7 Cara Surirumah Boleh Selamatkan Kewangan Keluarga Tanpa Slip Gaji

Walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap, siapa kata jadi surirumah tidak boleh menyumbang kepada kewangan keluarga? Besar peranan seorang surirumah ini sebenarnya. Malah, menurut sebuah artikel oleh Majalah TIME, ramai yang tidak menyedari bahawa net worth seorang surirumah itu sahaja sudah bernilai $65,283.81/tahun, iaitu $5440.25/bulan. Ini belum lagi ditukar kepada mata wang Malaysia yang boleh mencecah sekitar RM 20,000 sebulan!

Tidak dinafikan seorang surirumah atau ibu itu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit, tetapi jumlah tersebut menggambarkan bahawa seorang surirumah berkebolehan melakukan pelbagai jenis pekerjaan yang bukan saja meliputi tugas harian seperti mengemas, mencuci, menjaga anak-anak, menyediakan makanan, dan menghantar anak ke sekolah; tetapi juga sebagai pengurus kewangan rumah tangga.

Oleh itu, jika anda berasa anda tidak dapat menyumbang kepada kewangan keluarga sungguh pun anda tidak mempunyai pendapatan, anda sebenarnya salah.

Berikut merupakan beberapa strategi yang boleh anda lakukan untuk menjadikan pengurusan kewangan keluarga anda lebih berkesan.

1. Catatkan Setiap Aliran Wang

 

Menurut pakar perancang kewangan, salah satu teknik menyimpan wang adalah dengan memantau perbelanjaan seharian. Seorang surirumah sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam merangka bajet keperluan keluarga. Catatkan setiap aliran wang dengan teliti termasuklah perkara-perkara kecil yang dibayar seperti makanan dan snek. Boleh juga guna pelbagai apps pengurursan bajet kalau nak lebih mudah.

Kalau selama ini asyik tak cukup wang belanja, anda kini boleh melihat ke mana perginya wang yang telah dibelanjakan. Melalui catatan ini juga, anda dapat mengetahui kedudukan kewangan yang diperlukan oleh keluarga. Di samping itu, dapatlah kita menilai semula di antara keperluan dan kehendak berdasarkan kecukupan dan keutamaan keluarga.

2. Rancangkan Trip Membeli-belah

Rancangkan menu masakan mingguan, semak kelengkapan dapur, bilik air, barang sekolah anak, dan sebagainya. Jadi, apabila keluar membeli-belah, dapatlah beli semua sekali harung. Tak adalah yang tertinggal sana sini.

Apabila kita lebih kerap keluar, lebih banyak peluang untuk kita ‘membocorkan poket’ dengan membeli barang-barang yang tidak ada dalam senarai. Lagi satu tips berguna, elakkan membeli-belah semasa tengah lapar. Memang semua benda nak dibelinya!

3. Masak Di Rumah, Walaupun ‘Simple’

Kalau setiap hari fikir, “Nak masak apa hari ini?”, memang boleh sakit kepala jadinya. Apatah lagi jika melihatkan barang masakan yang serba tak cukup untuk membuat sesebuah hidangan.

Inilah pentingnya kita merancang menu masakan, sekurang-kurangnya untuk 1 minggu. Sambil-sambil tengok Facebook, simpanlah resepi yang nak dibuat dan catatkan bahan yang diperlukan dalam sebuah buku nota. Jadi, mudahlah apabila anda hendak keluar membeli-belah nanti.

Lagi best, makanan yang anda sediakan juga boleh dijadikan bekal atau bento untuk anak-anak dan suami. Satu keluarga dapat berjimat!

4. Buat Tabung Kecemasan

 

Pelaburan sah di Malaysia

Jangan ingat sebagai surirumah anda tak perlu ada simpanan. Sebagai permulaan, buat jadual untuk menyimpan secara tetap ke dalam akaun simpanan anda melalui wang yang diberi oleh suami. Mulakan dengan jumlah yang kecil, contohnya RM10 seminggu. Pastikan anda teruskan rutin ini secara berdisiplin.

Setelah beberapa lama, anda akan terbiasa dengan tabiat ini dan mungkin boleh meningkatkan kepada RM20 seminggu dan seterusnya. Setiap hujung bulan, masukkan ke dalam akaun walaupun jumlahnya kecil. Seeloknya masukkan ke dalam akaun yang tak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya menggunakan kad ATM agar ia lebih lama ‘terperam’.

Sekiranya tabung kecemasan ini sudah dijadikan rutin, bolehlah anda buka akaun yang berbentuk ‘pelaburan selamat’ seperti Tabung Haji atau ASB. Apabila simpanan semakin stabil, boleh juga mempertimbangkan untuk memiliki skim takaful yang sesuai untuk masa hadapan.

