7 Tips Penjimatan Sebelum Bermulanya Sesi Persekolahan

Bagi ibu bapa, sesi baru persekolahan pasti akan menuntut mereka untuk mengeluarkan perbelanjaan yang lebih bagi membeli keperluan sekolah anak-anak. Namun ada beberapa tips yang boleh anda gunakan untuk menampung kos keperluan anak-anak anda ini.

Nak tahu bagaimana? Ayuh kita tengok 7 tips penjimatan berikut:

1. Beli Yang Perlu Sahaja

Sama juga seperti kita menguruskan perbelanjaan rumah, untuk membeli barangan keperluan sekolah anda juga kita perlu membezakan sama ada barang tersebut perlu atau tidak. Sebagai contoh, sekiranya bag sekolah mereka masih elok, tak perlu membazir dengan membeli yang baru.

2. Tetapkan Bajet

Bajet ini penting bagi mengelakkan anda terlebih belanja. Asingkan duit yang ingin digunakan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak anda. Ketika membeli barang sekolah mereka, gunakan duit tersebut sahaja.

Dan bila kita dah buat bajet, pastinya ia datang dengan senarai barangan yang hendak dibeli. Jadi senang nak pantau pembelian anda nanti.

3. Jualan Akhir Tahun

Ketika musim cuti sekolah hujung tahun, kedai menjual peralatan sekolah seperti kedai alat tulis, pakaian mahupun gedung membeli-belah; pasti akan mengadakan diskaun dengan potongan harga yang berpatutan. Ketika ini, harga setiap produk persekolahan adalah lebih murah.

Pilihan barangan juga lebih banyak, jadi ambillah kesempatan ini untuk shopping. Lagi best, kalau semua barangan boleh didapati di satu tempat. Takdelah buang masa nak pergi ke sana ke mari untuk dapatkan kesemua barangan.

4. Beli Online

Zaman teknologi ini, semakin ramai yang beralih ke online shopping. Bermacam-macam laman web yang boleh kita layari, pakai telefon pintar saja. Pilih nak barang apa, bayar dan tunggu depan pintu rumah untuk mereka hantar. Siap boleh masukkan voucher diskaun, ada yang menawarkan penghantaran percuma dan harga barang yang sangat kompetitif.

Tapi awas, ianya sangatlah ketagih. Sedar-sedar dah 2-3 jam masa berlalu, belum beli semua barang lagi.

5. Buat Perbandingan Harga

Jadilah pengguna bijak dengan rajin membandingkan harga barang. Pilih kedai yang menawarkan harga yang berpatutan, anda cuma perlu luangkan sedikit masa. Sangat berbaloi dan rasa puas hati sangat, bila anda berjaya lakukan perkara ini.

6. Beli Di Kedai RM2

Kadang-kadang tu, ada barang yang anda boleh beli di kedai barangan murah seperti kedai RM2 dan yang seangkatan dengannya. Kedai seperti ini menjanjikan harga yang lebih murah berbanding dengan pasar raya besar yang lain.

Anda boleh dapatkan peralatan sekolah terutamanya alat tulis dengan harga yang lebih jimat.

7. Beli Setelah Sekolah Dibuka

Bukan semua keperluan sekolah akan digunakan pada hari pertama persekolahan. Jadi utamakan apa yang penting dahulu. Lagipun, kadang-kadang terdapat kedai yang menawarkan harga yang lebih murah selepas sekolah dibuka bagi menghabiskan stok dalam simpanan mereka.

Rebut peluang ini untuk membeli keperluan yang masih belum cukup.

Beli Ikut Kemampuan Masing-Masing

Dan yang paling penting sekali, belilah barangan keperluan anak-anak mengikut kepada kadar kemampuan masing-masing. Yang murah tak semestinya tak elok, selagi anda tahu di mana tempat terbaik untuk membeli-belah.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.