat kenderaan elektrik (EV) global, menjual kereta di negara ini tanpa peraturan AP biasa.

“Kami belum membincangkan ini lagi (memansuhkan sistem AP), (tiada) belum ada hasrat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pelabur dan Penjual Global Proton 2023 di sini hari ini.

Sebelumnya, kerajaan telah mengumumkan bahawa Tesla menjadi pemohon pertama yang menerima kelulusan inisiatif BEV Global Leaders oleh MITI, yang bertujuan membantu meningkatkan permintaan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam pasaran tempatan dan seterusnya menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem bagi menyokong penggunaan BEV.

Tengku Zafrul berkata sistem AP akan tetap digunakan walaupun syarikat yang diluluskan itu adalah pengeluar kereta lain, asalkan ia membawa teknologi yang menguntungkan Malaysia.

“AP masih ada. Apa yang kami umumkan ialah kami mahu mereka (syarikat) membawa teknologi itu.

“Kami konsisten bukan sahaja kepada Tesla tetapi terhadap mana-mana pihak yang membawa nilai yang setara dengan tawaran Tesla, kami akan melayannya secara konsisten. Ia bukan semata-mata eksklusif kepada Tesla,” jelas beliau lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Jumaat lepas berkata kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk akan mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan mahir di negara ini.

Semasa pertemuan maya selama 25 minit mereka, Elon Musk telah bersetuju untuk membuat pelaburan yang besar di Malaysia termasuk menubuhkan ibu pejabat Tesla di Cyberjaya serta menjalinkan kerjasama dengan kerajaan, melibatkan syarikatnya, SpaceX, perkhidmatan Internet satelit Starlink dan EV.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA