Syarikat Malaysia Biarkan Pelanggan, Kakitangan Dan Pemegang Kepentingan Terdedah Pada Penipuan E-mel


KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Proofpoint Inc., syarikat pematuhan dan keselamatan siber berpangkalan di Amerika Syarikat mendedahkan majoriti firma-firma terkemuka di Malaysia membiarkan pelanggan, kakitangan dan pemegang kepentingan mereka terdedah kepada penipuan e-mel dan serangan berasaskan e-mel.

Dalam analisisnya, syarikat itu mendapati hanya 11 peratus daripada syarikat Malaysia yang berada dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara telah melaksanakan tahap pengesahan e-mel yang disyorkan dan paling ketat.

Pengesahan yang ketat itu menghalang penjenayah siber daripada memalsukan identiti organisasi, sekali gus mengurangkan risiko penipuan e-mel, kata Proofpoint dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Kejuruteraan Sistem Proofpoint bagi Asia Tenggara dan Korea Selatan Philip Sow berkata e-mel terus menjadi vektor nombor satu untuk penjenayah siber.

“Ketika kita sedang menghampiri musim untuk merancang membeli-belah dan percutian akhir tahun, syarikat-syarikat terkemuka di Asia Tenggara membiarkan pelanggan mereka terdedah kepada penipuan e-mel dan serangan berasaskan e-mel,” katanya.

Sow menambah kekurangan perlindungan terhadap pancingan data di Asia Tenggara amat membimbangkan dan ketinggalan jauh di belakang berbanding rantau-rantau lain.

Sehubungan itu, adalah penting bagi jenama dan syarikat terkemuka untuk melaksanakan protokol pengesahan e-mel yang diterima secara meluas iaitu digelar Pengesahan, Pelaporan dan Pematuhan Mesej berasaskan Domain (DMARC) bagi mempertahankan diri daripada penyamaran domain dan memastikan e-mel penipuan tidak mencapai sasaran, katanya.

DMARC melindungi nama domain daripada disalahgunakan oleh pelaku yang berniat jahat dengan mengesahkan identiti pengirim sebelum membenarkan e-mel sampai ke destinasi yang dimaksudkan.

Sistem pengesahan itu mengesan dan menghalang penipuan domain, yang merupakan teknik pancingan data e-mel yang digunakan untuk pencerobohan e-mel perniagaan (BEC) dan serangan berasaskan e-mel yang lain.

Penyelidikan oleh Proofpoint juga menunjukkan daripada semua syarikat di Malaysia yang mempunyai beberapa bentuk dasar DMARC, sebanyak 68 peratus memilih untuk melaksanakan DMARC sendiri tanpa sebarang bantuan pakar, menghadapi risiko berkaitan kekurangan pelaksanaan DMARC yang betul.

Ia menyatakan walaupun 83 peratus syarikat Malaysia dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara mempunyai beberapa bentuk penerimaan DMARC, hanya 11 peratus mempunyai dasar DMARC untuk “menolak” tahap yang disyorkan paling ketat yang menyekat e-mel yang tidak layak daripada sampai kepada penerima.

Singapura memiliki kadar penggunaan tertinggi untuk tahap pengesahan e-mel yang disyorkan paling ketat (28 peratus), manakala Filipina (11 peratus), Thailand (10 peratus) dan Indonesia (10 peratus).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Konflik Asia Barat: Bank Dunia Gariskan Tiga Bidang Untuk Malaysia Perkukuh Kedudukan

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) — Bank Dunia menggariskan tiga bidang utama yang perlu diberi tumpuan oleh Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan ekonominya dalam jangka masa panjang di tengah-tengah cabaran global semasa yang timbul daripada konflik di Asia Barat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Dr Apurva Sanghi berkata kerajaan perlu menggunakan krisis ini untuk “merebut beberapa peluang” yang timbul daripada persekitaran semasa, sambil terus menguruskan tekanan dengan segera.

“Perkara pertama, percepatkan peralihan tenaga pintar,” kata beliau sambil menekankan bahawa usaha itu harus melangkaui kenderaan elektrik dengan merangkumi tenaga boleh baharu dan penyimpanan, jika tidak, ia hanya beralih sedikit daripada minyak kepada elektrik.

“Yang kedua, Malaysia boleh menjadi hab pelancongan serantau dengan menambah infrastruktur, kesalinghubungan dan kedudukan yang diperlukan untuk menyokong aspirasi itu,” katanya pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI Siri 9 di sini hari ini.

Beliau berkata perkara ketiga ialah Malaysia perlu menempatkan dirinya untuk menarik aliran modal dan membangunkan pengurusan kekayaan yang mana ia memerlukan penambahbaikan dalam infrastruktur kewangan.

Bidang-bidang itu mewakili peluang jangka panjang yang boleh dibangunkan oleh Malaysia, walaupun kerajaan menumpukan perhatian kepada menguruskan kesan segera yang tercetus daripada ketidaktentuan global, tambahnya.

— BERNAMA