5. DIY / Recycle

Untuk mengelakkan pembaziran, gunalah sesuatu barang sehingga habis. Atau pakai sehingga ianya rosak. Guna apa yang ada sahaja. Jangan membeli barang-barang yang anda tidak perlukan.

Ada banyak inspirasi dan cara kreatif untuk kita mengguna semula sesuatu barang yang ada di rumah. Sekarang, ada macam-macam teknologi untuk kita mendapatkan inspirasi melalui Google, Pinterest, Facebook, dan sebagainya. Contohnya, anda boleh menggunakan bahan-bahan terpakai untuk membuat mainan atau aktiviti anak-anak pada hujung minggu. Di samping itu, dapat juga memupuk sikap inovatif dan berjimat-cermat.

Bukan itu saja, ianya juga dapat menyelamatkan alam sekitar daripada pencemaran. Malah, hobi ini juga mungkin boleh diperkembangkan kepada sesuatu yang mampu menjana pendapatan.

6. Jana Pendapatan Sambilan Jika Mampu

Menjadi seorang surirumah adalah di antara pekerjaan yang paling sibuk di dunia. Mana tidaknya, setiap hari kita melakukan pelbagai pekerjaan di rumah dan melayan setiap ahli keluarga tanpa pernah ‘bercuti’.

Namun begitu, banyak contoh surirumah yang kita dapat lihat hari ini berjaya merencanakan perancangan harian dan pada masa yang sama melakukan sesuatu untuk menjana pendapatan. Ini membuktikan ianya tidak mustahil – yang penting perlu ada minat, disiplin, dan juga kecekalan.

Kebanyakan daripada surirumah ini bukanlah terus berjaya, tetapi mereka bermula dari bawah, mencari ilmu dan pengalaman, dan terus melakukannya dengan konsisten tanpa pernah berputus asa.

7. Sedekah

Di samping kita berjimat-cermat dengan wang yang terhad, jangan lupa bahawa masih ada ramai orang yang lebih susah dan memerlukan di luar sana.

Oleh itu, ringankanlah tangan untuk bersedekah dan menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk yang kita mampu kerana ini juga merupakan salah satu punca keberkatan rezeki dalam keluarga. Utamakan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan keluarga terdekat, seterusnya kepada masyarakat.

Ada banyak cara untuk memberi selain dengan wang ringgit; contohnya, dengan menggembirakan kedua ibu bapa, anak yatim, atau golongan gelandangan – mahupun dengan hanya sebungkus nasi. Selain itu, boleh juga berbuat baik dengan haiwan seperti kucing jalanan, mengucapkan kata-kata yang menyenangkan, dan murah senyuman. Anda tidak rugi apa-apa pun dengan hanya senyum, dan ia juga dikira sebagai suatu sedekah yang paling mudah untuk dilakukan.

Aset Paling ‘Mahal’ Adalah Anak-anak

Walau apa jua yang anda lakukan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, jangan lupa bahawa anak-anak merupakan aset anda yang paling berharga. Di mata masyarakat, mungkin kita tidak menjana pendapatan beribu ringgit, tetapi didikan dan kasih sayang terhadap anak-anak serta keluarga tidak mungkin dapat dinilai setara dengannya.

Maka, bersyukurlah apabila diberi kesempatan untuk menjaga dan membesarkan anak-anak kerana mereka juga adalah sumber anda untuk berbakti dan meraih pahala di akhirat kelak.

Semoga setiap usaha ikhlas anda diberkati dan dirahmati Allah.

Ditulis Oleh: Nazurah Hassan

Untuk lebih banyak perkongsian peribadi yang menarik, rajin-rajinlah add Puan Nazurah Hassan kat Facebook.

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenneth Chan Menerajui Webull Untuk Membentuk Semula Landskap Pelaburan Malaysia

Pandangan Kenneth Chan terhadap landskap pelaburan runcit Malaysia dibentuk daripada penglibatannya selama 17 tahun dalam seni bina kewangan negara, merangkumi perdagangan derivatif, operasi dasar monetari, serta pembangunan pasaran pelbagai aset di Bursa Malaysia. Sepanjang tempoh tersebut, satu pola yang konsisten dapat diperhatikan: rakyat Malaysia berminat untuk melabur, namun tahap penyertaan masih terhad kerana sistem sedia ada jarang dioptimumkan untuk pelabur harian. Kini, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia, Kenneth percaya bahawa cabaran ini perlu ditangani melalui penambahbaikan struktur yang dipacu oleh teknologi, dengan akses digital yang disokong oleh alat yang ringkas, kos kemasukan yang lebih rendah, serta platform yang selamat bagi mengurangkan halangan kepada pelabur runcit.
 

