Bank Negara Dilihat Akan Terus Kekal OPR Pada 3 Peratus Pada 2024

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) — Penganalisis menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus menjelang 2024, selepas kadar semasa dilihat telah menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan di negara ini.

MIDF Research berpendapat persekitaran luaran akan terus mencabar pada tahun depan dalam keadaan ketegangan geopolitik, paras harga yang tinggi dan risiko kelembapan ekonomi global.

“Tinjauan ekonomi domestik diramalkan akan kekal berwaspada serta berdaya tahan dengan disokong oleh permintaan domestik yang stabil. Bagaimanapun, penstabilan kadar inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mempengaruhi BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024,” katanya dalam satu nota hari ini.

Ia berkata keputusan itu akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga termasuk peningkatan selanjutnya dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pasaran buruh yang menggalakkan dan permintaan dalam negeri yang semakin bertambah baik.

RHB Research juga tidak menjangkakan untuk melihat kenaikan kadar faedah di Malaysia tahun depan.

“Pandangan kami didorong oleh beberapa faktor utama seperti dolar US-ringgit yang disatukan menjelang akhir 2024 serta kadar domestik kekal dinaikkan, yang akan mengecilkan perbezaan kadar faedah dengan pasaran maju,” katanya dalam satu nota.

Firma penyelidikan itu juga beranggapan bahawa ringgit mungkin mengukuh ke paras 4.50-4.70 berbanding dolar US menjelang hujung  2024 (berbanding 4.80 pada akhir 2023).

“Ringgit mungkin menyaksikan penyatuan seawal yang pertama suku 2024 pada paras lebih kurang 4.60–4.70 bagi setiap dolar US apabila latar belakang makroekonomi Malaysia bertambah baik pada separuh pertama tahun depan.

“Kami menjangkakan pergerakan positif terhadap dolar US akan mengecil berbanding FX Asean pada 2024, yang kemungkinan akan diterjemahkan kepada kekuatan pertukaran asing Asean yang luas (termasuk ringgit) berbanding dolar US,” katanya.

Selain itu, langkah-langkah penyatuan fiskal dan inisiatif Belanjawan 2024 yang diumumkan juga harus memberikan sedikit sokongan kepada ringgit pada 2024, tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama