Pelaksanaan e-Invois Dilanjutkan Setahun Lagi Bagi Syarikat Dengan Nilai Jualan Tahunan RM1- RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) Kerajaan akan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan invois elektronik (e-invois) tanpa penalti selama setahun lagi bagi syarikat dengan nilai jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta, yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari, 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pelaksanaan tersebut dibuat kerana sebahagian syarikat belum bersedia susulan kos pelaksanaan e-invois yang tinggi.

“Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan (pelaksanaan e-invois) tanpa penalti untuk satu tahun lagi kerana banyak mengatakan dia melibatkan kos yang terlalu tinggi, ” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain itu kerajaan juga akan memperluaskan kemudahan e Invois bersepadu kepada sektor peruncitan dan bahan binaan.

Sementara itu, kerajaan turut bersetuju melaksanakan program pengakuan sukarela bagi duti setem selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.

Pelaksanaan e-invois bermula pada 1 Ogos 2024 dan kerajaan telahpun memulakan fasa keempat pelaksanaannya yang merupakan satu lagi usaha untuk memperkukuhkan pentadbiran cukai, selain meringankan beban pematuhan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

E-invois yang diperkenalkan sebagai platform digital bagi memperkemaskan urusan invois dan pematuhan cukai memerlukan perniagaan (pembayar cukai) menjana dan menghantar invois secara elektronik, bagi meningkatkan pelaporan dan kecekapan kutipan cukai sambil mengurangkan kebocoran.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama