Draf Perundangan Cukai Barangan Bernilai Tinggi Di Peringkat Akhir – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Kerajaan sedang dalam proses akhir untuk memuktamadkan dasar dan draf perundangan mengenai Cukai Barangan Bernilai Tinggi yang dijangka dilaksanakan bermula tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata mekanisme pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi kini masih di peringkat simulasi kerana ia merupakan sebuah langkah cukai yang baharu diperkenalkan dan bakal dilaksanakan.

“Mekanisme pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi adalah melalui penggubalan perundangan baharu iaitu Rang Undang-undang Cukai Barangan Bernilai Tinggi yang akan dibentangkan nanti.

“Dasar perundangan perlu dirangka dan digubal dengan teliti supaya cukai dapat dilaksanakan dengan teratur serta mematuhi amalan dan prinsip percukaian semasa dan tidak memberi kesan negatif,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Ahmad berkata jumlah wang tidak dituntut yang terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM11.9 billion.

Beliau berkata kerajaan juga akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Wang Tidak Dituntut (WTD) dan orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dan mengakses WTD untuk mendapatkan wang masing-masing.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA