Penstrukturan Goodyear Jejas Operasi Pelbagai Negara, Bukan Sahaja Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Penutupan kilang syarikat pengeluar tayar global, Goodyear berikutan penstrukturan syarikat memberi kesan kepada 1,200 pekerja di Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Asia, kata Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata Goodyear telah menutup kilangnya di Akron, Ohio pada Januari 2023.

“Ini dilakukan kerana Goodyear telah menstrukturkan semula perniagaan mereka kerana tidak mampu bersaing dengan syarikat seperti Michelin, Continental dan Bridgestone,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata laporan Goodyear di peringkat tahunan menunjukkan syarikat menghadapi tekanan kos yang tinggi dan memilih untuk mencari tempat yang mempunyai kos lebih rendah.

Goodyear dilaporkan akan menutup kilangnya di Shah Alam, Selangor setelah beroperasi lebih lima dekad yang dijangka menjejaskan kira-kira 550 kakitangan.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Minat PIF Kepada AirAsia Bukti Keyakinan Dalam Pertumbuhan, AirAsia Enggan Ulas

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Minat Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi terhadap AirAsia menunjukkan keyakinan terhadap prospek kewangan syarikat penerbangan tambang rendah itu, dengan penganalisis penerbangan mengunjurkan pertumbuhan besar sekiranya pelaburan ini diteruskan.

Pakar ekonomi dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur Prof Madya Mohd Harridon Mohamed Suffian yakin bahawa perbelanjaan modal daripada PIF akan banyak membantu AirAsia dalam proses penyusunan semula kewangannya.

Menurut laporan media, PIF dijangka melabur kira-kira US$100 juta dalam AirAsia, menjadikannya penyumbang terbesar kepada pengumpulan dana kumpulan syarikat penerbangan itu, yang menyasarkan kira-kira RM1 bilion (US$226 juta).

AirAsia turut dilaporkan sedang berunding dengan pelabur dari Jepun dan Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes ketika dihubungi Bernama untuk mendapatkan penjelasan mengenainya memaklumkan “Tidak akan memberikan apa-apa komen.”

Mengulas lanjut mengenai minat PIF, Mohd Harridon berkata ini mencerminkan potensi AirAsia untuk berkembang dan meraih perolehan yang besar.

“Cabang pelaburan seperti PIF pada kebiasaannya mempunyai proses usaha wajar yang tegas dan menyeluruh dalam menilai kebolehlaksanaan pelaburan mereka dan memastikan keuntungan kewangan yang ketara.

“Sehubungan itu, sekiranya perjanjian ini menjadi kenyataan, ini menunjukkan bahawa AirAsia mempunyai prospek positif dan asas untuk berkembang maju dari segi kewangan dalam ekosistem penerbangan semasa,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pengembangan AirAsia akan mempertingkat kerancakan ekonomi Malaysia yang menyumbang kepada pertambahan peluang pekerjaan, hasil kerajaan yang tinggi menerusi percukaian, dan dorongan dalam perdagangan berikutan pergerakan penumpang dan kargo yang meningkat.

“Dengan pembiayaan daripada PIF, AirAsia berada dalam kedudukan memberangsangkan dalam menerima 350 pesawat berbadan sempit daripada Airbus.

“Ini adalah pembelian komersial yang besar, dan boleh berdaya maju dari segi ekonomi untuk Airbus membina kilang pembuatan di Malaysia bagi menyokong tempahan daripada AirAsia dan negara-negara lain di Asia Tenggara,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Harridon menekankan bahawa ini adalah langkah ekonomi yang bermanfaat bagi Malaysia memandangkan kilang pembuatan akan melahirkan lebih banyak pekerjaan dan memupuk pemindahan teknologi.

“Secara keseluruhannya, kesan domino adalah positif dari segi ekonomi, dan memerlukan sokongan tambahan untuk membantu merealisasikan perjanjian ini,” katanya.

PIF adalah dana kekayaan negara Arab Saudi dan antara yang terbesar di dunia, dengan menguruskan kira-kira US$930 bilion aset. Ia turut memegang 15 peratus kepentingan dalam Lapangan Terbang Heathrow London.

— BERNAMA