288,000 Ahli KWSP Daftar Caruman Melebihi Kadar 11 Peratus 


KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) — Seramai 288,000 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mendaftar untuk membuat caruman pekerja melebihi kadar berkanun sebanyak 11 peratus setakat Oktober 2024. 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata pencarum juga boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa secara sukarela untuk menambah simpanan, tertakluk kepada had tahunan sebanyak RM100,000 setahun mulai 1 Jun, 2023.

Beliau berkata seramai sejuta pencarum KWSP telah membuat caruman sukarela setakat 31 Oktober lepas yang berjumlah RM11.16 billion. 

“Caruman sukarela ini boleh dibuat pada bila-bila masa melalui aplikasi mudah alih, perbankan internet, ejen kaunter bank serta kaunter KWSP,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Roderick Wong Siew Lead mengenai inisiatif-inisiatif diambil KWSP bagi bagi membantu pencarum meningkatkan caruman persaraan mereka.

Lim berkata kerajaan juga menerusi program iSaraan telah memberi caruman padanan sehingga RM500 setahun yang tertakluk kepada had maksimum RM5,000 seumur hidup bagi seorang individu.

Bagi golongan muda, katanya, KWSP membenarkan individu berdaftar dan mencarum secara sukarela seawal usia 14 tahun bagi menggalakkan golongan itu membuat simpanan awal selain memupuk kesedaran kepentingan simpanan jangka panjang serta memanfaatkan gandaan dividen.

“Kerajaan juga memberikan insentif caruman padanan 50 peratus bagi setiap ringgit yang dicarumkan ke dalam skim KWSP oleh suri rumah di bawah umur 55 tahun yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih,” katanya. 

Dalam pada itu, Lim berkata seramai 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada 13.1 juta ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksible KWSP (Akaun 3) dengan jumlah perpindahan simpanan sebanyak RM14.5 bilion. 

Setakat 27 Nov 2024, ahli yang membuat pengeluaran melalui Akaun 3 mencecah empat juta orang atau 30.5 peratus daripada keseluruhan ahli di bawah umur 55 tahun dengan jumlah pengeluaran RM11.6 bilion.

Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun 3 pula adalah sebanyak RM7.4 bilion setakat November 2024, kata Lim.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA