HASiL Kutip RM82 Juta Cukai Tambahan Hasil Semakan e-Invois

Cyberjaya, 30 Julai 2025 – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa melalui pelaksanaan e-Invois, HASiL telah menerima maklumat individu dan syarikat yang menjalankan transaksi perniagaan sejak 1 Ogos 2024. HASiL sentiasa memantau secara aktif data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois untuk memastikan pematuhan cukai dilaksanakan secara sukarela dan berterusan, selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara. Sehubungan dengan itu, pembayar cukai disarankan untuk sentiasa mengemas kini rekod cukai mereka dan memastikan pematuhan sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihak HASiL. 

Berdasarkan maklumat pengemukaan e-Invois tersebut, HASiL telah mengambil tindakan awal pematuhan terhadap pembayar cukai yang mempunyai risiko gagal melaporkan pendapatan yang telah diterima. Seramai 5,800 pembayar cukai yang sebelumnya didapati tidak patuh pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), telah tampil mengemukakan BNCP dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM484 juta yang menyumbang kepada hasil cukai tambahan sebanyak RM82 juta. 

Sehingga 30 Julai 2025, sekitar 413 juta e-Invois telah dikeluarkan secara keseluruhan. Penyertaan lebih daripada 83 ribu pembayar cukai ini bukan sahaja melibatkan pembayar cukai fasa pertama hingga fasa ketiga yang melaksanakan e-Invois secara mandatori, tetapi turut disertai oleh pembayar cukai fasa keempat dan kelima secara sukarela. Ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik oleh pembayar cukai dalam mematuhi pelaksanaan e-Invois. HASiL juga ingin memaklumkan bagi pembayar cukai yang telah tamat tempoh kelonggaran perlu melaksanakan e-Invois sepenuhnya mengikut garis panduan e-Invois. 

Sebagai maklumat tambahan, HASiL turut menyediakan pelbagai saluran komunikasi bagi membolehkan pembayar cukai mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan e-Invois. Pembayar cukai disarankan untuk menghubungi saluran khas e-Invois yang disediakan oleh HASiL bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat pelaksanaan e-Invois melalui pelbagai saluran yang disediakan berikut: 

  1. a. Berkunjung ke Pejabat HASiL; 
  2. b. Meja Bantuan e-Invois HASiL di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam); 
  3. c. MyInvois Live Chat
  4. d. E-mel [email protected] bagi pertanyaan umum e-Invois; dan 
  5. e. Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my. 

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama