7-Eleven Buka 7Café, Outlet Terbesarnya Di Puchong

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) — Pengendali rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven) melancarkan kedai 7CAFé terbesarnya bernilai RM1.8 juta di Bandar Puteri Puchong di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Wong Wai Keong berkata kedai dua tingkat berkeluasan kira-kira 6,000 kaki persegi itu adalah empat kali ganda saiz kedai 7-Eleven biasa.

“Mengenai jangkaan jualan, saya tidak dapat berkongsi jumlah yang sebenar berikutan setiap kedai adalah berbeza, namun secara umumnya, membandingkan 7CAFé baharu ini dengan kedai yang biasa, ia mampu memperoleh jualan enam hingga tujuh kali ganda lebih banyak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Wong berkata memandangkan kumpulan itu memasuki segmen baharu dalam makanan dan minuman, ia mahu menumpukan pada penyempurnaan standard operasi semua 7CAFé dengan penambahan penyediaan makanan dan pendekatan berorientasikan perkhidmatan.

“Kami mempunyai kaunter untuk makanan, serta makanan yang baru disediakan yang biasanya tidak kelihatan di kedai serbaneka 7-Eleven terdekat anda. Kami mahu pembukaan ini menjadi kesinambungan kepada semua 28 kedai 7CAFé setakat ini,” tambahnya.

Wong berkata kedai 7CAFé  juga dibuka dengan perkongsian dengan BookXcess yang menyediakan kedai buku mini manakala bahagian makanan dan minuman dilengkapi dengan pencuci mulut dan kek daripada jenama matcha artisan kontemporari  Niko Neko Matcha.

7CAFé oleh 7-Eleven menyasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan tidak lama lagi, termasuk di luar Lembah Klang dalam usaha menawarkan tawaran unik untuk kemudahan gaya hidup kepada pelanggan.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/7-eleven-buka-7cafe-outlet-terbesarnya-di-puchong/

Previous ArticleNext Article

Canon Memperluas Program EOS Master Untuk 2026 Dengan Pengenalan EOS Filmmaker

SHAH ALAM – Canon Marketing Malaysia (“Canon”) dengan bangganya memperkenalkan barisan tenaga pengajar Program EOS Master 2026, yang merangkumi EOS Master, EOS Mentor serta kategori baharu iaitu EOS Filmmaker, meneruskan komitmen berterusan syarikat tersebut dalam memperkasa komuniti fotografi dan videografi Malaysia melalui pendidikan, bimbingan serta perkongsian pengetahuan profesional.

Berpandukan kejayaan Program EOS Master yang dilancarkan pada tahun 2023, Canon terus menambah baik inisiatif tersebut, selari dengan perubahan landskap kreatif. Pada tahun 2026, program ini diperluaskan dengan pengenalan EOS Filmmaker, mencerminkan fokus strategik Canon terhadap videografi, penceritaan visual bergerak serta kepentingan kandungan berasaskan video yang semakin meningkat merentas pelbagai industri.

Barisan tenaga pengajar Program EOS Master 2026 terdiri daripada 11 EOS Master, 12 EOS Mentor dan 3 EOS Filmmaker. Barisan tahun ini menghimpunkan kumpulan profesional dengan pelbagai kepakaran iaitu dalam bidang astrofotografi, komersial, acara, kehidupan manusia, jurnalistik foto, potret, pelancongan, bawah air, hidupan liar dan perkahwinan. Kesemua mereka diiktiraf atas kecemerlangan kreatif, pengalaman industri serta sumbangan yang bermakna kepada komuniti pengimejan tempatan.

Pengenalan EOS Filmmaker mengukuhkan komitmen Canon dalam menyokong pencipta yang terlibat dalam penceritaan sinematik, penghasilan video komersial dan penciptaan kandungan digital, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap platform berorientasikan video serta aliran kerja kreatif hibrid.

Melalui bengkel, sesi perkongsian, sesi latihan dan inisiatif yang diterajui Canon sepanjang tahun, EOS Master dan EOS Filmmaker akan memainkan peranan aktif dalam memupuk bakat kreatif, berkongsi pandangan praktikal serta mempamerkan bagaimana ekosistem pengimejan Canon menyokong penceritaan visual dalam bentuk imej statik dan video pada tahap tertinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Masato Yoshiie berkata, “Program EOS Master Canon mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam memupuk komuniti kreatif yang kukuh dan berwibawa di Malaysia. Seiring evolusi ekspresi kreatif, adalah penting untuk kami turut berkembang bersama para pencipta. Pengenalan EOS Filmmaker membolehkan kami menyokong pencerita yang menggabungkan fotografi dan videografi, sambil memperkasakan mereka dengan peralatan, pengetahuan dan platform untuk menginjak sempadan kreativiti.”

Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej Canon Marketing Malaysia, Edward Chang menambah, “Videografi kini menjadi elemen penting dalam penceritaan visual, dan para pencipta semakin kerap bekerja dengan pelbagai format. Dengan memperkenalkan EOS Filmmaker dalam Program EOS Master, kami menguatkan sokongan terhadap golongan profesional yang berfokuskan video, di samping terus menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna serta pandangan praktikal melalui ekosistem EOS Canon.”

Program EOS Master Canon dipandu oleh falsafah Kyosei, yang menekankan kerjasama demi kebaikan bersama. Melalui kolaborasi, bimbingan dan inovasi, Canon kekal komited dalam memupuk komuniti kreatif Malaysia yang dinamik dan bersedia menghadapi masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai bengkel, sesi latihan dan acara akan datang yang menampilkan EOS Master dan EOS Mentor 2026, sila layari laman web rasmi Canon di my.canon/en/consumer/event