Bijak Kewangan Dari Rumah: 7 Strategi Kewangan Realistik Untuk Suri Rumah

Ramai yang beranggapan hanya mereka yang bekerja sahaja perlu celik kewangan. Namun realitinya, suri rumah memainkan peranan besar dalam kestabilan kewangan sesebuah keluarga. Walaupun tidak menerima gaji tetap setiap bulan, tanggungjawab menguruskan perbelanjaan harian, mendidik anak dan memastikan keperluan rumah dipenuhi menjadikan suri rumah sebagai pengurus kewangan sebenar dalam isi rumah.

Namun begitu, tidak ramai yang tahu bagaimana untuk mengurus kewangan secara strategik. Artikel ini berkongsi tujuh strategi kewangan yang praktikal, moden sesuai untuk suri rumah yang ingin lebih yakin dan teratur dalam mengurus wang.

1. Rancang Bajet Berdasarkan “Musim Hidup”, Bukan Bulan Semata

Kebanyakan orang menetapkan bajet bulanan, tetapi bagi suri rumah, realitinya perbelanjaan sering berubah mengikut musim kehidupan. Contohnya, bulan Ramadan biasanya menyaksikan peningkatan belanja dapur, manakala awal tahun pula memerlukan bajet khas untuk yuran dan kelengkapan sekolah anak.

Oleh itu, lebih bijak jika perancangan kewangan dibuat berdasarkan fasa-fasa atau musim tertentu. Langkah ini bukan sahaja lebih fleksibel, malah membantu suri rumah bersedia menghadapi perbelanjaan besar secara berperingkat.

Contoh kategori bajet musim:

  • Januari: yuran sekolah dan buku teks anak
  • Mac: peruntukan untuk kenduri kahwin atau cuti sekolah
  • Mei: simpanan untuk Ramadan dan Hari Raya
  • Oktober: belanja akhir tahun atau sambutan hari lahir keluarga

Pendekatan ini membantu mengelak kejutan kewangan dan memastikan simpanan lebih tersusun.

2. Kenal Pasti Nilai Kerja Tanpa Gaji

Ramai suri rumah merasakan diri mereka tidak layak berbicara soal kewangan kerana tidak menyumbang kepada pendapatan isi rumah secara langsung. Namun, jika diukur dari sudut nilai kerja, tugas-tugas seperti memasak, mengemas, menjaga anak, dan merancang belanjawan sebenarnya bernilai ribuan ringgit sebulan jika dibayar oleh pihak ketiga.

Mengetahui nilai ini penting agar suri rumah tidak meremehkan peranan mereka. Ia juga wajar dijadikan asas untuk membincangkan hak kewangan dengan pasangan misalnya, menetapkan sejumlah wang tetap setiap bulan sebagai simpanan atau “gaji pengurusan rumah” ke dalam akaun peribadi.

Langkah ini dapat membina keyakinan kewangan dan memberikan ruang untuk membuat keputusan jangka panjang, termasuk pelaburan atau simpanan kecemasan.

3. Guna Sistem Tabung Tujuan Kecil Dalam Satu Akaun

Tidak semua suri rumah mempunyai kemudahan untuk membuka banyak akaun bank. Namun, dengan strategi yang betul, satu akaun pun cukup untuk menguruskan pelbagai matlamat kewangan.

Kaedah yang disarankan ialah sistem “sinking fund digital”, di mana satu akaun digunakan tetapi dibahagikan kepada beberapa kategori tabungan kecil menggunakan aplikasi bajet atau catatan manual.

Contoh tabung kecil:

  • Tabung perayaan (RM30 sebulan)
  • Tabung kecemasan keluarga (RM50 sebulan)
  • Tabung kenduri atau hadiah (RM20 sebulan)
  • Tabung beli dapur pukal (RM100 sebulan)

Dengan sistem ini, bila tiba masa untuk belanja besar, anda tidak perlu ‘mengorek’ simpanan utama atau bergantung pada duit belanja suami secara mengejut.

