KWSP Sahaja Mungkin Tidak Lagi Mencukupi, PRS Boleh Menjadi Pelengkap Persaraan

KWSP kekal sebagai tonggak utama simpanan persaraan rakyat Malaysia. Namun, perubahan gaya hidup, peningkatan kos sara hidup dan jangka hayat yang semakin panjang menyebabkan semakin ramai mula bertanya sama ada simpanan KWSP sahaja benar-benar mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

Malah, pakar industri kewangan turut menggalakkan rakyat Malaysia membina lebih daripada satu sumber simpanan persaraan. Dalam konteks inilah Private Retirement Scheme (PRS) dilihat sebagai pelengkap kepada KWSP, bukannya pengganti.

Berbeza dengan KWSP yang menerima caruman wajib daripada majikan dan pekerja, PRS ialah skim persaraan sukarela yang membolehkan individu menabung mengikut kemampuan sendiri. Ini menjadikannya sesuai untuk pekerja sektor swasta, usahawan, freelancer, pekerja gig mahupun mereka yang ingin meningkatkan simpanan persaraan tanpa bergantung kepada satu tabung sahaja.

Pelepasan Cukai Masih Ditawarkan

Selain membantu membina dana persaraan, PRS turut menawarkan insentif cukai. Kerajaan telah melanjutkan pelepasan cukai bagi caruman PRS sehingga RM3,000 setahun sehingga Tahun Taksiran 2030.

Bagi individu yang berada dalam kadar cukai yang lebih tinggi, pelepasan ini boleh membantu mengurangkan cukai yang perlu dibayar di samping meningkatkan simpanan persaraan secara konsisten.

Dalam masa yang sama, jangan lupa bahawa perancangan kewangan bukan hanya tertumpu kepada mengumpul harta, tetapi juga merancang bagaimana sebahagian daripadanya dapat memberi manfaat kepada orang lain. Selain caruman PRS yang menawarkan pelepasan cukai, sumbangan kepada wakaf dan institusi yang layak juga boleh memberikan manfaat cukai mengikut peruntukan yang ditetapkan.

Baca juga Wakaf: Cara Luarbiasa Untuk Kurangkan Cukai Pendapatan (Bukan Pelepasan Cukai)

Siapa Yang Wajar Mempertimbangkan PRS?

Walaupun PRS terbuka kepada semua, terdapat beberapa golongan yang mungkin memperoleh manfaat lebih besar daripadanya.

1. Pekerja Gig dan Freelancer

Golongan ini tidak menerima caruman majikan seperti pekerja sektor formal. PRS boleh menjadi medium untuk membina dana persaraan secara konsisten mengikut kemampuan.

2. Usahawan dan Individu Bekerja Sendiri

Pendapatan yang tidak tetap bukan alasan untuk mengabaikan persaraan. Dengan PRS, caruman boleh dibuat pada bila-bila masa tanpa jumlah minimum yang tinggi.

3. Individu Berpendapatan Tinggi

Bagi mereka yang berada dalam kadar cukai lebih tinggi, pelepasan cukai sehingga RM3,000 setahun dapat membantu mengurangkan cukai yang perlu dibayar, sambil meningkatkan simpanan persaraan.

4. Mereka Yang Mahu Mempelbagaikan Simpanan

Pepatah “jangan letakkan semua telur dalam satu bakul” juga sesuai dalam perancangan persaraan. Selain KWSP, mempunyai satu lagi tabung persaraan boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti pada masa hadapan.

Berapa Banyak Perlu Disimpan?

Tiada jumlah yang sesuai untuk semua orang. Yang lebih penting ialah konsisten.

Sebagai contoh, jika seseorang mencarum RM250 sebulan ke dalam PRS selama 30 tahun dan memperoleh pulangan purata sekitar 6% setahun, jumlah simpanannya berpotensi mencecah sekitar RM250,000. Jika caruman ditingkatkan kepada RM500 sebulan, nilai simpanan pada akhir tempoh boleh melebihi RM500,000, bergantung kepada prestasi dana yang dipilih.

Sudah tentu, pulangan pelaburan tidak dijamin dan prestasi setiap dana adalah berbeza. Namun, contoh ini menunjukkan bagaimana kuasa faedah kompaun mampu membantu membina dana persaraan dalam jangka masa panjang.

Penyedia manakah yang popular?

Antara nama yang sering menjadi pilihan pelabur di Malaysia ialah:

  • Principal Asset Management – menawarkan siri dana PRS Plus dan RetireEasy, termasuk pilihan konvensional serta patuh Syariah.
  • Public Mutual – mempunyai pilihan dana PRS yang agak pelbagai dan rangkaian ejen yang luas.
  • AHAM Asset Management – terkenal dengan pilihan dana ekuiti serta dana patuh Syariah.
  • Kenanga Investors – menawarkan OnePRS dengan beberapa pilihan profil risiko.
  • RHB Asset Management – sesuai bagi mereka yang mahu mengurus pelaburan dalam ekosistem RHB.

Berdasarkan senarai rasmi daripada Private Pension Administrator (PPA), terdapat 9 penyedia PRS yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Penyedia PRSDana Patuh Syariah
AHAM Asset Management Berhad
AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd.
AmFunds Management Berhad (AmInvest)
Hong Leong Asset Management Berhad
Kenanga Investors Berhad
Manulife Investment Management (M) Berhad
Principal Asset Management Berhad
Public Mutual Berhad
RHB Asset Management Sdn. Bhd.

Di Mana Wang PRS Dilaburkan?

Ramai menyangka wang yang disimpan dalam PRS hanya “disimpan” seperti akaun simpanan biasa. Hakikatnya, caruman PRS akan dilaburkan ke dalam pelbagai aset dengan tujuan menjana pulangan dalam jangka panjang.

Bergantung kepada jenis dana yang dipilih, pelaburan PRS lazimnya merangkumi:

  • Saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan pasaran luar negara.
  • Sukuk dan bon berkualiti tinggi.
  • Instrumen pasaran wang seperti deposit tetap dan sijil pelaburan.
  • Dana pelaburan lain atau aset yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Komposisi aset ini bergantung kepada objektif setiap dana. Sebagai contoh, dana untuk pelabur muda biasanya mempunyai pendedahan yang lebih tinggi kepada ekuiti (saham) bagi mengejar pertumbuhan jangka panjang, manakala dana untuk mereka yang hampir bersara lebih tertumpu kepada sukuk, bon dan instrumen pendapatan tetap yang lebih stabil.

Apakah Perbezaan PRS Dengan Unit Trust?

Pada asasnya, PRS dan unit trust mempunyai persamaan kerana kedua-duanya diuruskan oleh syarikat pengurusan aset profesional dan melabur dalam portfolio yang dipelbagaikan.

Namun begitu, terdapat beberapa perbezaan penting:

PRSUnit Trust
Direka khusus untuk simpanan persaraanDireka untuk pelaburan umum
Caruman layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM3,000 setahun (tertakluk kepada dasar semasa)Tiada pelepasan cukai khas
Pengeluaran sebelum umur persaraan tertakluk kepada syarat tertentuPelabur boleh menjual unit pada bila-bila masa, tertakluk kepada terma dana
Menggalakkan pelaburan jangka panjangSesuai untuk pelbagai matlamat kewangan, sama ada jangka pendek, sederhana atau panjang

Dengan kata lain, PRS boleh dianggap sebagai ‘unit trust yang mempunyai objektif persaraan’. Konsep pelaburannya hampir sama, tetapi PRS diwujudkan bagi menggalakkan disiplin menyimpan untuk hari persaraan melalui insentif cukai dan had pengeluaran yang lebih ketat.

Jika matlamat anda ialah membeli rumah dalam tempoh lima tahun atau mengumpul modal perniagaan, unit trust mungkin lebih sesuai kerana lebih fleksibel. Namun, jika fokus anda ialah membina dana persaraan yang hanya akan digunakan selepas tamat tempoh bekerja, PRS menawarkan struktur yang lebih khusus untuk tujuan tersebut.

Kesimpulan

KWSP akan terus menjadi asas kepada sistem persaraan di Malaysia. Namun, realiti ekonomi hari ini menunjukkan bahawa bergantung kepada satu sumber simpanan sahaja mungkin tidak lagi mencukupi bagi sesetengah individu.

PRS bukanlah produk untuk menjadi kaya dalam masa singkat. Sebaliknya, ia merupakan satu instrumen yang membantu rakyat Malaysia membina simpanan persaraan secara berdisiplin, di samping menikmati pelepasan cukai yang disediakan kerajaan.

Jika anda sudah mempunyai simpanan KWSP, PRS boleh dilihat sebagai pelengkap. Jika anda bekerja sendiri atau tidak mempunyai caruman tetap, PRS pula boleh menjadi langkah awal untuk memastikan anda mempunyai sumber kewangan yang lebih kukuh apabila tiba usia persaraan nanti.

Akhirnya, perancangan persaraan bukan soal memilih antara KWSP atau PRS. Sebaliknya, ia mengenai bagaimana kita membina beberapa lapisan simpanan supaya dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, tanpa terlalu bergantung kepada satu tabung sahaja.

Tip: Sebelum memilih penyedia PRS, jangan hanya melihat nama syarikat. Bandingkan juga prestasi dana, yuran pengurusan, tahap risiko, rekod prestasi jangka panjang serta sama ada dana tersebut patuh Syariah atau tidak. Prestasi setiap dana adalah berbeza walaupun ditawarkan oleh penyedia yang sama.
Previous ArticleNext Article

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.

Penafian: Artikel ini bertujuan membincangkan kepentingan ketelusan dan pendedahan kewangan dalam politik dari perspektif kewangan dan tadbir urus. Ia bukan bertujuan menyokong atau menolak mana-mana parti politik, calon atau individu. Sebarang angka, fakta dan maklumat berkaitan perbelanjaan kempen adalah berdasarkan sumber yang dinyatakan dan hendaklah dirujuk kepada sumber asal untuk konteks penuh.