Bagaimana Pengalaman Pasaran Membentuk Visi Pelaburan Inklusif

Pendedahan Kenneth terhadap sistem kewangan Malaysia bermula seawal kerjayanya melalui perdagangan derivatif dalam sektor perbankan, sebelum beralih kepada operasi monetari dan strategi pertukaran asing (FX) di Bank Negara Malaysia. Pengalaman ini membina asas kepakaran pasarannya, namun peranan beliau di Bursa Malaysia lebih memperkukuhkan perspektif kepimpinannya. Di Bursa Malaysia, Kenneth menerajui pelbagai inisiatif bagi memperluaskan ekosistem pedagang algoritma dan pembuat pasaran, meningkatkan kecairan bagi produk-produk utama, serta menyokong peralihan Bursa ke arah pasaran pelbagai aset yang diperkasakan secara digital. Peranan tersebut memberikan pandangan langsung terhadap faktor sebenar yang menghalang penyertaan pelabur runcit, yang berpunca bukan daripada kurangnya minat, tetapi daripada kekangan akses kepada alat dan pengetahuan, keperluan modal, serta halangan bahasa. Apabila peluang untuk menerajui Webull Malaysia muncul, Kenneth melihatnya sebagai ruang untuk membina infrastruktur pelaburan yang diyakini mampu memenuhi keperluan negara, disokong oleh struktur kos rendah Webull, alat yang mudah, platform yang selamat, serta agenda penyesuaian tempatan yang kukuh.
 

Membina Asas Pasaran Runcit yang Inklusif

Sejak mengambil alih mandat menerajui Webull Malaysia, penyesuaian tempatan menjadi keutamaan utama beliau. Kenneth memastikan sokongan Bahasa Malaysia tersedia sejak pelancaran, bukan sahaja untuk antara muka aplikasi, tetapi juga bagi data pasaran masa nyata dan hab pendidikan Webull Learn, memastikan ilmu kewangan dapat diakses dalam bahasa yang difahami oleh majoriti rakyat Malaysia. Seiring kematangan platform, beliau terus memanfaatkan pengalaman pasarannya untuk merapatkan jurang kebolehcapaian yang telah lama wujud, termasuk memperkenalkan pilihan perbankan Islam serta memperluaskan penapis patuh Syariah bagi saham Amerika Syarikat (AS), selari dengan keperluan etika dan budaya tempatan.

Kos pelaburan, yang sekian lama menjadi halangan utama kepada pelabur baharu, menjadi fokus seterusnya. Kenneth menerajui inisiatif seperti kempen komisen 0% bagi saham Bursa Malaysia serta membolehkan pemilikan saham pecahan AS bermula serendah USD1, langkah strategik untuk mengurangkan cabaran psikologi dan kewangan yang sering menghalang rakyat Malaysia daripada memulakan pelaburan.

Dilaksanakan dalam tempoh hanya dua tahun selepas kemasukan Webull ke pasaran Malaysia, inisiatif-inisiatif ini mencerminkan strategi Kenneth yang jelas: sesebuah platform broker perlu terlebih dahulu menyelesaikan halangan asas, disokong oleh antara muka yang ringkas dan keselamatan yang kukuh untuk membina kepercayaan, sebelum penyertaan pelabur runcit dapat berkembang secara bermakna dan mampan.
 

Memimpin Pasukan Bermatlamat Tinggi untuk Mendekati Rakyat Malaysia Secara Menyeluruh

Kepimpinan Kenneth tertumpu kepada pembinaan keupayaan yang diperlukan untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia, bermula dengan sebuah pasukan hampir 30 orang yang disatukan oleh misi tersebut. Di bawah kepimpinannya, pasukan ini mengekalkan kehadiran aktif dalam inisiatif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia seperti InvestSmart® Fest dan Bursa Marketplace Fair, berinteraksi secara langsung dengan rakyat Malaysia bagi merapatkan jurang pengetahuan kewangan yang sering menjadi penghalang antara minat dan tindakan.

Namun, penglibatan kawal selia hanyalah sebahagian daripada pendekatannya. Kenneth menyedari bahawa sebuah firma broker moden juga perlu membentuk persekitaran maklumat di mana pelabur dapat belajar. Di samping Webull Learn, saluran media sosial platform ini telah diperkemas semula untuk menyediakan tutorial ringkas, kalendar pasaran, bahan penerangan dan webinar yang direka khusus untuk memudahkan pemahaman pelaburan kepada peserta baharu. Usaha ini diperkukuhkan lagi melalui usaha pengaktifan Webull sendiri, khususnya kempen seluruh negara #SamaSamaWebull, yang menggabungkan pendidikan, pengalaman platform dan penglibatan lapangan dalam satu strategi jangkauan yang menyeluruh.
 