4. Fahami Aset dan Liabiliti Keluarga

Satu kesilapan yang sering berlaku ialah suri rumah menyerahkan urusan kewangan 100 peratus kepada pasangan tanpa mengetahui butiran penting. Ini boleh menyebabkan kerumitan besar jika berlaku perkara tak dijangka seperti kematian, penceraian atau sakit kritikal.

Setiap suri rumah perlu tahu:

  • Berapa baki hutang rumah atau kereta?
  • Akaun simpanan atau pelaburan atas nama siapa?
  • Ada takaful atau insurans? Apa jenis dan berapa perlindungan?
  • Apakah senarai komitmen bulanan keluarga?

Ilmu ini bukan untuk ‘mengawal’ suami, tetapi untuk melindungi keluarga dan diri sendiri. Bincangkan perkara ini dengan tenang dan terbuka. Boleh juga simpan semua salinan dokumen penting di satu fail khas yang mudah dicapai.

5. Jana Pendapatan Senyap Dari Rumah

Pendapatan bukan semestinya datang dari pekerjaan tetap. Suri rumah boleh membina “silent income”, pendapatan kecil tetapi konsisten dari aktiviti harian.

Contoh idea:

  • Jual barang preloved atau pakaian bayi di Carousell/Shopee
  • Ambil upah isi borang survey berbayar di laman sah
  • Jadi ejen produk rumah tangga melalui WhatsApp group
  • Buat makanan homemade secara kecil-kecilan mengikut tempahan

Pendapatan ini boleh digunakan sebagai simpanan atau dilaburkan semula. Ia juga memberi semangat dan motivasi kepada suri rumah untuk berdikari tanpa mengabaikan tanggungjawab di rumah.

6. Rekod Semua Transaksi Secara Digital

Dalam dunia tanpa gaji tetap, jejak duit sangat mudah hilang. Ramai suri rumah guna wang tunai harian, tetapi tidak catat dengan teliti ke mana perginya. Ini menyebabkan perbelanjaan tidak terkawal dan sukar meminta bajet tambahan dengan alasan yang kukuh.

Gunakan aplikasi percuma seperti Spendee, Monefy atau Google Sheets untuk merekod setiap transaksi. Jika tak biasa dengan teknologi, ambil gambar resit harian dan simpan dalam folder telefon.

Manfaatnya:

  • Nampak corak perbelanjaan
  • Kenal pasti kebocoran duit
  • Ada data jelas jika perlu berbincang dengan pasangan

7. Sediakan Pelan Kewangan “Kecemasan” Untuk Diri Sendiri

Walaupun kita berharap tiada perkara buruk berlaku, realiti kehidupan tidak dapat dijangka. Suri rumah juga perlu ada pelan perlindungan sendiri.

Langkah penting:

  • Simpan sejumlah wang di akaun sendiri (walaupun sedikit)
  • Tahu proses tuntutan takaful keluarga
  • Simpan senarai nombor penting & maklumat bank di tempat selamat
  • Pertimbangkan dokumen seperti hibah kecil atau surat wasiat ringkas

Langkah ini bukan untuk mencurigai pasangan, tetapi sebagai tanggungjawab terhadap anak-anak dan diri sendiri. Kesedaran ini adalah tanda matang, bukan takut.

Kesimpulannya, suri rumah yang bijak kewangan tidak semestinya perlu pandai melabur di pasaran saham atau menjana pendapatan ribu-riban dari rumah. Cukuplah jika mampu urus wang dengan strategi, tahu nilai diri, dan sentiasa bersedia.

Setiap sen yang diurus dengan bijak oleh seorang isteri, adalah pelaburan jangka panjang untuk kestabilan rumahtangga. Dan bila suri rumah celik kewangan, satu keluarga akan lebih terlindung, teratur dan tenang.

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA