MOF: Pengecualian CGT Ke Atas Unit Amanah Kurangan Unjuran Hasil Pendapatan Negara

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Pengecualian Unit Amanah daripada pengenaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) sudah pasti akan memberi kesan pengurangan kepada unjuran hasil yang bakal diperoleh daripada pelaksanaan CGT, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. 

Beliau berkata bagaimanapun, kerajaan berpandangan bahawa pengecualian CGT ke atas Unit Amanah akan membantu melonjakkan lagi prestasi pasaran modal, di samping memberi manfaat sepenuhnya kepada lebih 90 peratus pelabur individu yang membuat pelaburan dalam industri tersebut.

“Pengecualian ini juga bertujuan untuk memastikan Unit Amanah kekal sebagai pilihan pelaburan yang menarik pada masa hadapan dan boleh diakses oleh rakyat.

“Selain itu, ia turut memberi manfaat melalui pulangan yang lebih kepada para pelabur individu, yang mana kebanyakan mereka terdiri daripada mereka yang dalam golongan pra persaraan dan awal persaraan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dengan pelaksanaan CGT mulai 1 Mac 2024, kerajaan mengunjurkan tambahan hasil sekitar RM800 juta setahun berdasarkan trend pindah milik saham semenjak beberapa tahun terkini.

Hasil daripada sesi perbincangan dengan pemain industri pasaran modal mengenai kesan CGT ke atas agihan keuntungan kepada pemegang unit, kerajaan telah bersetuju untuk mengecualikan Unit Amanah daripada kenaan CGT berkuat kuasa mulai 1 Jan 2024 sehingga 31 Dis 2028.

Kerajaan turut memberi pengecualian CGT ke atas keuntungan daripada pelupusan aset modal asing oleh Unit Amanah yang diremitkan ke Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah pengecualian CGT terhadap unit amanah akan memberi kesan kepada unjuran hasil pendapatan negara.   

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama