Bagaimana China Mengatasi Amerika Syarikat Dalam Perlumbaan Teknologi 5G

Selain perkembangan teknologi kenderaan elektrik yang bakal digunakan secara meluas di masa hadapan, penggunaan rangkaian 5G juga dilihat amat penting. Ini kerana teknologi 5G dilihat bakal membawa tamadun manusia ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Sejak diperkenalkan dua tahun yang lalu, banyak negara maju cuba untuk membangunkan teknologi ini secara komersial dan kini hanya dua buah negara kuasa besar dunia yang mendominasi teknologi 5G, iaitu Amerika Syarikat dan China.

Kedua-dua negara ini dilihat paling terkehadapan berbanding negara lain dalam menyediakan teknologi 5G di negara masing-masing. Walaupun begitu, China dilihat lebih maju lagi berbanding Amerika Syarikat.

Sedangkan sebelum ini kita dapat lihat bahawa teknologi 1G sehingga ke 4G, negara barat telah mendominasinya.

Teknologi 5G di China diketuai oleh Huawei yang dikatakan telah membangunkan hampir 700,000 stesen rangkaian 5G di negara mereka berbanding dengan Amerika Syarikat yang hanya mempunyai 50,000 stesen rangkaian 5G.

Ini membuktikan bahawa China mengambil serius pembangunan teknologi 5G berbanding dengan negara lain di dunia.

Kenapa Teknologi 5G Berkembang Pesat Di China?

Kerajaan China telah melabur sejumlah wang yang sangat besar dalam membangunkan infrastruktur 5G yang berjumlah lebih USD400 juta.

Seperti yang kita sedia maklum, China merupakan sebuah negara yang sangat pesat membangun dalam kegiatan ekonomi dunia pada ketika ini.

Kredit Gambar: The Economist

Rangkaian 5G sangat penting bagi China untuk menampung kegiatan ekonomi mereka secara keseluruhannya. Dengan wujudnya rangkaian 5G yang meluas dan pantas, kegiatan perniagaan dan ekonomi negara tersebut semakin rancak dan ia menjadi nadi penting untuk memacu China sebagai sebuah kuasa besar ekonomi pada masa akan datang.

China merancang untuk menjadikan negara mereka menggunakan teknologi 5G sepenuhnya pada tahun 2025.

Selain daripada itu, Kerajaan China turut memberikan inisiatif kepada mana-mana syarikat yang membangunkan teknologi ini. China juga kini mampu untuk membangunkan cip teknologi 5G mereka sendiri yang telah menambahkan lagi perkembangan teknologi tersebut di sana.

Amerika Cuba Halang Perkembangan China

Perkembangan teknologi 5G di China ini telah membimbangkan kebanyakan negara barat terutamanya Amerika Syarikat, yang dilihat cuba untuk menghalang perkembangan teknologi 5G China dengan membuat beberapa sekatan terhadap syarikat yang membangunkan teknologi tersebut.

Di antara mangsa keadaan yang terlibat dalam persengketaan ini adalah Huawei. Amerika Syarikat telah menuduh syarikat tersebut sebagai agen perisik untuk Kerajaan China di mana Amerika Syarikat telah mengharamkan syarikat tersebut beroperasi dalam negara mereka.

Sebahagian negara Eropah turut mengikuti langkah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat. Teknologi yang ditawarkan oleh Huawei sangat berpatutan dan tiada syarikat lain yang mampu menandinginya.

Perkara itu telah menyebabkan benua Eropah berbelah bahagi untuk membenarkan teknologi tersebut digunakan di negara mereka atau tidak.

Aplikasi Penting Yang Menggunakan Teknologi 5G

This image has an empty alt attribute; its file name is China-Mengatasi-Amerika-Syarikat-Dalam-Perlumbaan-Teknologi-5G-3-700x394.jpg
Kredit Gambar: Machine Design

Dengan perkembangan kenderaan pemanduan automatik, teknologi 5G sangat penting bagi memberi kelajuan internet yang luar biasa. Banyak syarikat pembuat telefon pintar telah membangunkan peranti  yang menyokong penggunaan 5G di dalam produk mereka.

Dalam tempoh 5 tahun akan datang, dijangkakan semua telefon pintar bakal menggunakan teknologi 5G ini dan bakal dijual dengan harga yang lebih murah berbanding sekarang.

Sumber Rujukan: Think China

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.