Memanfaatkan Penglibatan Langsung untuk Menyokong Rakyat Malaysia di Setiap Peringkat

Penglibatan secara langsung bersama rakyat Malaysia telah mengukuhkan pemahaman Kenneth bahawa langkah pertama dalam dunia pelaburan biasanya adalah yang paling sukar. Keraguan ini bukan sahaja berpunca daripada kekangan modal, tahap pengetahuan dan akses yang terhad, malah turut dipengaruhi oleh keraguan untuk keluar daripada zon selesa kewangan masing-masing. Keadaan ini lebih ketara dalam kalangan golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan, dengan simpanan yang sederhana serta keinginan untuk mengurus wang mereka dengan lebih berkesan. Menurut beliau, sesebuah firma broker perlu memahami realiti ini dan mencipta laluan pelaburan yang mengambil kira tahap kesediaan serta toleransi risiko yang berbeza. Inilah sebabnya Webull terus memperluaskan rangkaian produk kewangannya bagi memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pelabur.

Bagi mereka yang ingin bermula secara berhati-hati atau mengutamakan kestabilan, Moneybull ditampilkan sebagai satu pilihan untuk mengoptimumkan wang tunai yang tidak digunakan sambil membina kefahaman terhadap tingkah laku pasaran. Pelabur dengan selera risiko yang lebih tinggi pula boleh meneroka peluang di pasaran saham Bursa Malaysia atau pasaran AS, manakala mereka yang masih menilai tahap keselesaan masing-masing boleh memanfaatkan ciri dagangan simulasi (paper trading) Webull untuk belajar tanpa melibatkan modal sebenar. Kenneth percaya bahawa platform pelaburan perlu berkembang seiring dengan penggunanya, dengan menyelaraskan alat, produk dan tahap risiko mengikut keperluan dunia sebenar. Seperti yang beliau nyatakan, “Penyertaan pelabur runcit tidak boleh dipercepatkan dengan memaksa mereka bergerak lebih laju daripada tahap keselesaan mereka. Ia dibina dengan menyediakan pilihan yang tepat pada peringkat yang sesuai, sambil membangunkan teknologi seiring dengan perjalanan mereka.”
 

Matlamat Dicapai, Hala Tuju Lebih Jelas

Dua tahun kebelakangan ini menandakan beberapa pencapaian penting bagi Webull Malaysia. Pengiktirafannya sebagai Aplikasi Pelaburan Runcit Terbaik di Anugerah PC.com 2025 mencerminkan keutamaan rakyat Malaysia yang semakin menghargai pengalaman pelaburan yang mudah, mampu milik dan selamat. Dalam tempoh yang sama, platform ini turut memperkenalkan pilihan perbankan Islam serta mengintegrasikan dagangan sekuriti dan niaga hadapan dalam satu antara muka tunggal, menjadikannya broker runcit dalam talian pertama di Malaysia yang menawarkan akses pelbagai aset seluas ini. Bagi Kenneth, perkembangan ini mencerminkan strategi penyesuaian tempatan yang terancang serta aspirasi lebih besar untuk menjadikan pelaburan sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, keutamaannya tertumpu kepada peluasan akses pelbagai aset, pemerkasaan keupayaan platform serta peluasan pendidikan pelabur dalam ekosistem yang dikawal selia dan selamat. Teras kepada visi jangka panjang ini ialah pembangunan produk dan perkhidmatan yang lebih selari dengan cara rakyat Malaysia melabur dari semasa ke semasa — merangkumi pedagang aktif hinggalah mereka yang menumpukan kepada pengumpulan kekayaan jangka panjang secara berdisiplin. Ini termasuk perancangan untuk memperkenalkan ciri seperti Pelan Simpanan Berkala (RSP) dan Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP), di samping memanfaatkan lesen unit amanah Webull bagi menyediakan rangkaian dana yang lebih luas, sejajar dengan keperluan pelabur yang semakin berkembang.

Bagi Kenneth, inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perubahan struktur yang lebih besar, dipacu oleh halangan kemasukan yang lebih rendah, antara muka yang lebih intuitif serta tafsiran peluang kewangan yang lebih inklusif. Pada penilaiannya, pelaburan runcit di Malaysia kini berada pada fasa penting — rangka kerja kawal selia semakin matang, infrastruktur pasaran terus diperkukuh dan generasi muda Malaysia semakin terbuka kepada pasaran global. Kesemua dinamik ini sejajar dengan aspirasi Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan, dan mengukuhkan peranan Webull dalam menyokong pembentukan pangkalan pelabur runcit yang lebih berpengetahuan dan yakin.