Bank Pembangunan Malaysia Muktamadkan Pengambilalihan EXIM Bank Dan SME Bank


KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) — Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) hari ini mengumumkan pengambilalihan saham Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan)

BPMB dalam kenyataan hari ini berkata urus niaga itu dimuktamadkan berdasarkan nilai aset ketara bersih (NTA) EXIM Bank dan SME Bank setakat 31 Disember, 2023.

“Kumpulan BPMB, kini dengan EXIM Bank dan SME Bank sebagai anak syarikatnya, membentuk sebuah entiti yang lebih mantap untuk menyalurkan modal impak secara lebih menyeluruh menerusi ekosistem pembiayaan pembangunan selari dengan dasar-dasar utama negara, Kerangka Ekonomi MADANI Malaysia, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Malaysia Ke-12, inisiatif  Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau ‘PuTERA35’.

‘Dengan gabungan tenaga kerja sedia ada seramai lebih 2,000 orang, Kumpulan BPMB mampu meningkatkan kapasitinya untuk memberikan impak yang lebih hebat pada skala yang lebih besar.

“Kumpulan ini komited untuk mengekalkan tenaga kerja sepenuhnya dengan peranan kerja yang bermakna sekali gus mengiktiraf modal insan sebagai teras kepada usaha pembangunan negara,” katanya.

Menerusi pengambilalihan ini, ketiga-tiga institusi berkenaan mempunyai kebolehan yang lebih kukuh untuk memperluas dan memperkasa mandat sedia ada dalam merapatkan jurang pembiayaan pembangunan negara. 

BPMB berkata antara fokus utama termasuklah sokongan kepada usahawan Bumiputera, pembiayaan untuk perusahaan kecil sederhana (PKS), menggalakkan transaksi perdagangan masuk dan keluar, serta menyokong pertumbuhan mampan.

Secara kolektif, bagi tahun 2025, Kumpulan BPMB telah memperuntukkan RM8.3 bilion untuk pembangunan negara menerusi program-program strategik bersama.

“Pengambilalihan ini dijangka membawa sinergi daripada segi hasil dan kecekapan kos dalam jangka masa panjang bagi menyokong pertumbuhan perniagaan pelbagai skala di Malaysia,” katanya.

Melangkah ke hadapan, kumpulan BPMB akan melaksanakan pelan penyepaduan holistik yang memanfaatkan kekuatan dan sumber setiap entiti untuk menyokong tiga segmen pasaran yang berbeza dengan berkesan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa institusi kewangan pembangunan akan disusun semula melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia, SME Bank dan Exim Bank.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ATLAS Vending Lancar ‘Nutri-Aid’ Sebagai Penyelesaian Berasaskan Teknologi Untuk Menangani Ketidaksamaan Pemakanan di Sekolah Malaysia

KUALA LUMPUR – Sempena Hari Susu Sedunia, ATLAS Vending, cabang mesin layan diri milik Etika Sdn Bhd, hari ini melancarkan ATLAS Nutri Aid di Kilang Susu Goodday di Petaling Jaya. Dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan menangani ketidaksamaan pemakanan dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.

ATLAS Nutri Aid memanfaatkan teknologi mesin layan diri pintar untuk menyediakan akses harian yang konsisten kepada susu berkualiti tinggi secara percuma kepada pelajar yang memerlukan. Bagi ramai kanak-kanak dalam komuniti B40 di Malaysia, akses kepada pemakanan harian masih merupakan cabaran yang senyap tetapi kritikal. Inisiatif ini memastikan nutrisi tenusu asas bukan sahaja tersedia, malah boleh diakses secara berterusan di persekitaran sekolah dan komuniti.

Pelancaran rasmi ini menyusuli kejayaan program perintis di beberapa sekolah terpilih yang mencatatkan penglibatan pelajar yang tinggi serta peningkatan konsistensi transaksi. Susulan keputusan positif tersebut, program ini akan diperluaskan melalui pemasangan 10 mesin layan diri ATLAS Nutri Aid di sekolah-sekolah terpilih.

Inisiatif ini turut disokong oleh YRMS yang memainkan peranan penting dalam pembiayaan, penyelarasan komuniti dan mengenal pasti penerima yang layak, bagi memastikan program ini sampai kepada kanak-kanak yang paling memerlukan.

ATLAS Nutri Aid berteraskan komitmen untuk menangani cabaran kesihatan kompleks yang dihadapi belia Malaysia, khususnya isu “kelaparan tersembunyi” (hidden hunger) dan krisis terbantut (stunting) yang semakin membimbangkan. Tidak seperti negara jiran yang menunjukkan kemajuan sejak tahun 2000, kadar stunting kanak-kanak di Malaysia terus meningkat dan mencapai 24% pada tahun 2024, mengatasi Indonesia (23%), Kemboja (22%), Vietnam (19%), Thailand (12%) dan Singapura (3%). Ini menunjukkan satu kebimbangan kesihatan awam yang serius, ditambah pula dengan dapatan kajian SEANUTS II yang menunjukkan lebih 70% kanak-kanak tidak mencapai pengambilan harian yang disyorkan bagi Kalsium dan Vitamin D.

Dengan peningkatan kos sara hidup, ramai keluarga B40 menghadapi cabaran besar untuk menyediakan makanan seimbang, dengan kadar kelaparan kanak-kanak dilaporkan mencecah 58.4% di beberapa kawasan bandar berpendapatan rendah. ATLAS Nutri Aid menangani isu ini dengan membekalkan susu Goodday Charge Milk secara percuma melalui mesin layan diri. Produk susu di bawah portfolio Etika ini diformulasikan khusus untuk meningkatkan tenaga, menyokong kesihatan tulang dan memperbaiki fungsi kognitif menerusi gabungan 10 nutrien penting yang membantu perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.

“Bagi ramai keluarga, menyediakan pemakanan harian bukanlah sesuatu yang sentiasa terjamin dan itu tidak sepatutnya menjadi halangan kepada tumbesaran kanak-kanak,” kata Hemalatha Ragavan, Ketua Pegawai Eksekutif Etika & International Exports. “Melalui ATLAS Nutri Aid, kami memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada sesuatu yang asas seperti susu pada setiap hari persekolahan. Dengan menggabungkan teknologi dan tujuan, kami dapat menyampaikan nutrisi secara konsisten, bermaruah dan berimpak. Ini juga akan membantu meningkatkan kehadiran ke sekolah supaya generasi masa depan kita tidak terlepas peluang pembelajaran.”

Memperluaskan kerangka Hygiene Aid, ATLAS Nutri Aid menggunakan mesin layan diri pintar proprietari dan sistem kad “tap-and-go” yang lancar untuk memberikan akses pemakanan harian secara telus dan bersasar kepada pelajar. Dengan menyelaraskan kad dengan kalendar sekolah, sistem ini memastikan pengagihan yang konsisten pada hari persekolahan sambil mengelakkan penyalahgunaan dan ketirisan. Mekanisme berasaskan data ini membolehkan ATLAS Vending memantau impak program dengan berkesan, sambil memberikan pengalaman yang bermaruah dan berdikari kepada kanak-kanak.

Muhammad Syazwan Bin Mohd Daut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) berkata, “Misi YRMS sentiasa tertumpu kepada membangunkan potensi belia. Pemakanan yang baik adalah asas kepada keupayaan kanak-kanak untuk belajar, memberi tumpuan dan berjaya di sekolah. Melalui ATLAS Nutri Aid, kami bukan sekadar menyediakan nutrisi harian, tetapi menghapuskan halangan penting kepada pendidikan dan memberikan tenaga serta peluang yang sewajarnya untuk mereka mencapai impian.”

Inisiatif ATLAS Nutri Aid mencerminkan komitmen jangka panjang untuk meningkatkan tumpuan di dalam kelas dan perkembangan fizikal generasi akan datang. Dengan menyediakan sumber nutrisi yang boleh dipercayai, program ini membantu merapatkan jurang penting dalam kesihatan kanak-kanak sambil menyokong keluarga kurang mendapat perhatian yang berdepan tekanan ekonomi.

Pada terasnya, ATLAS Nutri Aid dibina atas satu kepercayaan mudah: setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk membesar, belajar dan berkembang maju, bermula dengan pemakanan yang baik.