Big Five, Syarikat Gergasi Teknologi Dunia Dan Sumber Pendapatan Utama Mereka

Seperti yang kita sedia maklum, kesan pandemik Covid-19 telah menyebabkan banyak syarikat mengalami kerugian yang besar dalam pelbagai sektor. Hanya sektor teknologi dan kesihatan sahaja yang masih lagi stabil walaupun sektor lain berdepan dengan keadaan yang tidak menentu.

Big Five ini merupakan syarikat gergasi teknologi di mana apabila digabungkan kelima-lima syarikat ini menghasilkan jualan yang hampir mencecah $1 trilion. Mereka ini adalah Amazon, Apple, Alphabet (dulu dikenali sebagi Google), Microsoft dan juga Facebook.

Mari kita lihat bagaimana syarikat Big Five ini menjana pendapatan syarikat dan pecahan pendapatan perniagaan mereka.

1. Amazon

Gergasi e-Commerce ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun di Malaysia kita jarang menggunakan produk yang dikeluarkan oleh Amazon, namun ada segelintir dari kita menggunakan produk Kindle keluaran Amazon untuk membaca e-Book.

Walaupun digelar sebagai gergasi e-Commerce, sumber pendapatan utama syarikat ini adalah dari  sistem simpanan awan mereka yang dikenali sebagai AWS (Amazon Web Service).

2. Apple

Syarikat yang mempunyai die-hard fans luar biasa yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan produk keluaran syarikat ini. Apple terkenal di dalam menghasilkan telefon pintar pertama di dunia secara komersil dan terus menguasai pasaran tersebut.

Pendapatan utama syarikat ini adalah dengan penjualan iPhone yang merangkumi separuh dari jumlah perolehan syarikat. Kebanyakan harga barangan yang dikeluarkan oleh syarikat ini agak mahal berbanding pesaing mereka di dalam kategori yang sama.

3. Alphabet (Google)

Syarikat yang dulunya dikenali sebagai Google ini merupakan syarikat gergasi di dalam carian internet dunia. Mereka juga menguasai pasaran telefon pintar melalui software mereka iaitu Android.

Walaupun menguasai pasaran telefon pintar melalui software Android, Alphabet tidak mendapat keuntungan yang lumayan berbanding dengan Apple kerana pendapatan utama syarikat ini adalah melalui pengiklanan di laman carian utama mereka iaitu Google.

4. Microsoft

Merupakan syarikat tertua di kalangan Big Five ini. Microsoft pernah menguasai sehingga 90% daripada pasaran perisian komputer di era milenium.

Ketika era telefon pintar menguasai dunia, syarikat ini seolah hilang arah perniagaan kerana tidak mempunyai matlamat yang jelas untuk menguasai kembali pasaran komputer dunia. Dengan perlantikan CEO yang baru, syarikat ini berjaya menjadi jaguh dalam dunia perkomputeran semula.

Di antara penyumbang utama pendapatan syarikat adalah sistem simpanan awan, Microsoft Azure yang semakin berkembang walaupun baru sahaja diperkenalkan berbanding dengan AWS.

5. Facebook

Syarikat yang penuh kontroversi walaupun merupakan yang paling baru di kalangan Big Five. Syarikat ini juga merupakan syarikat yang belum mencapai nilai $1 trilion di antara mereka berlima.

Facebook mendapat keuntungan sepenuhnya daripada pengiklanan yang dilakukan oleh pelanggan mereka. Dengan memegang status sebagai platform media sosial terbesar di dunia, syarikat ini dijangka bakal mencecah nilai $1 trilion dalam masa terdekat.

Sumber Rujukan: https://www.visualcapitalist.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.