LHDN Lulus Lebih 72,000 Pengakuan Sukarela Libatkan RM652.5 Juta Taksiran Cukai Setakat 29 Feb

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah meluluskan sebanyak 72,534 kes pengakuan sukarela dan sejumlah RM652.5 juta taksiran cukai telah dilaporkan yang mana sebanyak RM284 juta berjaya dikutip setakat 29 Feb, 2024.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata bagi meningkatkan kadar pematuhan cukai, pelbagai langkah dan inisiatif telah dirangka dan sedang giat dilaksanakan oleh LHDN.

Di antaranya ialah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperluas bilangan pembayar cukai dan menggalakkan pematuhan cukai bagi meningkatkan hasil negara.

“PKPS 2.0 dilaksanakan oleh LHDN dengan tawaran penalti pada kadar sifar peratus bagi pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh 6 Jun, 2023 sehingga 31 Mei, 2024.

“Sekiranya pembayar cukai gagal menjelaskan baki cukai pada akhir tempoh PKPS 2.0, tindakan undang-undang boleh diambil dan pembayar cukai boleh diaudit atau disiasat pada masa hadapan,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Jelasnya, LHDN menjalankan aktiviti audit dan siasatan secara berterusan untuk mendapatkan kembali cukai dan hasil yang gagal dikutip sebelum ini dengan memfokuskan kepada pembayar cukai yang mempunyai risiko cukai yang tinggi berdasarkan kategori fail syarikat, selain syarikat, penggajian dan majikan.

“Secara keseluruhan, jumlah cukai tambahan dan penalti yang telah dibangkitkan daripada hasil pengauditan sepanjang tahun 2022 dan 2023 adalah masing-masing sebanyak RM8.2 bilion dan RM6.2 bilion,” katanya.

Beliau berkata LHDN juga mengambil tindakan guaman sivil dan pendakwaan berdasarkan undang-undang untuk menuntut semula hasil cukai yang gagal dipungut. 

Menurut Lim, jumlah cukai yang berjaya dikutip termasuk kompaun dan denda bagi tahun 2022 dan 2023 adalah masing-masing sebanyak RM709.7 juta dan RM465 juta. 

Lim berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris tentang jumlah penalti dan hasil bukan cukai yang berjaya diperoleh LHDN untuk mendapatkan kembali cukai dan hasil yang gagal dikutip antaranya melalui PKPS 2.0 atau kaedah-kaedah lain sepanjang tahun 2022 dan 2023. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.