Apakah Itu Penyatuan Hutang? Apakah Kebaikan dan Keburukannya?

“Keliling pinggang hutang, apa aku nak buat?”

Setiap pinjaman mempunyai kadar faedah yang tersendiri dan perlu dijelaskan dalam tempoh tertentu.

Hutang yang banyak membuatkan ramai peminjam menjadi terbeban dan akhirnya tidak dapat menjelaskan ansuran bulanan mengikut masa yang telah ditetapkan.

Salah satu cara menyelesaikan situasi ini adalah dengan melakukan penyatuan hutang.

Definisi Penyatuan Hutang

Penyatuan hutang adalah proses menyatukan semua hutang dengan satu bayaran ansuran sahaja. Bermakna, anda mengambil pinjaman peribadi untuk menyelesaikan hutang-hutang yang lain.

Dengan cara begini, anda hanya perlu membayar satu pinjaman sahaja dan kaedah ini akan mengurangkan bayaran ansuran bulanan.

Kaedah penyatuan hutang ini sesuai untuk sesiapa sahaja yang sedang terbeban dengan pelbagai jenis hutang ataupun tidak dapat menjelaskan bayaran bulanan hutang dalam masa yang ditetapkan.

Kebaikan Penyatuan Hutang

Peminjam boleh menggunakan kaedah penyatuan ini untuk meringankan beban hutang dan meningkatkan kesihatan kewangan.

Antara kelebihan penyatuan hutang:

  • Bayar satu ansuran sahaja

Hidup akan menjadi sedikit sukar sekiranya terpaksa membayar beberapa jenis hutang pada setiap bulan. Malahan, ada kemungkinan anda akan terlepas tarikh pembayaran.

Di sinilah penyatuan hutang menyelesaikan situasi anda. Setelah hutang-hutang digabungkan, anda hanya perlu fokus kepada satu bayaran ansuran pada setiap bulan.

Kaedah ini akan memudahkan anda untuk fokus membayar tanpa terlepas mana-mana tarikh.

  • Mengurangkan komitmen bulanan

Penyatuan hutang membantu mengurangkan bayaran ansuran bulanan anda.

Apabila semua hutang anda yang berfaedah tinggi digabungkan dengan pinjaman peribadi yang berfaedah rendah, ansuran bulanan akan semakin berkurang.

Hal ini memberikan impak yang positif kepada perbelanjaan bulanan anda.

  • Kadar faedah yang lebih jimat

Mereka yang mempunyai pelbagai jenis hutang perlu membayar faedah yang berlainan bagi setiap pinjaman.

Dengan penyatuan hutang, anda hanya perlu membayar satu kadar faedah yang lebih rendah daripada hutang-hutang sebelum ini.

Keburukan Penyatuan Hutang

Bagi sesetengah individu, penyatuan hutang bukanlah jalan penyelesaian terbaik.

Jika tidak dipertimbangkan dengan betul, penyatuan hutang ini mungkin akan mendatangkan keburukan kepada anda.

Antara keburukan penyatuan hutang:

  • Tidak menghapuskan hutang

Penyatuan hutang akan menyelesaikan hutang-hutang lama anda melalui pengambilan pinjaman peribadi.

Ini bermaksud anda masih ada hutang dan perlu membayar membayar balik pinjaman peribadi tersebut secara ansuran.

  • Tempoh bayaran yang panjang

Kadar faedah yang rendah hasil daripada penyatuan hutang bermaksud anda perlu membayar ansuran bulanan untuk tempoh yang lebih lama.

Apabila menyatukan hutang, garis masa bayaran akan bermula semula dari hari pertama sehinggalah tamat tempoh pembayaran hutang tersebut.

  • Menggalakkan peningkatan dalam perbelanjaan

Kadar faedah yang rendah daripada penyatuan hutang ini memungkinkan anda untuk mempunyai lebihan wang. Tidak mustahil anda akan terjerumus dalam perangkap hutang yang lain disebabkan lebihan wang ini.

Cara terbaik untuk mengelakkan anda daripada menambah hutang adalah dengan membuat belanjawan. Kurangkan perbelanjaan dan menahan diri daripada menambah hutang sedia ada.

Kesimpulan

Dengan adanya penyatuan hutang, bebanan hutang anda akan dapat dikurangkan. Namun begitu, ia perlu digunakan dengan cara yang betul. Jika tidak mengubah perbelanjaan anda, tidak mustahil anda akan terus mengumpul hutang.

Rujukan
Kebaikan Penyatuan Hutang Untuk selesaikan Pinjaman Peribadi & Hutang Kad Kredit. Amalan. (n.d.). https://amalan.com/my/blog/kebaikan-penyatuan-hutang-untuk-selesaikan-pinjaman-peribadi-hutang-kad-kredit
Yik. (2021). 3 Cara Buat Penyatuan Hutang Untuk Ringankan Beban Anda. Direct Lending Malaysia. https://www.directlending.com.my/ms/blog/menyatu-semua-hutang-pinjaman-peribadi
iMoney Editorial. (2021). Pinjaman Peribadi Boleh MembantuMenyelesaikan Masalah    Hutang Anda. iMoney Malaysia. https://www.imoney.my/articles/penyatuan-hutang- pinjaman-peribadi
Treece, K. (2021). Pros And Cons of Debt Consolidation. Forbes Advisor. https://www.forbes.com/advisor/personal-loans/pros-and-cons-of-debt-consolidation/

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.