Melaka, Negeri Sembilan, Perlis Dan Putrajaya Capai Status Sifar Miskin Tegar

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Empat wilayah di Malaysia, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, berjaya mencapai status sifar miskin tegar berdasarkan laporan data eKasih sehingga 30 November 2024.

Menurut kenyataan bertulis Kementerian Ekonomi yang dibentangkan di Dewan Negara, usaha untuk menghapuskan kemiskinan tegar di seluruh negara telah mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan.

Kementerian turut melaporkan bahawa jumlah keseluruhan keluarga dalam kategori miskin tegar telah berkurang kepada 2,191 ketua isi rumah pada 30 November 2024, berbanding 91,789 yang direkodkan pada 31 Disember 2023.

Antara negeri yang masih mencatatkan jumlah ketua isi rumah miskin tegar tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (474), diikuti Kedah (341), Sabah (289), Johor (275), Pahang (174), Pulau Pinang (122), Selangor (112), Terengganu (103), Kelantan (99), Sarawak (91), Perak (62), dan Wilayah Persekutuan Labuan (49).

Bagaimanapun, kementerian menjelaskan bahawa usaha untuk menamatkan kemiskinan tegar terus berdepan cabaran, antaranya sifat dinamik dalam isu kemiskinan di mana isi rumah miskin sering berubah dari semasa ke semasa.

“Kerajaan sedang mempergiat pelbagai langkah jangka sederhana dan panjang untuk membasmi kemiskinan, selaras dengan visi Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat,” jelas kenyataan tersebut.

Sumber: BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Petronas, TotalEnergies Meterai Perjanjian Perluas Kerjasama Huluan


KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan TotalEnergies SE menandatangani perjanjian kerjasama strategik (SCA) dan dua perjanjian serah hak (FOA) untuk mengembangkan kerjasama huluan mereka di Malaysia.

Kedua-dua syarikat itu juga sedang mengembangkan kerjasama antarabangsa mereka di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Bobara di Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata SCA itu menggariskan peluang yang berpotensi di peringkat antarabangsa dan domestik dalam bidang-bidang strategik merangkumi penerokaan dan pengeluaran, gas dan gas asli cecair (LNG), pengurangan jejak karbon dan kerjasama.

“Bagi Malaysia, Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas Carigali Sdn Bhd dan TotalEnergies EP Malaysia akan bersama-sama meneroka beberapa blok penerokaan luar pesisir di seluruh lembangan hidrokarbon yang paling berpotensi di negara ini.

“Sementara itu, di Indonesia, anak syarikat kumpulan, Petronas Energy Bobara Sdn Bhd dan TotalEnergies telah berjaya memuktamadkan terma Perjanjian Serah Hak (FOA) bagi PSC Bobara untuk membuka sumber hidrokarbon baharu di Bobara, sebuah blok perairan ultra dalam yang terletak di wilayah Timur Indonesia,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian itu dihadiri oleh barisan kepimpinan kanan daripada kedua-dua organisasi, termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Naib Presiden Eksekutif dan CEO Huluan Petronas Mohd Jukris Abdul Wahab.

TotalEnergies pula diwakili oleh Pengerusi dan CEO Patrick Pouyanné, dan Presiden Penerokaan dan Pengeluarannya Nicolas Terraz.

Tengku Muhammad Taufik berkata majlis menandatangani perjanjian itu menandakan satu lagi langkah penting ke hadapan dalam komitmen bersama kedua-dua pihak terhadap pertumbuhan yang bertanggungjawab dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Bersama-sama, kita akan meneroka dan membangunkan sumber minyak yang berdaya saing di blok penerokaan hadapan di Malaysia dan Indonesia.

“Fokus kami adalah untuk memaksimumkan potensi komersial yang tinggi sambil menyampaikan nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, Pouyanné berkata kerjasama strategik dengan Petronas, yang melangkaui Malaysia melalui pelbagai usaha sama di peringkat global, membolehkan kedua-dua pihak mengakses portfolio yang luas dan pelbagai di negara ini, merangkumi daripada penerokaan hinggalah kepada pengeluaran.

— BERNAMA